|
KAPAL pertama yang dibina bagi tujuan persiaran di dunia ialah Prinzessin Victoria Luise, rekaan Pengurus Besar Hamburg-America Line, Albert Ballin pada tahun 1900. Kapal-kapal lain kemudiannya juga mengalami transformasi. Evolusinya bermula daripada kapal belayar untuk berperang atau berniaga kepada kapal yang mesra pelancong.
Proses yang sama juga melahirkan kapal persiaran terkenal, Titanic yang dianggap kebal tetapi akhirnya karam akibat terlanggar bongkah ais.
Hari ini, kapal persiaran saling tidak ubah seperti ‘hotel terapung’ dengan perkhidmatan hospitaliti yang lengkap. Malah, bukan sesuatu yang luar biasa bagi kapal-kapal persiaran terutamanya kapal mewah untuk mempunyai lebih ramai kru dan kakitangan berbanding penumpang.
Trend pelancongan itu juga tidak terkecuali di negara ini. Sebagai negara maritim, Malaysia menjadi tumpuan persinggahan kapal-kapal persiaran dari seluruh dunia.
Kapal persiaran terkenal di Malaysia kini dikendalikan oleh Star Cruises seperti Star Pisces, SuperStars Aquarius, SuperStar Libra, SuperStar Virgo dan terbaharu, SuperStar Gemini.
Gemini paling bongsu
SuperStar Gemini telah memulakan pelayaran sulungnya dari jeti kapal persiaran antarabangsa di Pelabuhan Swettenham, Pulau Pinang pada 6 Januari lalu ke Phuket dan Krabi di Thailand.
Kapal persiaran seberat 50,764 tan itu tiba di Pulau Mutiara dari Pusat Kapal Persiaran Mewah Singapura bagi menyambung pelayaran tahunannya mengelilingi Asia.
Naib Presiden Kanan Jualan Star Cruises, Michael Goh berkata, Pulau Pinang menjadi pelabuhan utama bagi SuperStar Gemini sepanjang Januari lalu sebelum kapal itu berlepas ke Sanya dan Shanghai, China sehingga Oktober tahun ini.
Menurut beliau, selepas dinaik taraf, kapal persiaran itu dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih seperti sistem pandu arah dan kawalan keselamatan.
“Kabin-kabin penginapan juga berwajah baharu, manakala sisi badan kapal pula dihiasi dengan corak hiasan gelombang berwarna-warni,” katanya ketika ditemui di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Menurut Michael, SuperStar Gemini bukan sahaja menyajikan percutian hebat dalam suasana menyeronokkan kepada penumpang, tetapi juga menyajikan nilai-nilai kemewahan menerusi pelbagai kemudahan yang disediakan.
Ia terbukti mampu memberikan kepuasan kepada pelanggan apabila operasinya dikendalikan oleh syarikat pelancongan yang menjadi rakan perniagaan Star Cruises selama 20 tahun, Hwajing Travel and Tours (Hwajing).
“Tahun ini juga mencatat kejayaan tersendiri bagi Star Cruises yang bakal meraikan ulang tahun ke-20,” katanya.
SuperStar Gemini yang melalui proses naik taraf melibatkan kos kira-kira AS$50 juta (RM151.5 juta) itu memiliki sebanyak 766 kabin penginapan mewah bagi menampung 1,532 penumpang dalam satu-satu pelayaran.
Bagi Pengarah Urusan Hwajing, Kenny Cheong, pelayaran sulung SuperStar Gemini menandakan permulaan baharu kepada Hwajing.
Selepas 20 tahun, kata Kenny, pihaknya terus kekal menyediakan pengalaman percutian pelayaran terbaik kepada pelanggan dengan kerjasama dengan Star Cruises.
Selain menaikkan reputasi Hwajing, Kenny berkata, ia secara tidak langsung menaikkan reputasi Pelabuhan Swettenham, Pulau Pinang dan Malaysia secara amnya sebagai pelabuhan singgah terbaik di rantau ini.
Malah, ada pelancong Eropah dan Amerika Syarikat mula melihat Pulau Pinang sebagai tumpuan utama ke Asia melalui kapal pelayaran.
“Kami kini menuju era keemasan percutian pelayaran di Asia. Dengan peningkatan kuasa ekonomi Asia dan faktor penggalak lain seperti kemudahan pelabuhan premium, jumlah pelancong pelayaran Asia dijangka mencecah tujuh juta orang menjelang tahun 2015.
“Ia sekali gus menjadikan Asia sebagai lokasi paling digemari pelancong,” katanya.
Kenny yang turut menyertai pelayaran sulung SuperStar Gemini itu memberitahu, kapal berkenaan memiliki ruang pasar raya seluas 557 meter persegi (6,000 kaki persegi) sekali gus menawarkan pengalaman membeli-belah barangan bebas cukai kepada penumpang.
Para penumpang, katanya, boleh mendapatkan jenama jam tangan mewah tanpa cukai, barangan kemas dan beg tangan sambil belayar selain kemudahan lain seperti gim, karaoke, kolam dan pelbagai pilihan jenis restoran.
Pelayaran halal
Apa pun, menurut Kenny, perkara paling menarik jika bercuti di atas kapal persiaran adalah melihat pemandangan matahari terbenam dan terbit setiap hari. Apatah lagi menghabiskan momen terindah itu bersama pasangan dan keluarga masing-masing.
Ditanya mengenai potensi pelancongan kapal persiaran, Kenny berkata, mulai tahun 2013, pihaknya akan membawa masuk lebih banyak restoran halal bagi meningkatkan jualan dalam kalangan pelancong Muslim terutamanya dari negara Asia Barat.
Setakat ini, menurutnya, kapal SuperStar Libra merupakan kapal persiaran pertama mempunyai restoran halal dan ia terbukti menjadi tarikan kepada pelancong Muslim mengikuti pelayaran.
“Kami menyedari konsep halal ini menjadi penentu pasaran pada masa depan dan pada tahun 2013 kami akan menumpukan perkara itu. Mungkin kapal Star Virgo akan menjadi kapal persiaran kedua mempunyai restoran halal.
“Setakat ini, hanya 40 peratus pelanggan dari Malaysia menaiki kapal kami dan kami percaya sekiranya konsep halal berjaya diaplikasikan, ia akan menarik minat lebih 70 peratus pasaran tempatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihaknya juga memberi keutamaan kepada penumpang yang terdiri daripada kategori golongan kelainan upaya (OKU) atau orang tua.
Sekiranya ada pelanggan OKU, pihaknya akan menyediakan kakitangan khas untuk membantu mereka bergerak di sepanjang berada di dalam kapal.
“Jika ada penumpang OKU dan mereka memerlukan bantuan, mereka cuma perlu telefon kami dan ada kakitangan mengambil mereka di bilik,” jelasnya.
Sejak 6 Januari hingga 24 Januari lalu, SuperStar Gemini meneruskan pelayaran ke Pelabuhan Phuket dan Krabi di Thailand sebelum menawarkan pakej pelayaran istimewa selama tujuh hari enam malam dari Singapura menuju ke Ho Chin Minh, Nha Trang dan Hong Kong antara 24 Januari hingga 1 Februari.
Ia melibatkan tiket berharga antara RM900 hingga RM2,500 berdasarkan bilik dan tingkat.
Bermula April hingga Oktober, kapal itu akan memulakan pelayaran ke lokasi lain di Asia. Maklumat lanjut mengenai SuperStar Gemini dan pakej pelayaran boleh didapati di www.hwajing.com.my atau menghubungi 03-9200 02929.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: