Sunday, April 28, 2013

Kolaborasi Hexa Band, Ani Mayuni


HEXA BAND terdiri daripada (dari kiri) Nilam, Daus, Pojie, Ika dan Mixa.


LIMA orang anak muda yang terdiri daripada dua jejaka dan tiga gadis ini menggelarkan diri mereka sebagai ahli kumpulan Hexa Band. Mereka sepakat memilih nama tersebut yang terbit daripada singkatan sebuah istilah matematik, hexadecimal.
Biarpun nama grup itu kedengaran sedikit kompleks, namun irama yang dibawakan oleh Hexa Band lebih berentak santai.
Selain merupakan sebuah gabungan grup muzik yang terdiri daripada adik-beradik dan sepupu, band itu menjadi lebih istimewa apabila ditunjangi oleh golongan gadis sebagai pemain muzik.
Selain Pojie selaku vokalis dan Daus sebagai pemain gitar bass, ahli lain yang merupakan tiga orang gadis ialah Nilam sebagai pemain gitar, Ika (gitar utama) dan Mixa (pemain dram).
"Keistimewaan grup kami juga adalah kerana pemain muziknya terdiri daripada kaum Hawa. Walaupun setiap orang daripada kami boleh menyanyi, tetapi tugasan sebagai vokalis diberikan kepada Pojie.
"Sengaja dikekalkan gadis sebagai pemain muzik kerana itu adalah identiti kami," kata Mixa yang merupakan jurucakap Hexa Band.
Bukan sahaja mempertaruhkan sebuah single berentak pop alternatif yang berjudul Macam-macam Ada, Hexa Band turut meletakkan sasaran untuk menghasilkan sebuah album mini tidak lama lagi.
"Sementara single tersebut diputarkan di radio dan menerima maklum balas daripada pendengar, kami juga dalam usaha menyiapkan material untuk menghasilkan sebuah album dengan lima buah lagu.
"Album itu yang mengenengahkan irama pop alternatif dijangka akan dikeluarkan pada bulan hadapan. Album itu nanti menjadi lebih istimewa kerana ia mendapat sentuhan daripada penyanyi, Ani Mayuni," kata Mixa.
Selain terlibat menerbitkan album tersebut, penyanyi dangdut itu yang popular dengan lagu Terang Bulan dan Dasar Buaya Cinta turut menjadi penasihat imej, muzik dan vokal kepada mereka.
Menolak untuk dilabel sebagai menumpang populariti penyanyi tersebut, kata mereka, penglibatan Ani Mayuni di dalam album itu merupakan usaha perkongsian pengalaman daripada dua generasi penyanyi.
"Dia juga menjadi penerbit untuk album itu nanti. Kami bertuah kerana mengenali penyanyi yang berpengalaman sepertinya dan banyak pengetahuan yang dikongsikan terutamanya dari segi vokal dan imej.
"Kami akan berkerjasama dalam lagu Jangan Pura-Pura yang turut dimuatkan dalam album itu. Tetapi lagu itu tidak diangkat menjadi lagu single bagi membuktikan yang kami sebenarnya mampu dikenali dengan lagu nyanyian sendiri.
"Jika sebelum ini Ani Mayuni terkenal dengan lagu irama dangdut, untuk lagu itu kami membawa kelainan kerana Ani Mayuni akan membuktikan bahawa dia juga bagus membawa rentak pop," kata Mixa lagi.
Usaha mereka untuk berkerjasama dengan penyanyi yang pernah popular pada suatu ketika dahulu itu menjadi lebih mudah kerana mereka turut mempunyai ikatan persaudaraan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: