Tuesday, April 30, 2013

Rangka orang purba ditemui


CECILE menunjukkan rangka mayat yang dipercayai pahlawan Celtic.


DI sebuah padang berlumpur di Seine iaitu terletak di tenggara Paris, Perancis, ahli-ahli arkeologi telah menemui tanah perkuburan manusia Zaman Besi. Mereka percaya penemuan itu bakal membawa sinar dalam merungkai pemerintahan tamadun Gaul.
Sebelum ini, tapak berkenaan yang terletak di pinggir Troyes dibangunkan untuk projek perindustrian dan ketika itu pelbagai bahan bersejarah yang menakjubkan telah dijumpai.
Ia termasuk kubur lima pahlawan Celtic yang lengkap bersenjata dan perhiasan sekali gus membuktikan wujudnya anggota tentera elit pada zaman itu.
Ahli arkeologi, Emilie Millet mencangkung di atas kubur yang merupakan salah satu daripada 14 perkuburan yang ditemui di kawasan tersebut sejak beberapa minggu lalu. Ia ditemui selepas proses penggalian bermula sembilan tahun lalu di kawasan lapang berkeluasan 260 hektar.
Rangka pahlawan
Di bawah tapak kakinya terdapat rangka seorang pahlawan berjawatan tinggi lengkap dengan pedang besi sepanjang 70 sentimeter.
"Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini," ujarnya sambil menatap perisai logam yang mempunyai rangka kayu dan kulit yang telah reput.
Di sebelah rangka pahlawan itu ditemui beberapa rangka wanita yang memakai barang perhiasan seperti rantai leher berpintal logam dan kerongsang besar perak yang direka dengan batu karang berharga.
Dalam sebuah kubur lain ditemui rangka lelaki dan wanita yang hanya dipisahkan oleh lapisan tanah. Berdasarkan kedudukan rangka-rangka itu, dipercayai ia mempunyai hubungan rapat ketika hidup.
"Kawasan ini merupakan tanah perkuburan yang besar dan ia satu penemuan yang luar biasa," kata wakil Institut Penyelidikan Penyenggaraan Arkeologi Kebangsaan (Inrap), yang melakukan kerja-kerja menggali tapak sebelum jentolak dibenarkan masuk.
Berdasarkan barang-barang kemas yang ditemui, rangka-rangka itu dipercayai dikebumikan antara tahun 325 Sebelum Masihi (SM) dan 260 SM iaitu tempoh masa yang dikenali sebagai La Tene. Satu lagi petunjuk daripada analisis yang dikeluarkan oleh Scabbards ialah perubahan hiasan fesyen tentera. Reka bentuk pakaian tentera dalam tempoh masa itu biasanya mempunyai simbol dua ekor naga menghadap satu sama lain dengan badan bergulung.

SALAH satu kubur ditemui ialah kubur rangka lelaki dan wanita dalam kedudukan bertentangan.


Tamadun berkembang
La Tene mendapat nama melalui tapak arkeologi di Switzerland yang wujud antara abad ke-5 SM hingga abad pertama Selepas Masihi, menandakan tahun kegemilangan orang Celtic.
Pada zaman itu, tamadun orang Celtic berkembang daripada kawasan pusat mereka di tengah Eropah hingga sejauh utara Scotland dan pantai Atlantik Sepanyol.
Zaman kegemilangan kaum tersebut seiring dengan kebangkitan empayar Rom yang ketika itu sedang berperang meluaskan kawasan jajahan mereka.
Orang Celtic digambarkan sebagai orang berkulit pucat, memakai seluar dan berambut perang. Ketika berperang, mereka dikatakan memenggal kepala musuh manakala jasad ketua musuh mereka disimpan dalam minyak sedar.
Begitupun, imej kasar itu telah disangkal oleh kajian sejarah dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kaum tersebut dikatakan mempunyai tamadun yang kompleks selain memiliki kepakaran dalam bidang logam dan sistem perdagangan. Kekuasaan mereka menjangkaui seluruh Eropah dan menjana kekayaan yang besar.
Penemuan terbaharu di Bucheres itu menimbulkan beberapa persoalan kerana di kawasan berkenaan tidak dijumpai sebarang bukti yang menunjukkan ia pernah menjadi kawasan penempatan orang Celtic.
"Kubur-kubur itu ditemui pada kedalaman kira-kira dua meter di kawasan lapang yang tidak ditemui sebarang tanda menunjukkan ia kawasan tanah perkuburan. Jika dibandingkan dengan tamadun awal iaitu Zaman Gangsa boleh ditemui tanda-tanda peninggalan seperti barisan bonggol-bonggol di sekitar kawasan pengebumian. Ia boleh jelas kelihatan sejauh beberapa kilometer," kata Cecile Paresys yang merupakan ahli arkeologi dari Inrap.
Penggalian yang dilakukan oleh Inrap masih belum menemui sebarang bukti seperti tembikar atau makanan yang sering dimasukkan ke dalam kubur Era Besi untuk bekalan si mati di dunia roh.
Tiada mayat kanak-kanak ditemui seperti kebiasaan dalam kubur orang Celts. Perkara tersebut jelas mengelirukan dan sukar dijelaskan oleh ahli antropologi.
Bagaimanapun, kerja-kerja forensik yang dilakukan dijangka bakal merungkai petunjuk tentang cara kehidupan tamadun berkenaan. Dalam pada itu, rangka-rangka yang dijumpai sedang direkod sebelum dikeluarkan dari kubur untuk proses pemuliharaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: