Monday, April 29, 2013

Hilang kerana berehat



PERNAH beberapa kali pemilik nama Wan Sharmila Wan Muhamed atau mesra disapa Lala tersilap percaturan merangka langkah dalam industri hiburan.
Cerita berpakaian seksi dalam dua acara besar industri hiburan sebelum ini sesekali mengingatkan semula akan kewujudan Lala sebagai seorang pelakon yang cuba mencari sensasi.
Bagaimanapun, kisah itu berlalu sekadar satu percikan yang menjadi rencah dalam kehidupan seorang artis. Kemudian, nama Wan Sharmila kembali perlahan namun tidak terus hilang.
Melihat akan kecenderungan dan perubahan fasa yang dialami pelakon berusia 32 tahun itu, dia akur dan sedar akan proses dunia lakonan yang kini bukan lagi berpihak kepadanya.
“Mungkin sekarang trend nama-nama baharu dalam industri sedang meningkat naik, kelompok pelakon seperti saya sekadar mengintai peluang kalau-kalau ada yang berkehendak,” getus Lala menghela nafas berat.
Bukan merajuk atau mempertikaikan atmosfera dunia hiburan tapi Lala ujarnya akur akan permainan politik dan turun naik bidang yang digalasnya.
Lala dibedah
Kehilangannya dalam dunia hiburan beberapa bulan lalu mengundang pertanyaan banyak pihak. Ada yang mendakwa janda kepada pemilik Radius One, Fazli Baharom itu telah berkahwin senyap-senyap.
Lala bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan katanya dia baru pulih selepas menjalani pembedahan pada bahagian pinggangnya sekitar bulan Ogos tahun lalu.
“Tapi saya tidak mahu berkongsi jenis penyakit saya kerana bimbang orang lain fikir penyakit itu serius. Alhamdulillah saya sudah kembali sihat untuk menjalankan tugasan seperti biasa,” maklum Lala.
Berdepan dengan suasana menjelang detik pembedahan sepanjang dirawat selama sebulan di hospital, kata Lala dia hanya teringat ajal dan air matanya tidak henti-henti mengalir.
“Perasaan itu hanya Allah saja yang tahu, gemuruh saya tidak dapat diluahkan dengan perkataan. Sekarang saya tahu bagaimana perasaan apabila dikelilingi doktor sebelum dibedah.
“Apatah lagi sebelum masuk ke bilik pembedahan saya dinasihatkan oleh beberapa rakan artis agar mengambil wuduk dan banyakkan selawat. Perasaan takut itu semakin bertambah,” cerita Lala bersungguh-sungguh.
Kini, Lala memberitahu dia terpaksa mengurangkan makanan pedas dan pengambilan minuman kopi secara berlebihan kerana bimbang akan kadar kesihatan dan impak pembedahan itu.

WAN SHARMILA memilih untuk menjalani karier yang tidak terlalu pantas naik, sebaliknya dia senang melalui perjalanan kariernya perlahan-lahan.


Eropah
Kehilangan seketika Lala disokong dengan percutian ke beberapa buah negara Eropah sekitar awal bulan Mac lalu. Cerita Lala, perjalanan yang dirancang saat-saat akhir itu mencabar adrenalinnya.
“Percutian ke Eropah ini ibarat percutian kawan-kawan saat akhir, kebetulan saya sedikit lapang dan tengah mencari ruang untuk berehat sekejap.
“Selama 10 hari berada di sana rasa seperti tidak mahu pulang ke Malaysia. Walaupun kami ke sana cuma bertiga, tapi pengalaman bawa diri sendiri di tempat orang sangat menyeronokkan!
“Bukan berbelanja sakan pun di sana, tapi saya lebih suka melawat tempat-tempat orang dan melihat perbezaan budaya masyarakat di sana dengan kita,” kata Lala.
Singkap Lala lagi, dia ibarat terpukau dengan keajaiban Barcelona dan menyifatkan lokasi percutian itu telah membuatkannya ‘jatuh cinta pandang pertama’.
Selain Barcelona, Lala sempat berkunjung ke Madrid sepanjang berada di Sepanyol serta meluangkan sedikit waktu menjenguk lokasi percutian menarik di kepulauan Grenada, Amsterdam dan Portugal.
Filem tanda aras
Bakal muncul dengan beberapa projek terbaharu antaranya sebuah telefilem Wira bersama pelakon Syed Aiman yang akan ditayangkan di RTM tidak lama lagi, Lala mengakui minatnya kini lebih tertumpu dalam dunia pengacaraan.
“Kalau ditanya mengenai telefilem, ia ibarat kita makan nasi. Sampaikan saya sendiri terlupa jumlah telefilem lakonan saya.
“Mungkin juga saya jenis seorang yang suka bercakap maka apabila ditawarkan untuk menjadi pengacara, saya dipermudahkan jalannya dan sekarang bidang itu menjadi minat saya,” kata Lala.
Kongsi Lala lagi, keseronokannya mengacara berganda apabila diberikan kesempatan untuk berkolaborasi dengan Fizz Fairuz dalam program gameshow terbitan RTM, Seiring Sejalan yang akan bersiaran tidak lama lagi.
Sementara itu, Lala mengakui teruja menantikan sambutan filem seram pertamanya, Bisikan Syaitan yang akan menemui penonton pada 2 Mei ini.
“Sudah masuk dua tahun filem ini menunggu untuk masuk pawagam dan saya mencurahkan segala keringat yang saya mampu untuk melakonkan watak Kamilia.
“Kamilia merupakan mangsa kepada abangnya, Kamil (Fizz Fairuz) yang telah membuat perjanjian dengan ilmu hitam,” ujarnya mengenai filem arahan Faizul A. Rashid itu.
Filem Bisikan Syaitan turut dibintangi oleh Fizz Fairuz, Nabila Huda dan Azam Pitt.
Apabila kisah cinta beralih menjadi pokok bicara, Lala tersipu-sipu malu. Ditanya adakah hatinya kini sudah dimiliki mana-mana jejaka, Lala menjawab dengan lontaran senyum.
“Perancangan untuk kahwin ada, tapi orangnya masih belum ada. Mungkin orang sekeliling nampak saya jenis tidak kisah tapi sebenarnya hati wanita mana tidak terdetik untuk berumah tangga, bahagia dan memiliki cahaya mata sendiri.
“Barangkali faktor usia membuatkan saya malas untuk mencari pasangan dan saya pun bukan seorang yang suka merapati seseorang kalau saya menyukainya,” terang Lala.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: