Friday, April 26, 2013

Aaron tidak tertekan dengan isu FDAM


AARON yang pertama kali duduk di kerusi pengarah filem sentiasa berbincang dengan Ahmad Idham (kiri) dalam melancarkan penggambaran filem sulungnya, Romeo Kota.


DIBERI peluang untuk duduk di kerusi pengarah oleh syarikat Excellent Pictures Sdn. Bhd. bagi mengarahkah filem berjudul Romeo Kota merupakan satu anjakan buat Aaron Aziz yang lebih dikenali sebagai seorang pelakon.
Bagaimanapun, pelakon kelahiran Singapura itu berdepan pula dengan kontroversi apabila pihak Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) telah membuat serbuan di lokasi penggambaran filem berkenaan pada 3 April lalu.
Serbuan tersebut dilakukan gara-gara Aaron dikatakan telah melanggar peraturan kerana tidak mempunyai kebenaran untuk menjadi pengarah serta tidak mendaftar sebagai ahli FDAM.
Aaron yang ditemui di lokasi penggambaran filem berkenaan baru-baru ini, menjelaskan sepatutnya isu berkenaan boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu menggembar-gemburkan kepada pihak media untuk menunjukkan dirinya bersalah dalam perkara tersebut.
"Kejadian diserbu sebegini bukanlah kali pertama kerana ia sudah berlaku sebanyak tiga kali ke atas diri saya. Sebelum ini pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pernah membuat pemeriksaan sama ada saya memiliki permit ketika berlakon dalam filem KL Gangster serta drama Adam Dan Hawa dahulu.
"Apabila kejadian diserbu di lokasi penggambaran ini berulang, saya melihatnya sebagai salah satu cabaran yang terpaksa dilalui, tetapi berasa lega apabila pihak penerbit banyak membantu saya untuk mengatasi segala masalah yang timbul," ujarnya tenang.
Ketika ditanya sama ada dia tertekan dengan permasalahan berkenaan, Aaron menyatakan dia tidak perlu berasa sedemikian kerana perkara yang lebih penting adalah terus menjalankan tanggungjawab yang diberi serta fokus untuk menyiapkan filem sulungnya itu.
"Sebelum ini saya pernah mengarahkan sebuah telefilem berjudul Kekasih Awal Dan Akhir pada tahun 2011, tetapi tiada pula mana-mana pihak yang datang membuat serbuan.
"Sudah tentu kejadian ini menimbulkan sedikit kehairanan, tetapi saya tidak mahu tuduh kalau ada orang yang ada hasad dengki. Lebih penting saya terus diberikan rezeki oleh Allah, meskipun berhadapan dengan pelbagai kontroversi selama ini," ujarnya.
Menjelaskan lebih lanjut tentang perkara sebenar yang berlaku, Ahmad Idham selaku penerbit menegaskan, pihaknya langsung tidak melakukan sebarang kesalahan kerana telah mengikut segala prosedur untuk proses menerbitkan.
Jelasnya: "Apabila memohon Sijil Perakuan Penggambaran daripada pihak Finas, antara syarat yang ditetapkan ialah seseorang yang menjadi pengarah perlu mendaftar sebagai ahli dalam salah satu persatuan sama ada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) atau FDAM.
"Sebenarnya Aaron sudah mendaftar sebagai ahli Seniman dan Profima, tetapi dia dikatakan telah melanggar syarat apabila tidak mendaftar dengan FDAM sebelum menjadi pengarah. Sedangkan syarat sebegitu tidak pernah diperkenalkan sebelum ini.
Menurut Idham lagi, apabila berjumpa dengan pihak FDAM, barulah dia diberitahu bahawa persatuan berkenaan telah mengemaskini syarat yang baharu, antaranya seseorang yang menjadi pengarah perlu berdaftar dengan FDAM terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengarah drama, telefilem atau filem.
Bagaimanapun, penerbit berkenaan turut meluahkan kekecewaannya apabila tidak ada mana-mana pihak FDAM yang menjelaskan mengenainya sebelum ini sehinggalah timbul masalah tersebut.

PENGARAH Fotografi, Raja Mukhriz (baju merah) sedang menjelaskan sesuatu kepada Nabil, (kanan), Ahmad Idham dan Aaron.


"Saya juga merupakan salah seorang ahli FDAM yang sudah lama berdaftar dan sepatutnya kalau ada sebarang perubahan yang berlaku setiap ahli perlu diberitahu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan," tegasnya.
Berhubung dengan kenyataan oleh Timbalan Presiden FDAM, Abdul Rahim Awang yang meminta pihak penerbit supaya mencari pengarah pengganti, Idham menyatakan ia tidak perlu dilakukan kerana Aaron sudah mendaftar sebagai ahli FDAM selepas seminggu serbuan dibuat.
"Yuran sebanyak RM1,500 yang dikenakan untuk menjadi ahli sudah pun dibuat, malah Aaron juga sudah diberi nombor ahli FDAM. Jadi, dia memang layak untuk meneruskan kerja-kerjanya dan tidak perlu mencari pengganti," ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, Idham turut menjelaskan tidak timbul isu Aaron sebagai seorang pekerja asing memandangkan ketika ini dia sudah pun mendapat taraf Penduduk Tetap di negara ini.
Turut berlakon
Selain diberi peluang untuk menjadi pengarah filem Romeo Kota, Aaron berlakon dalam filem tersebut bersama beberapa pelakon lain seperti Nabil dan Hanis Zalikha.
Merupakan sebuah filem aksi komedi, Romeo Kota mengisahkan tentang dua orang detektif yang ditugaskan untuk menyamar di sebuah kolej bagi menyiasat tentang kegiatan penyeludupan dadah yang berlaku.
Menurut Aaron, segala proses penggambaran berjalan dengan lancar dan dia banyak dibantu oleh Pengarah Fotografi, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dan Ahmad Idham.
"Walaupun penggambaran sudah selesai dilakukan, tetapi saya tidak boleh menarik nafas lega kerana masih ada beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan termasuk proses penyuntingan.
"Apabila pihak penerbit memberikan tanggungjawab ini kepada saya, ia satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan dan merupakan satu landasan untuk saya pergi lebih jauh dalam bidang seni," ujarnya.
Sebelum mengakhir bicara, pelakon tersebut menyatakan dengan pengalaman yang diraih, dia kini bersedia menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak untuk menjadi pengarah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: