Saturday, April 6, 2013

Jalur Gemilang terpanjang di Antartika


SEMANGAT Malaysia Boleh menjadi pendorong kepada Muhammad Nur Azrul sepanjang ekspedisi solo ini.


TEPAT pukul 11 pagi waktu di Kutub Selatan pada 14 Disember tahun lalu, saya mula mengorak langkah untuk penjelajahan secara solo di benua Antartika dalam Ekspedisi Solo Malaysia - Antartika 2012 (ESMA 2012).
Dengan menggalas beg yang berisi 5,000 helai Jalur Gemilang, salji ais separas paha di Cuvervilla Island perlu saya redah.
Di samping salji tebal, tiupan angin kuat menjadi halangan utama dalam menempuh suhu sejuk yang mencecah 40 darjah Celcius di bawah paras beku
Setelah penat bertarung dalam salji tebal selama 45 minit, saya akhirnya berjaya merentangkan 5,000 helai Jalur Gemilang di Cuverville Island, Antartika.
Kejayaan tersebut merupakan sesuatu momen yang tidak dapat dilupakan kerana berjaya membawa nama Malaysia ke kawasan yang terkenal dengan ketinggian tahap kesejukannya itu.
Tugas tersebut bukan sesuatu yang mudah. Sepanjang ekspedisi 45 minit itu, saya tidak langsung memikirkan persekitaran yang sejuk. Zikir-zikir yang memuji nama Allah dan lagu kebanggaan seluruh rakyat Malaysia, Negaraku menjadi peneman setia tatkala menahan kesejukan di samping memberi semangat kepada saya.
Ditemani penguin
Pada pukul 11.45 pagi, ratusan penguin merupakan sahabat yang pertama saya temui ketika mula menjejakkan kaki di pulau gelap dan berbatu itu. Penguin-penguin itu juga menjadi saksi kesungguhan saya sebagai warga Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang secara solo di kutub selatan.
Selesai merentang dan mengibarkan Jalur Gemilang, saya melaungkan azan serta menunaikan solat sunat syukur kepada Yang Maha Esa di atas keizinan-Nya yang telah merealisasikan misi itu.
Selepas kejayaan saya menakluk banjaran Himalaya pada 1 hingga 22 Mei dua tahun lalu, misi solo di Antartika merupakan salah satu usaha untuk mengharumkan nama negara di persada dunia.

PERJALANAN Muhammad Nur Azrul selama dua hari dari Ushuaia ke Antartika dengan menaiki kapal MS Expedition.


Misi solo itu bertujuan membantu mengutip derma bagi pesakit komplikasi jantung terutamanya kanak-kanak melalui Institut Jantung Negara (IJN).
Sebelum berangkat ke Antartika, pelbagai cabaran telah saya lalui terutamanya mengenai perihal kewangan.
Ada syarikat-syarikat swasta berjanji untuk menaja misi itu. Namun, semakin dekat tarikh ekspedisi, masih tiada jawapan yang sah daripada mereka.
Walaupun ekspedisi tersebut merupakan salah satu cara saya membantu kanak-kanak yang mengalami masalah komplikasi jantung, tiada institusi yang tampil membantu selain daripada IJN.
Bagi saya, dengan pengalaman dalam bidang rekreasi dan pendakian sajalah yang dapat membantu kanak-kanak untuk mengurangkan kos rawatan mereka selain daripada wang ringgit.
Sepanjang berada di benua Antartika, banyak perkara yang saya pelajari setelah melihat sendiri keindahan ciptaan Yang Maha Esa yang tidak terjangkau dek akal fikiran.
Tiger of the Snow
Saya juga sempat melawat kawasan Antartika yang sedang dikaji oleh pengkaji dari Argentina, Chile, Ukraine, Britain dan New Zealand yang mewakili Persatuan Antarabangsa Operator Pelancongan Antartika (IAATO). Ada juga pengkaji dari Malaysia yang telah menganggotai IAATO.
Bagi pengembara yang ingin menjelajah Antartika, anda perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh IAATO.
Antara peraturan yang telah ditetapkan ialah dilarang membuang sampah merata-rata, elakkan pembakaran terbuka, larangan membuang cecair atau pepejal ke dalam laut, merosakkan batuan atau bongkah ais serta mengambil sebarang artifak atau semula jadi seperti batu, tulang ikan paus dan kulit haiwan yang hidup di bumi Antartika.
Ketika misi itu, saya juga berpendapat bahawa Malaysia perlu mewujudkan pusat penyelidikan di Antartika dan menghantar wakil penyelidik untuk mengkaji perkara-perkara menarik di benua itu untuk dikongsi bersama rakyat Malaysia.
Kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah apabila saya mendapat tepukan gemuruh daripada pengembara-pengembara dari negara lain ketika berada dalam kapal di atas kejayaan saya mengibarkan 5,000 Jalur Gemilang di Antartika.
Mereka juga menggelarkan saya dengan nama Tiger of The Snow kerana saya memakai baju simbolik Harimau Malaya yang berwarna oren dan hitam sepanjang perjalanan pulang.
AIS biru merupakan ketulan ais yang terapung di tengah-tengah Laut Antartika.


Walaupun ESMA 2012 dianggap mustahil, namun amanah yang digalas harus dizahirkan dengan sempurna.
Paling membanggakan saya, ekspedisi itu telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records menerusi kategori Jalur Gemilang terbanyak yang dikibarkan di Antartika pada tahun 2012.
Di kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan yang menjadi penaja utama dalam ESMA 2012.
Di samping itu, ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pihak Wisma Putra dan Duta Besar Malaysia di Buenos Aires, Argentina, Datuk Zulkefli Yaakub sekeluarga serta semua warga kerja di kedutaan Besar Malaysia di Buenos Aires yang tidak henti-henti menyokong saya semasa saya berada di negara itu.
Tidak lupa juga kepada keluarga dan sahabat handai di Malaysia yang tidak henti menyokong saya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: