Tuesday, April 30, 2013

Produksi tak profesional, Rita lari


RITA RUDAINI tidak berhasrat membawa kes dia bersama produksi yang menuntut semula bayaran RM100,000 hingga ke mahkamah.


BELUM lagi reda dengan kemelut rumah tangga, pelakon cantik, Rita Rudaini, berdepan satu lagi masalah apabila mendapat surat tuntutan ganti rugi sebanyak RM100,000 daripada sebuah produksi tempatan.
Ini kerana, pelakon drama Sehangat Asmara itu membuat keputusan menarik diri secara tiba-tiba daripada penggambaran drama 40 episod yang dijangka tamat pada bulan Julai ini.
Akui Rita, 37, dia menarik diri daripada penggambaran drama tersebut selepas mendapati persekitaran kerja yang diwujudkan adalah tidak profesional.
Tidak berpuas hati dengan tuntutan tersebut, Rita akhirnya membuat keputusan untuk mengadukan perkara tersebut kepada Persatuan Seniman Malaysia atau Seniman.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Rita selanjutnya ketika ditemui di pejabat Seniman di Taman Melawati, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Kosmo!: Bolehkah anda beritahu kenapa produksi tempatan itu meminta tuntutan ganti rugi kepada anda?
RITA: Mereka meminta ganti rugi kerana saya menarik diri daripada melakukan penggambaran drama 40 episod produksi itu.
Kenapakah anda menarik diri daripada penggambaran tersebut?
Sejak awal lagi saya dapati cara kerja produksi tersebut tidak profesional, tetapi saya berdiam diri sahaja dengan harapan perkara tersebut akan berubah. Malangnya, selepas empat hari penggambaran mereka masih lagi mencipta suasana kerja yang sebegitu (tidak profesional).
Boleh terangkan lebih lanjut apakah maksud anda dengan cara kerja yang tidak profesional itu?
Sebelum ini saya hanya menerima tawaran berlakon dalam produksi yang saya kenal sahaja. Begitupun, kali ini saya ingin mencuba berlakon di bawah produksi baharu ini. Malangnya, ada masalah sewaktu berada di set penggambaran yang saya tidak boleh ceritakan.
Apakah nama drama dan produksi tersebut?
Maaf, saya tidak boleh beritahu apa nama produksi tersebut. Drama tersebut juga turut dibintangi oleh pelakon Fizz Fairuz.
Adakah anda seorang sahaja yang menghadapi masalah tidak profesional itu?
Semua pelakon melaluinya, cuma saya tidak boleh berdiam diri. Saya tidak boleh terima apabila orang buat artis seperti tiada harga diri.
Adakah anda cuba berbincang dengan produksi tersebut sebelum membuat keputusan menarik diri?
Saya ada berbincang dengan produksi terbabit, tetapi malangnya mereka tetap meneruskan suasana kerja yang tidak profesional. Selepas saya mengambil tindakan tidak menghadirkan diri ke penggambaran tersebut, mereka menghantar surat menuntut ganti rugi.
Adakah anda sudah menandatangani perjanjian atau menerima wang pendahuluan?
Ya, saya sudah dibayar sebanyak 40 peratus. Tetapi, saya bersedia memulangkan semula duit tersebut. Jika mereka kata rugi sebab saya sudah menjalani penggambaran selama empat hari, saya juga rugi kerana terpaksa menolak beberapa tawaran untuk memfokuskan penggambaran drama ini sehingga Julai ini.
Bilakah anda mendapat surat tuntutan tersebut?
Surat itu bertarikh 25 Mac, tetapi saya terima surat tersebut awal April. Itupun, selepas saya tidak menghadiri lagi penggambaran pada 26 Februari lalu.
Sebagai pelakon lama, apakah perasaan anda bila berdepan perkara seperti ini?
Perkara macam ini pertama kali berlaku pada saya. Kalau nak kata saya buat perangai, tanyalah dengan mana-mana produksi yang pernah saya bekerjasama adakah saya bermasalah? Perkara macam ini juga boleh jejaskan periuk nasi saya apabila tersebarnya cerita-cerita kurang enak mengenai saya nanti. Disebabkan itu, saya mengadu kepada Seniman sebelum nama saya tercalar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: