Monday, April 1, 2013

Mojo cemerlang di Hong Kong


POSE Edry (kanan) dan Aweera serta dua lagi anggota Mojo, Johar (kiri) dan Denny (dua dari kiri) bersama trofi kemenangan mereka pada pertandingan Hong Kong Asian-Pop Music Festival 2013 baru-baru ini.


SETELAH penyanyi Shila Amzah mengharumkan nama negara apabila muncul juara pertandingan Asian Wave 2012 di China tahun lalu, kini giliran kumpulan Mojo pula mengukir nama di peringkat Asia.
Ia susulan kepada kejayaan kumpulan tersebut yang muncul tempat kedua Asian Super Nova ketika bersaing dalam pertandingan Hong Kong Asian-Pop Music Festival (HKAMF) 2013 yang berlangsung di Hong Kong Convention Centre pada 22 Mac lalu.
Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di pejabat Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Kuala Lumpur baru-baru ini Edry Abdul Halim selaku ketua kumpulan berkata, ia merupakan satu kejutan buat mereka.
“Pertama sekali saya berterima kasih kepada pihak RIM yang telah memilih kumpulan Mojo untuk menyertai pertandingan ini atas kapasiti sebagai pemenang Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 yang lalu.
“Matlamat utama kami ke sana bukanlah semata-mata mahu meraih kemenangan, sebaliknya tampil dengan persembahan yang terbaik. Jadi, sudah tentu kejayaan yang diraih ini merupakan satu bonus buat kami,” ujarnya.
Selain muncul pemenang tempat kedua setelah tumpas di tangan peserta dari China, Mojo tetap berbangga apabila berjaya meraih kemenangan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik menerusi lagu popular mereka iaitu Andai Ku Bercinta Lagi.
Tambah Edry, pada mulanya mereka tidak mengetahui mengenai HKAMF 2013 dan menyangka ia sekadar sebuah showcase biasa. Apabila diberitahu acara berkenaan merupakan sebuah pertandingan, akhirnya mereka menyahut cabaran tersebut.
Ujarnya, dia mengakui penyertaan Mojo dalam acara tersebut merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya memandangkan tidak pernah menyertai sebarang pertandingan di luar negara semasa aktif bersama KRU dahulu.
“Kalau ditanya tentang cabaran sudah tentu faktor bahasa menjadi halangan utama.
“Majoriti penduduk di Hong Kong menggunakan bahasa Kantonis dan acara berkenaan turut disiarkan secara langsung di sebuah stesen televisyen di sana.
“Namun begitu, kami tetap gembira kerana halangan tersebut langsung tidak mendatangkan masalah besar untuk kami bersaing dengan peserta lain atas kejayaan yang diraih ini,” ujarnya.
Pertandingan HKAMF yang sudah memasuki tahun ketiga itu merupakan sebuah acara yang dianjurkan oleh International Federation Of The Phonographic Industri yang diwakili oleh tujuh buah negara di rantau Asia.
Selain Malaysia, lain-lain negara yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut ialah Hong Kong, China, Singapura, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.
Ini merupakan kali ketiga Malaysia menyertainya setelah kumpulan Bunkface turut mengambil bahagian buat kali pertama pada tahun 2011 dan Projek Pistol pada tahun lalu.
Bahasa Kantonis
Selain berhasil muncul tempat kedua dalam pertandingan HKAMF 2013, Edry selaku pencipta lagu Andai Ku Bercinta Lagi turut mendapat khabar gembira selepas berakhirnya acara.
Menurutnya, seorang wakil daripada syarikat rakaman di Hong Kong telah berjumpa sendiri dengannya dan berminat untuk merakamkan lagu tersebut ke dalam bahasa Kantonis.
“Sudah tentu saya begitu berbesar hati apabila ada pihak yang berminat dengan lagu saya. Ternyata pemergian ke sana bukan sahaja memberi kejayaan kepada Mojo, malah buat diri saya sendiri sebagai pencipta lagu ini.
“Buat masa ini saya sudah e-mel lirik yang telah dialih ke bahasa Kantonis dan melodi lagu berkenaan kepada mereka kerana lagu ini akan dinyanyikan oleh artis di negara itu,” jelasnya.
Mengulas mengenai masa depan kumpulan Mojo pula, Edry menyatakan selepas ini mereka akan menjadi sebuah kumpulan yang kekal dan akan melahirkan sebuah album dalam masa terdekat ini.
“Ketika penubuhan kumpulan ini dahulu ia merupakan sebuah band projek sahaja. Kini, kami mengambil keputusan untuk bergerak secara tetap dan bakal melancarkan single terbaharu berjudul Romancinta,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: