Saturday, April 6, 2013

Jelmaan semula Dinamik


DINAMIK hanya ditawarkan dalam tona hitam kelabu dengan hiasan pelekat badan berwarna oren.


SEKITAR Oktober lalu, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) secara diam-diam mengedarkan semula model Modenas Dinamik ke dalam pasaran tempatan.
Dinamik dilancarkan pada Ogos 2003 untuk pasaran domestik. Namun jualannya ditamatkan beberapa tahun kemudian kerana gagal meraih sambutan ramai.
Berbeza pula senarionya di luar negara. Modenas Dinamik dapat permintaan tinggi di Greece dan Indonesia. Aktiviti eksport model itu berlangsung selama lima tahun.
Ia dihentikan pada tahun 2008 kerana tidak memenuhi piawaian Euro III. Dinamik menepati standard piawaian Euro II sahaja.
Jumlah eksport Dinamik ke Greece dan Indonesia masing-masing adalah sebanyak 5,600 dan 700 unit.
Jentera itu dipasang enjin dua lejang silinder tunggal bersesaran 118cc. Moped itu didatangkan bersama kotak gear enam kelajuan berserta klac tangan.
Enjin Dinamik dibina oleh Kawasaki Motor Thailand. Sementara casis dan komponen plastik Dinamik datangnya dari Malaysia. Ia dipasang di kilang Modenas di Gurun, Kedah.
Kemunculan semula Dinamik dalam pasaran domestik berkait rapat dengan dua faktor utama. Pertama, ada permintaan semula bagi model itu. Kedua, stok eksport masih berbaki.
Baru-baru ini, dengan kerjasama Modenas, sebuah Dinamik dibawa khas dari Gurun untuk sesi tunggang uji Garaj!

LAMPU isyarat membelok dan brek belakang menawarkan pencahayaan yang cukup baik sewaktu tunggangan malam.


Untuk menghidupkan motosikal ini, kunci dimasukkan dan butang Engine Stop pada bahagian kanan hendal perlu ditekan.
Selepas itu, kena gunakan khidmat penendang kaki. Dinamik tidak didatangkan dengan ciri butang pemula enjin.
Klac tangan perlu ditarik sebelum memasukkan gear. Sistem gear Dinamik sama seperti jentera dua lejang konvensional.
Maksudnya, untuk memasukkan gear pertama, anda perlu pijak tuil ke bawah. Bagi gear kedua hingga keenam, tuil perlu disungkit ke atas.
Unit terhad
Jentera itu dilengkapi tangki petrol berkapasiti 4.6 liter. Pengisian penuh RON95 hampir mencecah RM9.
Bekalan petrol sebanyak tiga perempat tangki membolehkan saya mencapai jarak tunggangan sejauh 80 kilometer.
Kelajuan tunggangan pada ketika itu dikekalkan antara 80 kilometer sejam (km/j) hingga 120km/j. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai adalah 140km/j.
Panel meter Dinamik mempunyai petunjuk kedudukan gear dan gear neutral. Turut dipaparkan ialah meter laju, odometer dan bahan api. Masih tiada meter pusingan enjin seminit (rpm).
Saya tidak berdepan sebarang masalah sewaktu mengemudi motosikal seberat 98 kilogram ketika menempuh kesesakan lalu lintas. Pinggang dan lengan tidak terasa lenguh.
Apabila menyusuri laluan tidak rata, didapati jentera itu menawarkan kestabilan dan keseimbangan yang agak memuaskan.
Kombinasi fork hadapan dan penyerap hentak tunggal belakang satu padanan pintar. Jentera tidak mudah membuai apabila mengambil selekoh. Tidak terlalu keras juga.
Untuk memperlahankan atau memberhentikan Dinamik, tugas itu diserahkan kepada dua set brek cakera yang dipasang pada kedua-dua rim berukuran 17 inci.

SET brek cakera hadapan dengan pengatup omboh kembar menawarkan kuasa membrek yang cukup baik.


Cengkaman pada cakera brek tidak menghampakan apabila khidmatnya diperlukan secara spontan. Tiada sebarang bunyi geseran cakera dan pad brek sepanjang sesi tunggang uji.
Penghadang udara sisi pada bahagian kiri dan kanan jentera agak ‘ramping’ dan pukulan angin masih boleh dirasa dengan jelas.
Kekurangan komponen pada motosikal itu hanyalah bakul untuk simpanan barang dan tongkat kembar. Jika mahu menyimpan barang, dinasihatkan memasang kotak simpanan barang yang ada dalam pasaran.
Dinamik dijual pada harga asas RM5,749 seunit. Jaminan diberikan pula selama satu tahun atau jarak perbatuan 10,000km (mana-mana tiba dahulu).
Kuantiti motosikal Dinamik adalah terhad. Jika berminat, tindakan segera perlu diambil. Rajin-rajin berkunjung ke premis para pengedar Modenas berdekatan anda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: