SELEPAS tiga minggu bersaing dengan dua peserta lelaki untuk merebut gelaran juara sulung program keagamaan Da'i, akhirnya Adibah Rozain telah dinobatkan sebagai pemenang program terbitan TV3 tersebut.
Membawa pulang RM50,000 termasuk pakej umrah serta beberapa hadiah sampingan lain, Adibah telah menewaskan dua orang pesaing yang tidak kurang hebatnya, Mohamad Azamudin Zainal dan Muhammad Tajdid Hadhari Romli.
Mengaku bukan gelaran juara yang ingin dikejar, bagaimanapun Adibah menerima hakikat itu dan menjadikan kemenangan tersebut sebagai pemangkin buatnya untuk lebih aktif berdakwah pada masa akan datang.
"Sejujurnya, bukan kemenangan menjadi fokus utama saya, sebaliknya, saya lebih mementingkan segala ilmu yang diperoleh dan dalam masa yang sama, saya mahu meyakinkan lebih banyak golongan pendakwah wanita di luar sana bahawa kita (wanita) juga boleh melakukan perkara ini dengan baik," ujar mahasiswi di UiTM Shah Alam, Selangor dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan TESL ini.
Barangkali, yang menjadi tuah buat Adibah pada malam tersebut adalah kepetahannya berhujah dalam tugasan kedua, selain cara dia mendidik dan berkongsi pengalamannya yang mengajar anak-anak keluarga angkatnya yang merupakan Orang Asli di Kampung Sungai Siput, Perak, cara solat lima waktu dan cara berwuduk. Adibah turut mengadakan aktiviti mewarna dan aktiviti mengemas surau bersama penduduk kampung.
|
Paparan tugasan mereka tersebut yang diberi seminggu sebelum malam kemuncak itu dipaparkan pada malam final sebelum setiap finalis diberi kesempatan memberi hujah mengenai pencapaian mereka sepanjang berada di kampung tersebut selama tiga hari dua malam.
Malah, Adibah juga begitu cemerlang saat diuji tahap penguasaan berkaitan ilmu-ilmu Islam seperti ilmu Fiqah, Akidah dan Sirah Nabawiah
Menurut Penerbit Da'i, Shukri Ibrahim: "Pihak produksi amat berbangga dengan pencapaian para finalis Da'i pada musim pertama ini. Secara keseluruhannya, kualiti para finalis Da'i terus meningkat berdasarkan ujian teori, tugasan, pengucapan awam dan sahsiah diri.
"Pemilihan yang amat rumit terpaksa dilakukan untuk memilih para finalis ini memandangkan hampir kesemua finalis yang berada pada peringkat akhir mempunyai potensi yang seimbang. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam program ini dapat digunakan sebaik mungkin bukan sahaja untuk program Da'i ini, tetapi setelah keluar daripada program ini dan sekembalinya ke pangkuan masyarakat."
Sementara itu, acara kemuncak Da'i diserikan dengan penampilan istimewa daripada kumpulan nasyid UNIC dengan diiringi oleh adik-adik Qhasidah dari Kelab Berselawat Anak-Anak As Sidiq menerusi lagu Ya Hana Na sebagai pembuka tirai sebelum diselang-seli dengan persembahan penentuan juara Da'i Pendakwah Milenia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: