Saturday, April 6, 2013

Percutian sempurna di Resorts World Kijal

KETENANGAN kawasan resort ini mengundang kedamaian kepada setiap pengunjung.


DERUAN ombak dan sapaan bayu laut pasti mengundang ketenangan kepada sesiapa pun. Jika anda mencari lokasi percutian yang menyatukan keindahan lautan bersama resort gah dengan seni bina bercirikan Melayu, Resorts World Kijal adalah pilihan terbaik.
Saat kaki mula melangkah masuk ke pekarangan lobi utama resort di jalan utama Kemaman-Dungun, Terengganu, anda sudah pasti berasa teruja.
Seni bina Melayu berasaskan kayu yang menghiasi atrium berketinggian 24 meter di ruang menunggu Resorts World Kijal ternyata sangat mengagumkan.
Sambil menanti giliran bagi mendaftar masuk ke bilik, mata tidak akan letih melilau menyaksikan panorama ringkas sekililing. Tiada lampu mahupun penyaman udara dilihat pada segenap ruang tersebut, segalanya bergantung kepada alam semula jadi dengan suria menjadi cahaya pada waktu siang dan angin pantai yang menyamankan tetamu sepanjang 24 jam.
Sejurus kunci kamar diserahkan, rasa tidak sabar untuk merebahkan diri di atas katil. Perjalanan sejauh kira-kira 300 kilometer (km) yang memakan masa kira-kira tiga jam dari ibu kota Kuala Lumpur cukup membuatkan badan diundang keletihan.
Namun sebaik sahaja pintu bilik dikuak, mata yang sebelum ini mengantuk kembali segar. Tirai kamar yang diselak seterusnya memaparkan hamparan Laut China Selatan yang membiru. Jendela yang dibuka secara langsung menjemput masuk semilir laut ke dalam ruangan kamar Premier (Seaview) itu.
Pemandangan indah begitu dapat dinikmati majoriti pengunjung yang menginap di resort yang dahulunya dikenali dengan nama Awana Kijal Golf, Beach & Spa resort.
Tetamu boleh memilih sama ada mahu tinggal di unit Deluxe dan Premier (Non Seaview atau Seaview). Bagi mereka yang hadir dengan famili besar, unit Deluxe Suite, Premier Suite atau Duplex mampu memenuhi keselesaan seisi keluarga.
Gastronomi
Sesudah bersiap untuk memulakan aktiviti liburan, jangan lupa mengisi perut di Restoran Kampong Meraga Beris setibanya waktu makan tengah hari. Hidangan gulai kawah menjadi signatur kegemaran tetamu yang wajib dicuba. Selera tekak terhadap menu desa mampu dipuaskan menerusi seleksi hidangan yang disajikan.

AKTIVITI petang seperti menunggang ATV bersama ahli keluarga pasti menyeronokkan.


“Kami banyak menyediakan makanan tradisi Terengganu seperti nasi dagang yang dihidangkan bersama ikan tongkol ketika sarapan. Aneka kuih Melayu termasuk cara, akok, puteri mandi dan onde-onde turut menjadi makanan yang mesti dicuba di sini.
“Setiap tiga bulan, kita akan menukar gandingan menu agar kepelbagaian itu dapat diwujudkan. Pada musim tengkujuh, kita juga menawarkan menu istimewa berupa sup herba dan sup tulang rawan bagi memanaskan badan yang kesejukan,” ujar Chef Eksekutif Resorts World Kijal, Abu Bakar Jaafar.
Selain Kampong Meraga Beris, pengunjung juga boleh merasai pengalaman gastronomi di tiga lagi restoran dan kafe di situ. Jika Kampong Meraga Beris berkonsep bufet, mereka yang gemarkan ala carte bolehlah ke Kafe Waterfall. Sesi minum petang anda pasti lengkap dengan sajian keropok lekor dan lemang Kijal di Waterfall ditambah pula dengan keenakan air kelapa vanila.
Luaskan eksplorasi makanan di Resorts World Kijal dengan berkunjung pula ke Oasis Hut menjelang malam. Lokasinya di tepi pantai dengan penyediaan beberapa meja berbumbungkan langit gelap menghadirkan momen romantik saat menjamu selera.
Jutaan bintang yang menghiasi langit seakan-akan berkedip mengikut alunan pukulan ombak yang seirama menghempas pantai. Tambah istimewa apabila pengunjung dihiburkan oleh duo penyanyi suami isteri yang merdu mendendangkan lagu-lagu pelbagai rentak.
Aktiviti
Hari baharu di resort itu perlu dimulakan dengan menikmati detik terbitnya matahari. Perlahan-lahan, cahaya jingga muncul di ufuk timur nun jauh di lautan tanpa penghujung. Ternyata saat istimewa itu melahirkan kedamaian jiwa dan membuatkan kita menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan.
Disebabkan kebanyakan aktiviti menarik di persekitaran resort itu hanya sesuai dijalankan pada waktu malam, pengunjung boleh mengisi masa senggang yang ada dengan rangkaian riadah yang ditawarkan di situ.
Pencinta sukan golf amat disarankan mencabar skil mereka di padang golf yang menawarkan 18 lubang untuk diterokai. Dipecahkan kepada dua padang iaitu Palma dan Rimba, kepenatan mengayun kayu golf mengelilingi resort itu tidak sedikit pun terasa ekoran ambien kawasan yang sungguh menenangkan.
Sementara golongan bapa memanaskan badan di padang golf, si ibu dan anak-anak gadis pula perlu menggunakan kesempatan penginapan di resort itu dengan berkunjung ke Spa Taman Sari Royal Heritage.
Manjakan diri anda dengan urutan Jawa menggunakan produk terbaik Mustika Ratu. Sebanyak 13 jenis minyak pati ditawarkan kepada pengunjung dengan minyak soya menjadi asas segala minyak.
Bagi urutan relaks, minyak ros wangi Indonesia menjadi pilihan tepat manakala urutan bagi mengembalikan kesegaran sendi-sendi tubuh, minyak pati serai atau halia bukan lagi asing selaku penawar mujarab.
“Untuk aktiviti luar resort, kami menawarkan pakej bagi menyaksikan kelip-kelip di Sungai Yak Yah, penyu bertelur di Pantai Teluk Mak Nik dan lawatan ke zoo mini di Ibok. Setiap kawasan tarikan pelancong ini hanya terletak 20 minit perjalanan dari resort.

Manjakan diri di Spa Taman Sari Royal Heritage dengan urutan Jawa yang mengasyikkan.


“Pulau Kapas juga antara lokasi popular yang sering dikunjungi tetamu kami dan tiada halangan bagi mereka yang ingin ke Kuala Terengganu. Bagaimanapun mereka dinasihati keluar awal kerana perjalanan ke sana memakan masa kira-kira dua jam setengah,” jelas Pengurus Besar Resorts World Kijal, Noorazudin Omar.
Waktu petang di resort itu pula merupakan waktu sempurna bagi menanggalkan sepatu serta menyinsing seluar sambil berjalan di atas pasir pantai yang lembut dan memutih. Pengunjung perlu tahu, pantai persendirian sepanjang 7.6 km itu tidak sesuai untuk aktiviti mandi laut disebabkan ombak besar dan lantai pantai yang mendap.
Namun pengunjung masih boleh mandi di gigi air sesudah berakhirnya musim monsun. Pada tempoh itu, bendera-bendera hijau yang dicacakkan di pantai dapat dilihat menandakan pantai selamat untuk sebarang aktiviti air.
Pastikan sebelum meninggalkan resort itu, jelajahi beberapa lokasi menarik di sekitar Kijal dan bandar Kemaman. Lupakan sejenak keropok lekor jika ke situ kerana lemang Kijal merupakan makanan tempatan yang lebih istimewa untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.
Kunjungan tetamu ke resort itu meskipun untuk tempoh singkat, cukup membuatkan diri berasa seperti di rumah. Kepuasan percutian akan terisi dengan sendirinya sesudah anda melangkah keluar dari resort itu, seolah-olah berpesan kepada anda agar kembali ke situ pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: