|
BERPELUANG membintangi filem pecah panggung Hollywood seperti G.I. JOE: Retaliation pastinya mampu menjadi batu loncatan kepada aktor popular Lee Byung-hun untuk terus mengembangkan karier lakonannya di Amerika Syarikat.
Jika kebanyakan pelakon begitu mengidamkan penampilan di Hollywood, lain pula ceritanya bagi aktor kelahiran Seoul, Korea Selatan itu tentang perkembangan kariernya di sana.
Menurut Byung-hun, dia sendiri tidak pasti sama ada mahu mengembangkan lagi kerjayanya di sana atau terus aktif berlakon drama dan filem di negara kelahirannya sendiri.
"Saya anggap karier di Hollywood baru sahaja bermula, meskipun saya mula berlakon di sana sejak tahun 2009. Cuma saya masih belum nampak lagi sejauh mana perjalanan karier saya di luar negara.
"Sudah banyak perkara yang saya pelajari dengan pengalaman berlakon tiga buah filem Hollywood, terutamanya merasai sendiri cara kerja yang agak jauh berbeza dengan produksi di Korea," jelasnya yang bakal tampil dengan filem RED 2 pada tahun ini.
Ujarnya, biarpun ramai peminatnya yang gembira kerana dapat tampil di pentas Hollywood, tetapi ada segelintirnya yang mahukannya kerap berlakon di Korea Selatan.
"Selama ini saya mendapat pelbagai maklum balas daripada peminat tentang kerjaya lakonan saya dan kebanyakan lebih gemar saya muncul di kaca televisyen atau di layar perak menerusi drama dan filem Korea," ujarnya.
Mengakui sangat gembira dengan peluang yang diberikan sehingga namanya kini terkenal di seluruh dunia, aktor itu masih berbelah bahagi iaitu sama ada meneruskan karier di negaranya atau mula mencari peluang yang lebih besar di Hollywood.
"Apa yang selalu bermain pada fikiran saya ialah sampai bila saya akan mendapat peluang sebegini lagi. Jadi, saya sendiri tiada jawapan sama ada dapat terus mengembangkan karier di Hollywood atau sebaliknya," ujar pelakon yang pernah menuntut di Universiti Hanyang, Korea Selatan itu.
Mengenai cabaran sepanjang berlakon di Hollywood terutamanya ketika menjalani penggambaran filem G.I. JOE: Retaliation, dia menyatakan bahasa bukan masalah besar buat dirinya memandangkan dia memang fasih berbahasa Inggeris, sebaliknya ia membabitkan soal pemakanan.
Jelasnya, sepanjang penggambaran berlangsung dia terpaksa mengawal pemakanannya dan ia sedikit memberikan tekanan, namun segalanya perlu dihadapi demi menjayakan watak yang diberikan.
"Secara jujurnya saya memang begitu merindui makanan Korea, malah semasa berada di negara sendiri saya tidak boleh mengambil sebarang makanan yang boleh memberi kesan kepada bentuk badan saya," jelasnya.
Namun begitu, Byung-hun menyatakan cabaran sebenar yang terpaksa dilaluinya adalah dia terpaksa memberikan lakonan yang terbaik dengan peluang berlakon dalam sebuah filem yang besar di Hollywood.
"Tidak ramai pelakon Asia yang berkesempatan beraksi di Hollywood. Jadi, saya perlu berusaha keras serta memberikan sepenuh komitmen agar peluang mengembangkan kerjaya di Hollywood lebih terbuka," jelasnya.
Kekal
Memandangkan nama Byung-hun sudah mula meniti di bibir peminat kerana lakonannya yang mantap dalam filem G.I. JOE: The Rise Of Cobra dan G.I. JOE: Retaliation, sudah ada pihak yang mencadangkan supaya dia mempunyai nama Inggeris untuk lebih mudah bekerja di Hollywood.
Namun begitu, pelakon tersebut menegaskan dia lebih selesa sekiranya terus kekal dengan nama asalnya. Dia merasakan nama bukanlah menjadi satu masalah yang besar untuk lebih diingati dan dikenali ramai.
"Kalau diikutkan saya boleh sahaja menukarkan nama yang lebih mudah disebut, cuma saya mempunyai ramai peminat dari Korea dan mereka lebih suka sekiranya saya terus menggunakan nama Byung-hun.
"Tidak dinafikan ramai kru produksi yang memanggil saya dengan panggilan 'Byung', tetapi saya menyatakan kepada mereka supaya menyebut nama saya 'Hyung' sekiranya sukar untuk menyebut 'Byung'," ujarnya mengenai cadangan penukaran namanya itu.
Bagaimanapun, pelakon itu tetap melahirkan rasa bangganya terhadap cadangan tersebut dan menganggap ia satu penghormatan kerana ramai yang sudah yakin dengan kemampuannya untuk berkembang di pentas Hollywood.
"Sebenarnya cadangan ini telah dikemukakan sendiri oleh beberapa orang pelakon dan kru produksi. Saya memang begitu menghormati cadangan tersebut, tetapi biarlah saya terus menggunakan nama Byung-hun," jelasnya.
Obses kopi
Berbekalkan wajah tampan yang dimiliki sehingga menjadi kegilaan ramai wanita, siapa sangka Byung-hun sebenarnya seorang individu yang sangat obses dengan minuman kopi.
Menurutnya, dia mula rasa jatuh cinta dengan minuman tersebut ketika memegang watak sebagai Kim Sun-woo dalam filem Bittersweet Life pada tahun 2005.
"Semasa membintangi filem itu saya terlalu kerap meminum kopi sehinggalah ia menjadi minuman kegemaran saya. Setiap pagi selepas bangun tidur saya akan meminum kopi terlebih dahulu.
"Bagi saya, kopi mempunyai rasa yang cukup menarik. Namun, ia juga bergantung bagaimana ia dihasilkan. Tanpa meminumnya sehari, saya rasa hidup seperti tidak lengkap," dedahnya dalam sebuah program One Night of TV Entertainment baru-baru ini.
Mengenai makanan kegemarannya pula, aktor itu menyatakan dia begitu menggemari makanan Korea iaitu galbi dan kimchi. Namun begitu, dia terpaksa mengehadkan pengambilan makanan tersebut semasa menjalani penggambaran filem G.I. JOE: Retaliation.
"Saya hanya dapat menikmati semua makanan kegemaran saya selepas tamat penggambaran. Menariknya, pada hari terakhir penggambaran ibu saya datang sambil membawa galbi dan kimchi yang dimasaknya sendiri," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: