Tuesday, April 30, 2013

Matang hadapi dugaan

NORA DANISH menganggap segala kontroversi yang menghimpit dirinya sebagai satu asam garam dunia hiburan.


MENGGALAS nama sebagai pelakon popular bukan mudah untuk Nora Danish menepis segala kontroversi yang hadir pada dirinya.Begitu juga status ibu tunggal yang dipegangnya hampir lima tahun lalu. Fitnah tidak malu-malu menghambur Nora, namun ibu kepada Putra Rayqal Ramli itu tetap teguh kerana dia percaya ujian mendatangkan kebahagiaan.
Bercerita tentang kontroversi yang melanda Nora sejak dirinya bergelar ibu tunggal, pelakon drama Puteri itu sering sahaja digosipkan dengan pelakon lelaki gandingannya.
Nora juga dilihat semakin berani membawa watak-watak panas dalam sesebuah drama atau filem. Tidak cukup dengan itu, dia digelar pula sebagai 'janda hot' kerana penampilannya yang sentiasa cantik dan seksi.
Mengulas mengenai perkara itu, ungkap Nora, dia lebih suka jika orang menggelarnya ibu tunggal berbanding janda kerana berasakan perkataan itu (janda) kedengaran agak keras dan kasar.
"Saya lebih suka dipanggil ibu tunggal kerana janda itu amat keras bunyinya. Tidak kira apa gelaran pun yang penting ia berunsur positif. Saya bersyukur di atas apa yang diberi," ujarnya.
Melanjutkan kata-katanya, tutur Nora, dia tidak takut digosipkan dengan pelakon-pelakon lelaki gandingannya kerana tidak pernah berbuat salah.
Baginya, sudah asam garam dunia hiburan, gosip sebegitu tidak dapat dielakkan.
Apa yang penting, luahnya, dia berbuat kerja atas dasar ikhlas dan tidak mahu peduli dengan kontroversi sebegitu.
Tidak kesal
Sudah terang dan jelas mengenai perkara itu, Nora menyambung bicara mengenai watak-watak panas yang didukungnya sehingga mencetuskan kontroversi.
Antaranya menerusi filem Mencari Cinta bersama Rusdi Ramli, sehingga ada yang mendakwa dia berbogel di dalam salah satu babak filem tersebut.
Meluahkan keluh-kesahnya, Nora mendedahkan, tidak berasa kesal mengenai kontroversi yang terjadi berikutan watak-watak panas yang dibawanya.
"Sebagai seorang yang bernama pelakon, saya haruslah berani untuk mencuba pelbagai watak.
"Bagaimanapun, saya tidak akan melakukan babak yang melampau atau saya rasa tidak bersesuaian dalam sesuatu babak cerita itu.
"Biarpun hanya seorang pelakon, saya diberi hak juga untuk bersuara. Jadi saya gunakan hak bersuara tersebut sekiranya berasa ada adegan yang keterlaluan buat saya," jelasnya.
Sengaja menjentik persoalan, Nora ditanya sama ada dia sudah berpuas hati dengan tahap lakonannya sekarang.
Bersyukur kerana lakonannya makin mendapat nama di hati peminat dan penerbit, luah Nora, dia amat bersyukur kerana akhirnya berjaya membawa watak berat berbanding komedi yang begitu melekat dengan dirinya seperti pada awal karier lakonannya lebih sembilan tahun lalu.
Pelakon Terbaik
Ujar Nora, drama Tentang Dhia banyak membuka mata peminat terhadap kredibilitinya sebagai seorang pelakon. Begitupun, dedahnya, dia tidak pernah berasa puas dengan hasil lakonannya kerana mengakui masih dalam peringkat belajar.
Kongsinya, bukan senang untuk membawa watak yang berlainan dengan karakternya yang lemah lembut, tetapi Nora selalu menganggap ia sebagai cabaran dan sentiasa belajar untuk jadi yang terbaik.
Nora kemudian diajukan pertanyaan, apakah perkara yang ingin dicapainya sebagai seorang pelakon.
"Saya mahu mendapat tawaran filem atau drama yang dapat memberi kepuasan dari segi karakter dan juga penceritaan.
"Saya juga berharap dapat memenangi anugerah pelakon terbaik dan juga dikenali di luar negara," ujarnya penuh harapan.
NORA mahu membuktikan kredibiliti lakonannya dengan memenangi anugerah pelakon terbaik pada masa akan datang.


Kahwin
Setelah memegang status ibu tunggal hampir lima tahun, keinginan peminat Nora untuk melihat pelakon comel itu berkahwin semula amat mengujakan.
Terbaharu, ada peminat ternampak kelibat Nora ketika berada di Jakarta, Indonesia bersama seorang lelaki.
Peminat itu mendakwa telah melihat Nora membeli barangan persiapan perkahwinan.
Menembak pertanyaan itu kepada Nora, dia mengakui berada di sana ketika menjalani penggambaran 10 episod Republik Cinta Ahmad Dhani.
"Saya cuma ke Indonesia ketika menjalani penggambaran bersama Dhani sebagai hos bersama untuk program hiburan tersebut.
"Saya akui, memang saya ada membeli kain untuk hari raya dan koleksi peribadi. Mungkin orang tersalah anggap.
"Saya masih belum merancang untuk mendirikan rumah tangga. Jika ada saya tidak akan nafikannya kerana ia adalah benda yang baik,"akuinya.
Ahmad Dhani
Terlanjur berbicara tentang kerjasama bersama Dhani, Nora berkongsi keterujaannya.
Sebagai seorang yang baharu dalam bidang pengacaraan, kata Nora, dia berasa amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan nama yang besar seperti Dhani.
"Saya juga antara peminat dia. Sepanjang penggambaran program Republik Cinta di kediamannya di Jakarta, saya dapati dia seorang yang tidak sombong dan suka bergurau, malah dia gemar bercerita tentang sejarah.
"Jadi tidak hairan apabila saya dapati kediamannya mempunyai koleksi barangan antik yang beratus tahun termasuk perabut dan juga perhiasan dinding," cerita Nora yang mengakui sangat meminati lagu Larut daripada album Dewa 19 dan juga lagu Triad iaitu Istimewa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: