|
MEMILIKI beg tangan daripada jenama antarabangsa merupakan impian kebanyakan wanita. Selain faktor kualiti, ia menjadi satu perlambangan kepada gaya peribadi mereka.
Walaupun begitu, ramai tidak mampu menjinjing beg seperti Chanel, Dior atau Prada kerana harganya yang mencecah ribuan ringgit.
Pendapat itu disokong oleh Gwyneth Gui yang merupakan pemilik jenama beg tangan, Gwyneth.
“Setiap kali bercuti ke luar negara, pasti hati meronta-ronta untuk membeli beg berjenama, namun kadangkala hajat itu terpaksa dibatalkan kerana harganya terlalu mahal,” ujarnya ketika ditemui Stailo baru-baru ini.
Disebabkan itu, dia mendapat idea untuk mereka sendiri beg tangan wanita yang diberi nama Gwyneth dengan menggunakan material yang berkualiti tinggi, tetapi mampu dimiliki dengan harga berpatutan.
“Saya mahu setiap wanita memiliki beg yang berkualiti tetapi dengan harga mampu milik,” katanya pada majlis pelancaran beg jenama tersebut di Kelana Jaya, Selangor.
Buat permulaan, tiga koleksi beg tangan dikeluarkan untuk pilihan para pelanggan merangkumi warna hitam, putih dan ungu. Sejak dijual secara dalam talian pada bulan Januari lepas, sembutan pelanggan sangat baik.
“Saya bersama rakan niaga, Rohaya Mior Badri, dalam proses untuk menghasiklan koleksi baharu merangkumi beg dompet, kasut dan lain-lain,” jelasnya.
Menggunakan material kulit asli, ia dihasilkan di kilang yang terletak di Hong Kong hasil idea kreatif Gwyneth sendiri. Rekaan itu berdasarkan pengamatannya daripada majalah-majalah fesyen dan trend terkini.
Dia memberi penekanan kepada beberapa perkara seperti tali beg tangan yang lebih kukuh dan tidak mudah putus. Ia menjadi keutamaan Gwyneth kerana tali beg tangan mudah terkoyak akibat bebanan melebihi muatan.
“Kebanyakan wanita berdepan dengan masalah apabila beg mereka tidak boleh digunakan kerana tali mudah terputus selain zip yang cepat rosak. Justeru, beg Gwyneth menggunakan tali kulit lembu kerana ia mempunyai ketahanan yang tinggi,” jelasnya.
Bagi menjaga kebersihan beg terutamanya yang berwarna putih, dia menasihatkan pelanggan membersihkan kekotoran menggunakan air selain kain yang basah.
“Mereka hanya perlu mengelap beg tersebut dan tunggu sehingga kering sebelum menggunakannya. Tidak perlu menggunakan sebarang bahan peluntur atau pencuci kerana air sahaja sudah mencukupi,” ujarnya lagi.
Setakat ini, beg tangan Gwyneth mendapat sambutan sehingga ke negara luar seperti Brunei dan Singapura. Selain itu, ia turut mendapat tempahan daripada pelanggan di Australia.
“Bagi memberikan lebih variasi, kami merancang menggunakan beberapa pilihan warna seperti merah jambu untuk koleksi baharu nanti.
“Pada masa sama, terdapat beberapa penambahan aksesori seperti rantai kunci tahan karat,” katanya.
Dalam pada itu Rohaya berkata, visi mereka adalah untuk memasarkan jenama tersebut di peringkat antarabangsa.
Kurangnya penglibatan anak tempatan dalam menceburi rekaan aksesori wanita memberi kekuatan kepada mereka untuk mencuba nasib dalam industri fesyen tanah air.
“Ikon fesyen terkenal, Datuk Jimmy Choo merupakan idola kepada kami. Beliau membuktikan anak tempatan juga mampu berjaya di peringkat antarabangsa jika berusaha dengan gigih,” katanya.
Sebuah beg tangan Gwyneth berharga antara RM239 hingga RM279. Ia boleh dibeli melalui laman sosial, Facebook: Gwyneth Leather Handbags.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: