Tuesday, April 23, 2013

Dokumentari Palestin Afdlin

AFDLIN SHAUKI akan kembali ke Palestin buat kali kedua pada bulan hadapan untuk menyambung rakaman dokumentarinya tentang pergolakan dan kehidupan rakyat di sana.


PENDERITAAN yang dilalui oleh umat Islam di Palestin akibat kekejaman Israel bukan sahaja menarik perhatian orang ramai, malah turut mendapat simpati daripada golongan artis di negara ini.
Antara artis yang dilihat begitu bersemangat dalam berkempen untuk menyeru masyarakat memberikan bantuan yang sewajarnya adalah pengarah dan pelakon Afdlin Shauki.
Dia yang berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi Gaza, Palestin pada akhir tahun lalu untuk menyaksikan sendiri keadaan yang sedang berlaku, ternyata ia telah membuka mata buat dirinya untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Selain itu, Afdlin juga turut bergiat aktif dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Aqsa Syarif yang bertindak untuk mengutip sumbangan yang akan disalurkan kepada rakyat Palestin.
Ikuti temu bual Kosmo! dengan Afdlin berhubung peranannya bersama NGO berkenaan setelah dia dilantik sebagai duta sejak bulan Disember tahun lalu.
Kosmo!: Apakah yang membuatkan Afdlin begitu bersemangat dalam kempen membantu rakyat Palestin?
AFDLIN: Sepanjang berada seminggu di sana pada tahun lalu, saya dapat melihat kemusnahan teruk yang berlaku akibat serangan yang dilakukan oleh tentera zionis.
Apa yang lebih memilukan lagi apabila ramai rakyat Palestin yang kehilangan nyawa, kanak-kanak menjadi yatim piatu dan ahli keluarga yang terpisah. Keadaan itu memberi kesan emosi yang cukup mendalam sehinggalah saya bertekad untuk membantu mereka.
Sepanjang menjadi duta kepada Aqsa Syarif, apakah peranan anda bersama NGO tersebut?
Sejak saya dilantik sebagai duta sejak Disember tahun lalu, banyak aktiviti yang dilakukan, terutamanya menyertai kempen untuk mengutip dana yang akan disalurkan kepada rakyat Palestin menerusi Aqsa Syarif. Selain itu, saya juga banyak mendapat undangan untuk memberi ucapan dalam kalangan penuntut universiti dan saya akan menceritakan semua pengalaman yang pernah saya lalui semasa mengunjungi Palestin.
Setelah kali pertama menjejakkan kaki ke Palestin, adakah anda merancang untuk ke sana lagi?
Perancangan itu memang ada dan kalau tiada halangan saya akan ke sana sekali lagi pada bulan hadapan. Tujuan saya kali ini adalah mahu melengkapkan penerbitan dokumentari yang sedang saya hasilkan tentang situasi yang berlaku di Palestin.
Adakah dokumentari tersebut akan dijual kepada stesen televisyen atau dihasilkan dalam bentuk cakera padat digital (DVD)?
Saya hanya merancang untuk memuat naik ia dalam laman YouTube kerana saya mahu orang ramai dapat menyaksikan sendiri suasana yang berlaku di sana. Namun, sekiranya ada mana-mana stesen televisyen yang berminat, saya sedia menjualnya. Kemudian hasil yang diterima daripada jualan dokumentari tersebut akan disumbangkan kepada Aqsa Syarif untuk diserahkan kepada rakyat Palestin.
Apakah projek-projek lain yang sedang anda usahakan sekarang ini?
Sebenarnya saya sedang merangka satu projek iaitu menghasilkan sebuah album khas tentang Palestin. Dalam album tersebut turut membabitkan penglibatan beberapa penyanyi yang lain seperti Datuk Sheila Majid, Faizal Tahir dan Adibah Noor. Setakat ini kesemua penyanyi yang terlibat sudah bersetuju dengan projek ini dan ia akan mula dilakukan pada bulan Jun. Buat masa sekarang kami sedang proses untuk mencipta lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut.
Di manakah anda akan mengundi pada pilihan raya umum (PRU) yang akan berlangsung pada 5 Mei ini?
Kalau tiada halangan saya akan mengundi di Parlimen Wangsa Maju. Cuma, saya berharap agar selepas PRU nanti semua rakyat Malaysia akan kembali bersatu tanpa mengira fahaman politik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: