Saturday, April 27, 2013

Perjuangan seni KakiSeni


KETUA KakiSeni, Low Ngai Yuen (baju hijau) bermesra dengan artis yang terlibat dalam Festival KakiSeni di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.


APABILA berbicara mengenai bidang seni, ternyata ia terbahagi kepada pelbagai cabang. Antara cabang yang paling popular merupakan seni halus dan ia termasuk muzik, penulisan, puisi, tarian serta teater.
Namun, apa yang kita sering lihat di kaca televisyen pengiktirafan banyak diberikan kepada pelakon, penyanyi serta seumpama dengannya.
Bagaimanapun, sejak sembilan tahun lalu, BOH Cameronian telah mengadakan sebuah acara anugerah yang mengiktiraf bahagian teknikal karya seni halus ini.
Anugerah yang dilancarkan pada tahun 2002 ini, merupakan satu-satunya anugerah seni persembahan di Malaysia yang mengiktiraf persembahan muzik, tarian, teater dan teater muzikal.
Memandangkan sambutan yang sangat menggalakkan diterima setiap tahun, kali ini Majlis Anugerah Seni BOH Cameronian 2013 yang ke-10 (10BCAA) telah memulakan acara pembukaan pada Isnin lalu.
Selain itu, buat kali pertamanya, Festival Kaki Seni bakal menganjurkan dan bekerjasama dengan anugerah 10BCAA yang ditaja oleh The BOH Cameronian, teh premium Boh Plantations ini.
“Bagi anugerah kali ke-10 ini, kami masih nekad untuk memberi pengiktirafan kepada tenaga kerja di sebalik tabir. Ini kerana mereka tidak pernah berhenti menyokong perjuangan seni persembahan dan begitu juga kami.
“Kami juga telah menyaksikan peningkatan kemahiran teknikal dalam industri kita ini. Oleh itu, kami percaya bahawa peningkatan prestasi ini akan berpanjangan dan BCAA sangat berbangga dalam memainkan peranan untuk menyokong peningkatan mereka,” tutur Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations Sdn. Bhd., Caroline Russel ketika majlis membuka tirai 10BCAA yang bertempat di Dome, pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.
Apa yang menariknya, sempena menanti ketibaan acara kemuncak anugerah 10BCAA pada 1 Mei ini, KakiSeni akan mengadakan sebuah festival di pusat beli-belah Pavilion, secara percuma kepada orang ramai.
Festival seni tersebut menampilkan muzik, persembahan jalanan, pementasan teater dan tarian, serta seni visual daripada 516 artis tempatan dan antarabangsa.
“Ini juga merupakan satu peluang besar untuk mengingatkan golongan muda bahawa kerjaya dalam bidang teknikal seni persembahan juga mendapat pengiktirafan.
“Kerjaya dalam bidang ini dianggap profesional kerana keupayaan kreativiti dan penyelesaian yang inovatif yang boleh menjamin pencapaian serta ganjaran yang memuaskan," tambah Ketua KakiSeni, Low Ngai Yuen yang menyeru agar golongan muda menghargai dan melibatkan diri dalam karier seni.
Bagi peminat seni yang ingin menonton persembahan menarik dari aktivis seni tempatan serta antarabangsa, jangan lupa kunjungi Festival KakiSeni di pusat beli-belah Pavilion bermula 22 April hingga 1 Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: