|
NAMA Shaheizy Sam kekal harum dan segar sebagai selebriti paling popular di Malaysia. Ditambah pula dengan sikap merendah diri, nama Sam terus terpahat dalam hati peminatnya.
Aktor filem Songlap dan Adnan Sempit 2 ini sentiasa memberikan kerjasama yang baik dan jawapan yang memberangsangkan dalam setiap temu ramah mahupun apabila berdepan para peminat fanatiknya.
Sesudah sembilan bulan bercuti merehatkan minda, Sam kembali ke set penggambaran filem Manisnya Cinta bersama aktres, Fazura.
Sibuk sebagai aktor terkenal, Sam sempat ditanya akan manisnya cinta sesuai dengan tajuk produknya sekarang.
"Bagi saya cinta itu manis sekali tetapi bergantung kepada siapa yang memupuk cinta itu bersama kita. Saya pernah tahu rasa manisnya cinta tetapi buat masa sekarang bukan dalam fasa merasa manisnya cinta itu," senyumnya manis.
Buka restoran
Restoran yang diberi nama Best Time Family Cafe & Grill, dibuka di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. Beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam, pelanggan disajikan makanan masakan Melayu dan Barat. Saya sebenarnya sudah lama berminat untuk membuka sebuah kedai makan dan akhirnya impian itu tercapai juga. Kedai ini saya buka dengan kakak, Zizie Ezette dan seorang ibu saudara kami. Ada pelbagai menu di sini tetapi istimewanya ialah masakan panggang yang merupakan resipi saya sendiri.
Magisnya The Magician
Grup peminat saya yang diberi nama The Magician Fan memang mempunyai kuasa magis. Dari dulu memang sudah ada peminat tetapi saya susah dan kesuntukan masa untuk mengumpulkan mereka dalam satu tempat. Tetapi kini dengan adanya The Magician Fan, semua para peminat saya dapat berkumpul malah bersatu untuk menyokong kerjaya seni saya.
Kekalkan populariti dan kualiti
Sebagai pelakon saya harus buat pilihan dalam kerja-kerja lakonan. Ini untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Dahulu saya tidak pegang kata-kata ini tetapi sejak saya bercuti sembilan bulan dan kembali berlakon, saya percaya dengan prinsip ini. Sebagai pelakon perlu selektif tetapi untuk saya bukan memilih skrip sebaliknya pasukan yang bekerja dengan saya. Saya memilih pengarah, pelakon dan pasukan produksi. Bukan sahaja memilih tetapi saya perlu jaga perhubungan dengan mereka.
Kecurian kereta
Nasihat saya kepada pemilik kenderaan, kita perlu sentiasa berhati-hati terutamanya ketika meletakkan kereta di parkir. Kalau ada duit lebih, pasanglah aksesori untuk keselamatan kenderaan. Tetapi kalau terjadi juga, terimalah qada dan qadar Tuhan.
Nombor kegemaran
Saya gemarkan nombor tiga, enam dan sembilan. Saya pun tidak tahu mengapa tetapi saya gemarkan tiga nombor tersebut. Dahulu saya sukakan nombor dua dan tujuh. Cuma baru-baru ini minat ke arah nombor itu berubah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: