Sunday, April 28, 2013

19 mangsa runtuhan berjaya dikeluarkan


SEORANG mangsa (dalam bulatan) dibawa keluar daripada runtuhan sebuah bangunan kilang di Savar, dekat Dhaka semalam.


SAVAR, Bangladesh - Polis di negara ini menangkap lima orang berhubung kejadian sebuah bangunan runtuh ketika para anggota penyelamat berjaya mengeluarkan 19 mangsa hidup-hidup daripada celah runtuhan di sini semalam.
Sekurang-kurangnya 340 orang telah terbunuh dalam kejadian runtuhan bangunan setinggi lapan tingkat itu pada Rabu lalu.
Ketika kejadian, sejumlah orang sedang bekerja di dalam bangunan tersebut yang menempatkan sebuah kilang pakaian.
Menteri Muda Dalam Negeri, Haque Tuku berkata, polis telah menangkap Pengarah Urusan New Wave Apparels Ltd., Bazlus Samad dan pengerusi syarikat itu, Mahmudur Rahman Tapash berhubung kejadian tersebut.
Ketika berkata kepada pemberita, beliau memberitahu, seorang wanita yang merupakan isteri kepada pemilik bangunan itu turut ditahan untuk disoal siasat.
Sebanyak tiga tingkat bangunan tersebut dibina secara haram.
Pihak berkuasa kini memburu suami kepada wanita tersebut, Mohammed Sohel Rana yang juga seorang ahli politik tempatan yang tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak bangunan itu runtuh.
Mohammed akan didakwa melakukan kecuaian berhubung kejadian itu.
Dua orang jurutera yang bekerja dengan Majlis Perbandaran Savar, Imtemam Hossain dan Alam Ali turut ditahan selepas mereka didapati membenarkan bangunan tersebut digunakan selepas kedua-duanya melakukan pemeriksaan.
Menurut pihak syarikat itu, seramai 3,122 yang bekerja di dalam bangunan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: