Friday, April 26, 2013
Temasya Gemilang Keris Mas
PENUH warna-warni. Itu kesimpulan yang dapat dibuat apabila menyaksikan kemeriahan Temasya Gemilang Kolej Keris Mas (TG2KM) yang melabuhkan tirainya penghujung bulan lalu.
Berlangsung di Dataran Kolej Keris Mas (KKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 hingga 31 Mac lalu, acara tahunan yang dianjurkan buat kali ke-12 itu berjaya menarik penyertaan 4,000 pelajar.
Ketua Pengarah Eksekutif TG2KM, Nur Fatin Adilin Mohamed Ashri berkata, temasya itu bertujuan untuk menyediakan platform kepada para pelajar khususnya warga kolej mengasah bakat dalam menguruskan program di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan pihak luar.
“Sepanjang 14 hari temasya ini diadakan, pelbagai aktiviti menarik telah diatur. Antaranya, pameran teknologi maklumat, pesta buku, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, pertandingan lagu ketuhanan dan malam apresiasi wanita.
“Selain itu, terdapat juga acara explorace keusahawanan, Fear factor: food edition, pertandingan khat & kollam, kugiran rentak juara, pementasan teater Patung Patung, kejohanan bola sepak jalanan, konsert nasyid, pertandingan tudung dan busana muslimah serta pesta kebudayaanTinghua.
“Kami berharap melalui penganjuran TG2KM, ia dapat membuka mata ramai pihak terhadap keunggulan Kolej Keris Mas sekali gus menjulang nama kolej ini ke peringkat lebih tinggi,” ungkap Nur Fatin Adilin.
Tidak ketinggalan, Forum Bicara Cinta turut diadakan dengan menampilkan selebriti seperti Yatt Hamzah dan pendakwah muda, Fatimah Syarha Mohd. Noordin sebagai panel jemputan. Program tersebut telah disiarkan secara langsung menerusi media rasmi TG2KM, Radio Streaming Online Nasyid FM.
Aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan termasuklah rumah hantu, gerai mengambil gambar, pertunjukan kereta Ferrari, persembahan capoeira dan perkhidmatan sewa basikal baring.
Majlis penutup temasya itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Datuk Ir. Dr. Othman A. Karim. Ia turut dihadiri Pengetua KKM, Dr. Ruslin Amir, barisan felo dan Jawatankuasa Kebajikan Siswa/Siswi Kolej Kediaman.
Bertemakan Citra Budaya, Warna Perpaduan, majlis itu dimulakan dengan persembahan tarian Ulek Mayang oleh Kelab Tarian Pawana Mas.
Membina semangat kekitaan
Dalam ucapannya, Othman menyatakan bahawa temasya sedemikian dapat membina semangat kekitaan dan kekeluargaan dalam kalangan warga KKM yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Pemilihan tema ini juga diharap mampu menyemai semangat perpaduan antara kaum dalam diri setiap mahasiswa bagi mengekalkan keharmonian yang telah terbina sejak sekian lama.
“Apa yang lebih penting, jangan jadikan kolej kediaman sekadar tempat tidur semata-mata. Sebaliknya, libatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan kerana ia berfaedah terhadap pembinaan kebolehpasaran mahasiswa.
“Harus diingat, kehidupan di kolej ini dapat memberi banyak pengalaman untuk berjaya dalam kehidupan dan kerjaya pada masa hadapan selepas tamat pengajian kelak,” tutur beliau.
Majlis penutup TG2KM diakhiri dengan persembahan hebat artis, Najwa Latif dan kumpulan band IamNeeta dengan lagu mereka bertajuk AdaMu dan Tuhan Tolong Aku.
Hakikatnya, temasya kali ini berjaya mencapai objektif utama dalam mewarnai hari-hari pelajar di KKM. Ini terbukti dengan lebih daripada 9,000 tweet yang dihantar oleh pengguna-pengguna laman sosial Twitter.
“Terima kasih pada Kolej Keris Mas sebab buat event #TG2KM dan terima kasih juga pada krew-krew #TG2KM kerana beri kami peluang untuk buka gerai,” kata seorang pelajar yang menggunakan nama @9gageneral pada laman Twitter.
“Done with #TG2KM. It was such a great event. A beautiful opportunity and a great memory there,” ujar @pangeran_lautan pula.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: