Friday, April 26, 2013

Rawatan awal selamatkan nyawa



RAUNGAN seorang penunggang motosikal di bahu jalan yang kesakitan akibat dilanggar sebuah kereta membuatkan ramai pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan masing-masing.
Luka teruk di dahinya membuatkan darah tidak berhenti mengalir, malah tangannya juga mungkin patah.
Ramai yang mula berkumpul di tempat kejadian, namun tiada seorang pun berani tampil memberikan bantuan kecemasan kepada lelaki tersebut.
Hanya seorang dua yang mendekati lelaki tersebut untuk menenangkannya sementara menunggu kehadiran ambulans untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Mujur ambulans tiba awal ke lokasi kejadian. Jika lewat, mungkin sesuatu yang lebih buruk berlaku ke atas mangsa kemalangan tersebut.
Orang awam yang mengerumuni tempat kejadian sambil berpeluk tubuh menjadi penonton, tidak boleh dipersalahkan kerana kemungkinan mereka juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang rawatan kecemasan.
Ilmu pertolongan cemas
Insiden yang berlaku beberapa bulan lalu itu membuatkan penulis sedar mengenai kepentingan ilmu pertolongan cemas dalam diri setiap individu kerana tindakan awal mungkin boleh menyelamatkan nyawa mangsa.
Bukan sahaja ilmu asas pertolongan cemas perlu ditimba, malah kit pertolongan cemas juga perlu ada di dalam setiap kereta untuk memberikan rawatan awal kecemasan andai berlaku kemalangan sementara menunggu pasukan paramedik tiba.
“Sepatutnya semua orang perlu memiliki kit pertolongan cemas memandangkan kita sering berdepan dengan situasi yang memungkinkan terjadinya kecederaan atau kes kemalangan kecil.
SETIAP kit pertolongan cemas mengandungi barang-barang mengikut keperluan sesuatu tempat.


“Banyak kes yang dibawa ke hospital berdepan dengan komplikasi besar gara-gara kecederaan tersebut tidak diberikan bantuan kecemasan awal,” kata Dr. Mohammad Hazimi Hamzah yang merupakan seorang pengamal perubatan.
Tambahnya, pendarahan banyak yang lambat dihentikan atau luka yang tidak dicuci dengan baik mendedahkan seseorang itu dengan jangkitan kuman.
Kit pertolongan cemas
Menurut Mohammad Hazimi, rawatan awal kecemasan sebenarnya lebih penting, namun ramai yang menganggap ia sebagai satu perkara yang remeh.
“Tidak dinafikan ramai yang khilaf mengenai ilmu bantuan kecemasan. Jadi, seseorang itu perlu mengambil inisiatif belajar mengenainya dengan mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan pihak Kementerian Kesihatan.
“Kit pertolongan cemas perlu ada dalam setiap rumah. Ia bukan sekadar untuk kegunaan kecemasan sahaja, malah boleh dijadikan tempat kita meletakkan dokumen dan rekod kesihatan supaya tidak hilang,” katanya sambil memberitahu, kepentingan kad kesihatan diletakkan di dalam dompet bagi membolehkan seseorang itu membuat rujukan jika ada alergi terhadap ubat.
Mohammad Hazimi juga menyarankan supaya kit pertolongan cemas diletakkan di kawasan terbuka yang mudah diingat dan dilihat bagi memudahkannya dicapai apabila berlaku kecemasan.
“Ia perlu diletakkan pada ketinggian yang ditetapkan iaitu tidak terlalu rendah hingga mudah dicapai oleh anak-anak kecil,” ujarnya sambil menyarankan kit pertolongan cemas wajib ada di dalam setiap rumah, pejabat dan kenderaan.
Dalam pada itu, ahli farmasi yang juga merupakan pemilik Farmasi Srisuria Sdn. Bhd., Azean Abdul Ghani, 35, memberitahu, kandungan yang perlu ada dalam sesebuah kit pertolongan cemas bergantung kepada tempat kerana keperluannya berbeza.

DENGAN adanya kit pertolongan cemas, segala ubat-ubatan dapat disimpan secara sistematik.


“Jika di kilang, kandungan di dalam kit pertolongan cemas mungkin berbeza dengan di rumah kerana kecederaan yang berlaku di kilang lebih serius berbanding di rumah.
“Sungguhpun begitu, keperluan asas yang perlu ada dalam sesebuah kit pertolongan cemas ialah pembalut luka, pencuci luka, gunting, forsep, kapas, sarung tangan, anduh, plaster dan kain kasa (gauze),” katanya sambil memberitahu, kit tersebut juga boleh ditambah dengan parasetamol atau tablet-tablet lain yang bukan dalam kategori dadah yang memerlukan nasihat ahli farmasi.
Periksa tarikh luput
Jelas Azean, apabila sudah ada kit pertolongan cemas, seseorang itu perlu memeriksa tarikh luput senarai barang-barang di dalamnya selain mengisi semula barang-barang yang telah habis digunakan untuk kegunaan pada masa akan datang.
“Biasanya, barang-barang dalam kit pertolongan cemas luput tempohnya dalam masa dua hingga tiga tahun. Jika seseorang itu langsung tidak pernah menggunakannya, pemeriksaan setahun sekali wajar dilakukan.
“Ia mungkin kedengaran tidak penting, namun dengan adanya kit pertolongan cemas ini, ia memudahkan kita apabila berlakunya kecemasan kerana dalam satu kotak, segala keperluan ada,” ujarnya.
Menurut Azean, kit pertolongan cemas dijual antara harga RM70 hingga RM100.
“Kotak pertolongan cemas ini ada yang diperbuat daripada metal, plastik dan polyvinyl chloride (PVC) yang didatangkan dengan warna putih dan merah.
“Seseorang itu juga perlu ada ilmu asas tentang rawatan kecemasan. Pernah terjadi kepada seorang pelanggan lukanya tidak sembuh-sembuh kerana cara cucian luka yang salah,” katanya sambil memberitahu, kebiasaannya dalam setiap kotak kecemasan terdapat manual merawat kecederaan mudah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: