Friday, April 5, 2013

Diapercake unik dan comel

DIAPERCAKE digubah oleh Azlin Huzaireen mengikut cita rasa pelanggannya.


APABILA menerima berita kelahiran bayi daripada ahli keluarga terdekat dan sahabat handai, pastinya otak ligat memikirkan hadiah yang mahu dibeli buat orang baharu.
Sudah menjadi kemestian majoriti daripada kita membeli pelbagai barangkeperluan bayi baik hamper mahupun kotak hadiah sepersalinan baju si comel yang banyak dijual di gedung-gedung barangan bayi.
Namun, bagi mereka yang mahu lari daripada pemberian hadiah yang klise dan mahukan kelainan, diapercake boleh dijadikan pilihan. Ia bukan sahaja comel dan unik, malah lain daripada yang lain.
Diapercake mula menjadi trend pemberian hadiah buat si comel sejak dua tahun lalu. Bagi yang tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan diapercake, ia merupakan diapers atau lampin bayi yang dibentuk menjadi kek ditambah dengan pelbagai keperluan bayi dan aksesori.
Suka-suka
Memandangkan ia sesuatu yang baharu di pasaran Malaysia, Azlin Huzaireen Mohd. Razaffli, 34, mula berjinak-jinak memasarkan diapercake hasil gubahan seni tangannya pada tahun 2011.
“Tidak terlintas untuk membuat bisnes kerana pada mulanya saya menjadikannya sebagai hobi sahaja.

AZLIN HUZAIREEN menjadikan laman sosial Facebook dan blog sebagai medium mempromosikan diapercake.


“Lama-kelamaan ia mendapat sambutan yang menggalakkan, jadi tidak salah untuk meneruskannya memandangkan ia dapat menjana pendapatan sampingan,” katanya yang mencintai apa sahaja berkaitan kraf dan bayi.
Wanita berasal dari Kuantan, Pahang itu turut memasarkan diapercake melalui internet.
Anak pertama daripada empat beradik itu memberitahu, pada mulanya diapercake ciptaannya hanya mendapat sambutan dalam kalangan saudara-mara dan rakan-rakan rapat sebelum ia berkembang ke pasaran yang lebih luas.
Berbekalkan promosi daripada mulut ke mulut, semakin hari hasil gubahan diapercake Azlin Huzaireen mula mendapat tempat di hati pelanggan.
“Biasanya diapercake yang digubah mengandungi lampin pakai buang, rompers, washcloth musical soft toy, stokin, baby rattle, bedung dan soft book.
“Menggubah diapercake tidak susah, namun cabarannya adalah ketika memilih koordinasi warna. Ia perlu dipadankan dengan reka corak yang sedia ada dalam stok,” ujarnya yang mengambil masa lebih kurang 30 minit bagi menggubah sebuah diapercake.
Permintaan pelanggan
Dia belajar seni gubahan diapercake melalui internet dan kaedah cuba jaya. Diapercake terbahagi kepada dua iaitu diapercake atau bakul hadiah digubah berdasarkan stok sedia ada dan tempahan pelanggan berdasarkan bajet, umur dan jantina bayi.
Diapercake biasanya untuk bayi baru lahir hingga berusia tiga tahun dijual serendah RM60 hingga RM300 bergantung kepada barang yang digunakan.
Masih bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat, Azlin Huzaireen memberitahu, tempahan diapercake diterima melalui panggilan telefon dan dalam talian.

AZLIN HUZAIREEN mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk menggubah sesebuah diapercake.


Setelah pembayaran dilunaskan, diapercake akan dihantar dengan menggunakan perkhidmatan pos laju atau diambil sendiri oleh pelanggan jika berada di sekitar Kuala Lumpur.
“Permintaan tidak terhad di sekitar Lembah Klang sahaja kerana diapercake gubahan saya turut mendapat permintaan dari seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
“Modal permulaan perniagaan ini adalah sebanyak RM1,000. Perniagaan ini hanya dilakukan secara dalam talian memandangkan saya masih bekerja sepenuh masa,” katanya yang mendapatkan stok pakaian kanak-kanak dari sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Menghasilkan 20 diapercake dalam tempoh seminggu tidak menjadi masalah, memandangkan dirinya sangat meminati seni gubahan.
Sebelum serius menggubah diapercake Azlin Huzaireen sering kali membantu rakan dan saudara-mara menyiapkan hantaran sama ada hantaran pertunangan, perkahwinan dan menghasilkan bunga telur.
Kini, dia mempelbagaikan produk perniagaan seperti bakul dan kotak hadiah.
Selain itu, Azlin Huzaireen turut menyediakan keperluan ibu selepas bersalin dan berpantang dengan menjual korset Premium Beautiful yang dikenali sebagai bengkung moden.
“Setiap perniagaan pasti ada cabarannya, dalam perniagaan diapercake ini, saya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan stok.
“Begitupun, saya berharap bisnes ini berkembang maju dan mendapat tempat di hati pelanggan,” ujarnya yang memasang impian untuk membuka kedai menjual pelbagai kelengkapan ibu dan anak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment