Friday, April 26, 2013

Kehebatan Berganda Dalam 'Wings Rockestra 2013'

Kemantapan vokal Awie membuatkan penonton teruja pada Konsert Wings Rockestra 2013.
KUALA LUMPUR: Kumpulan rock Wings terus memukau peminat-peminat tegar mereka dengan memberikan persembahan mantap pada Konsert Wings Rockestra 2013 di Istana Budaya (IB) malam Khamis.
Tidak seperti konsert-konsert mereka sebelum ini, Wings tampil dengan lagu-lagu yang jarang dinyanyikan pada konsert kali ini.
Wings yang dibarisi oleh Awie, Joe, Black dan Eddie tampil dengan muzik yang lebih santai, sesuai dengan suasana penonton yang menyaksikan Wings Rockestra.
"Kali ini daripada segi pemilihan lagu, kami memilih lagu-lagu yang lebih santai, sesuai dengan suasana IB.
"Lagu-lagu yang dibawakan juga dirancang betul-betul agar pemilihan lagu kena dengan alunan muzik orkestra.
"Tak adalah macam tahun-tahun sebelum ni apabila peminat berdiri dan teruja dengan lagu-lagu yang agak keras sehingga pecah kerusi IB dibuatnya," seloroh Awie, vokalis kumpulan itu yang ditemui selepas konsert itu.
Kelainan yang ditampilkan pada set pentas juga cukup mengagumkan penonton.
Dalam konsert hampir tiga jam itu, Wings mempersembahkan lebih 20 buah lagu yang antaranya seperti Dari Tuhan, Ameringgo, Julang Timur Tengah, Taman Rashidah Utara, Kota Kemusnahan, Harapan, Opera Hidup dan Sejati.
Walaupun banyak lagu-lagu yang jarang dinyanyikan, namun ia tidak menghalang para penonton menyanyi bersama-sama dengan kumpulan yang sudah berusia 26 tahun itu.
Beritahu Awie lagi, lagu Harapan dan Dari Tuhan adalah antara lagu yang paling dia seronok ketika membuat persembahan konsert itu.
"Bayangkan, sudah 25 tahun saya tidak membawakan dua lagu tersebut."Ia memberikan kenangan yang cukup indah,mengimbas kembali kenangan-kenangan susah senang Wings dahulu," ujarnya.
Tidak hanya tampil berempat, persembahan mereka turut diserikan dengan dua gitaris hebat iaitu Hillary Ang dan Ang dan Ian Antonio, gitaris kumpulan God Bless yang diterbangkan khas dari Indonesia.
Hillary dan Ian bersama-sama dengan gitaris Wings, Joe tampil dalam sebuah segmen khas persembahan instrumental selama 20 minit.
Petikan gitar daripada Joe tetap mantap seperti kebiasaan.
Bukan itu sahaja, Ian turut memainkan beberapa buah lagu Wings melakukan kolaborasi bersama memeriahkan suasana pentas IB.
Membentuk suasana atmosfera ‘rockestra’, Wings bergandingan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer, dipadukan lagi dengan Pengarah Muzik, Joe Wings dan penggubah muzik orkestra, Miss Lee Tse Wan
Hillary Ang juga menjawat tanggungjawab sebagai penyusun muzik pertama dan dibantu Rozario sebagai penyusun muzik untuk grup.
Konsert tersebut bermula dari 26 April hingga 30 April ini di Panggung Sari, IB.Tiket Konsert Wings Rockestra 2013 boleh dibeli menerusi www.ticket2u.biz pada harga RM499, RM399, RM299, RM249, RM199, RM149, RM99 dan RM69.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: