MB Selangor: Bonus RM300 bukan rasuah
Abdul Khalid mengenakan baju sukan sebagai gimik perasmian Marathon Wanita Malaysia 2013, di I-City, semalam.
SHAH ALAM - Pembayaran bonus sebanyak RM300 kepada kakitangan awam di Selangor merupakan penghargaan daripada kerajaan negeri dan bukannya rasuah.

Menteri Besar,  Tan Sri Abdul Khalid berkata, pemberian itu sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang telah membantu dalam urusan pentadbiran negeri.

“Kakitangan kerajaan di Selangor ini sebahagian daripada kita, dan mereka juga membantu kita menguruskan hal-hal berkaitan negeri, jadi mereka layak menerimanya.

“Ekonomi di Selangor meningkat dengan baiknya, tidak salah kita beri mereka ini bonus sebagai tanda terima kasih terhadap perkhidmatan yang diberikan.

“Ia bukan satu rasuah. Saya tidak fikir dengan RM300 ini mereka akan tukar pendirian mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Marathon Wanita Malaysia 2013 di I-City, di sini, semalam.

Kelmarin, Abdul Khalid mengumumkan pembayaran bonus RM300 kepada kakitangan awam di Selangor sebagai tanda penghargaan dan bayaran akan dibuat dalam bentuk simpanan yang dikreditkan ke akaun Simpanan Tabung Haji (Islam) dan Bank Simpanan Nasional (bukan Islam) dalam tempoh dua minggu

Dalam pada itu, beliau berkata, Exco kerajaan negeri masih boleh menggunakan kenderaan rasmi negeri bagi tujuan majlis rasmi dan bukannya untuk kempen pilihan raya.

“Exco masih tergolong dalam kerajaan sementara (caretaker government) dan mereka masih mempunyai hak menggunakan 50 peratus peruntukan negeri dan kereta rasmi negeri juga termasuk.

“Tetapi mereka ini tidak boleh menggunakannya untuk tujuan berkempen dan itu adalah salah,” katanya.

Jelasnya, beliau masih boleh menggunakan kenderaan rasmi Menteri Besar untuk berkempen kerana ia adalah miliknya.

“Jika ada orang nampak saya gunakan kereta rasmi Menteri Besar dan kata saya salah guna harta kerajaan negeri,  itu tidak betul kerana kereta itu memang milik saya dan saya tidak menghalang sesiapa untuk periksa hal itu, silakan...,” katanya.