Monday, April 29, 2013

Sharnaaz Ahmad Anggap Twitter Boleh Musnahkan Hidup

Sharnaaz Ahmad
PETALING JAYA: Selepas kontroversi kisah cinta Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad tidak direstui keluarga berakhir, pelakon lelaki itu mengambil langkah tidak lagi aktif menggunakan mana-mana laman sosial Internet.
Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 28, berkata, dia menyifatkan laman sosial terutamanya seperti Twitter boleh memusnahkan kehidupan seseorang tanpa disedari kerana ia mampu mewujudkan salah faham, pergaduhan dan rasa kecil hati terhadap mana-mana pihak.
"Sekarang ini saya sudah kurangkan penggunaan Twitter di mana saya tidak lagi berkongsi hal-hal peribadi di laman itu, hanya sekadar mempromosikan kerja-kerja saya sahaja.
"Apa yang dilalui sebelum ini saya sudah belajar. Bagi saya, masyarakat sudah menyalahgunakan Twitter dengan menceritakan setiap hal yang berlaku dalam hidup ke laman itu.
"Ia sekali gus memberikan sudut pandangan yang berbeza-beza daripada pihak yang membacanya," kata Sharnaaz kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Tambah Sharnaaz, dia juga tidak mahu berkongsi sebarang cerita mengenai kisah kehidupan peribadinya kepada umum.
Malah ditanya adakah dia menemui pengganti lain selepas Shila, Sharnaaz enggan memberikan sebarang komen tentang perkara itu
"Cukuplah, dengan kejadian sebelum ini. Bercakap pun salah, berdiam pun salah.
"Langkah terbaik ialah saya tak mahu cakap fasal hal peribadi lagi. Nanti tempiasnya akan terkena kepada keluarga saya. Kasihanlah mereka," ujarnya yang sedang menjalani penggambaran drama Mira untuk saluran Astro Ria.
Sementara itu, bersempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Sharnaaz berkata dia akan pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang untuk mengundi.
"Ini merupakan kali kedua saya mengundi di DUN (Dewan Undangan Negeri) Datuk Keramat, bawah parlimen Jelutong. Ini adalah satu kewajipan kita sebagai rakyat," tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Sharnaaz akan muncul dengan filem Gila Baby arahan Khabir Bhatia dan Mukhlis di TV2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: