Monday, April 29, 2013
Wings Rockestra menyengat
TIGA bulan persiapan menjelang Konsert Wings Rockestra yang telah membuka tirai persembahan bermula malam Jumaat lalu hingga Selasa ini (30 April), Wings bagaimanapun belum cukup puas dengan pencapaian yang diraih hari ini.
Tempoh 28 tahun menggalas peranan sebagai sebuah band yang memperjuangkan muzik-muzik rock, Wings menyasarkan untuk beraksi di konsert solo berskala besar di stadium pula.
“Sudah pasti impian setiap penyanyi untuk mengadakan konsert sendiri dan Wings mengimpikan untuk membuat konsert di dalam stadium selepas ini.
“Diberikan kepercayaan untuk membuat persembahan di pentas berprestij umpama Istana Budaya menerusi Wings Rockestra sebenarnya sudah cukup membuatkan kami teruja dan berbangga,” ujar vokalis Wings, Awie yang ditemui sejurus selepas tamat persembahan pada malam previu khas bersama media, 25 April lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Tambah Awie, dia juga mengimpikan untuk membuat persembahan bersama band dari Amerika Syarikat selepas ini sekiranya diberi peluang.
“Kami sebelum ini pernah mengadakan persembahan bersama band dari United Kingdom, Brunei dan Singapura. Sekarang menjadi cita-cita kami pula untuk beraksi bersama band dari Amerika Syarikat,” katanya yang memasang hajat untuk berkongsi pentas bersama Metallica dan Motley Crew.
Wings Rockestra yang turut diiringi oleh 43 orang pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipimpin oleh Mustafa Fuzer berlangsung selama dua setengah jam dan menampilkan untaian lagu yang sebelum ini jarang dipersembah atau diperdengarkan di radio.
Ujar gitaris Wings yang merupakan penggerak utama Wings Rockestra, Joe, pemilihan lagu dibuat berdasarkan kesesuaian rentak lagu untuk digabungkan dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan.
“Lagu orkestra lebih kepada rentak klasikal dan kami memilih lagu-lagu yang sesuai untuk memberikan mood tersebut sepanjang persembahan berlangsung.
“Cabaran kali ini adalah melaksanakan muzik tanpa ada pertukaran saat akhir dan harus ‘bermain’ sama seperti latihan tanpa berlanggar dengan pemuzik orkestra,” tambah Joe.
Wings Rockestra membuka persembahan dengan lagu Amok disusuli 19 buah lagu berikutnya seperti Bujang Senang, Suara Kita, Anugerah, Alam Barzakh, Julang Timur Tengah, Ranjang Mawar dan lagu yang paling digemari Awie iaitu Harapan dan Dari Tuhan.
Masih menyelitkan lagu-lagu malar segar Wings antaranya Misteri Mimpi Syakila, Taman Rashidah Utama dan Opera Hidup, konsert penuh nostalgik itu ditutup dengan lagu Sejati yang membuatkan audiens meremang bulu roma dengan gubahan muzik lagu tersebut.
Mencuri tumpuan segmen Ilusi Intonasi yang menampilkan tiga pemain gitar legenda iaitu gitaris kumpulan Search, Hillary Ang, gitaris band terkemuka Indonesia, God Bless, Ian Antono dan Joe Wings sendiri.
Kata Awie secara tidak langsung dia telah mengimbau kembali langkah sulung Wings sekitar tahun 1987 apabila berjaya menyampaikan lagu-lagu yang jarang diperdengarkan kepada peminat.
“Peminat selalu minta lagu yang selalu mereka dengar dan ini peluang untuk kami mempersembahkan lagu-lagu yang jarang dan tidak sempat dimainkan sebelum ini. Alhamdulillah semua berjalan lancar,” simpul Awie.
Apapun, syabas diucapkan kepada Wings atas kejayaan konsert solo kedua mereka Wings Rockestra selepas melakar kejayaan sama pada Konsert Wings Opera Hidup dua tahun lalu!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: