Saturday, April 6, 2013

Cinta tujuh bulan Afgan

JEJAKA ini mengakui pernah mengalami pengalaman putus cinta.


TIADA privasi dalam kehidupan peribadi. Itu harga yang perlu dibayar apabila bergelar artis popular.
Itu yang berlaku kepada penyanyi popular dari Indonesia, Afgan Shah Reza apabila dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajiannya dalam bidang ijazah pemasaran perniagaan dan muzik di Universiti Monash, Selangor, Malaysia, pada tahun 2011.
Akui pelantun lagu Terima kasih Cinta itu, ketika mula-mula belajar dahulu, ramai yang tidak mengenalinya. Namun sejak akhir-akhir ini, jejaka yang memiliki lesung pipit menawan itu telah meraih perhatian ramai wanita di kampus pengajiannya.
Dedahnya, ramai yang cuba mendekatinya bahkan ada juga peminatnya dalam kalangan pelajar yang merakam gambarnya secara bersembunyi.
"Mula-mula belajar dahulu mereka tidak perasan kehadiran saya. Tetapi sekarang ramai yang ingin bergambar dengan saya. Semasa belajar juga ada yang cuba merakamkan gambar saya secara rahsia.
"Sebenarnya saya tidak suka dia (peminatnya) bertindak begitu. Lebih baik jika dia beritahu saya," ujarnya kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran album ketiganya, Live To Love, Love To Live di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Begitupun, jelas Afgan, peminat-peminat Malaysia lebih sopan kerana tidak bertindak keterlaluan seperti memeluk atau menciumnya.
Cinta jarak jauh
Bakal menamatkan pengajiannya pada bulan Jun ini, Afgan disoal sama ada telah menemui cinta di Malaysia sepanjang pengajiannya di sini.
Mengakui pernah mempunyai kekasih sebelum ini, walau bagaimanapun, ungkap Afgan, hubungannya bersama wanita Indonesia itu hanya sempat bertahan selama tujuh bulan dan akhirnya putus disebabkan faktor cinta jarak jauh.
"Sebelum ini, saya pernah bercinta dengan seorang wanita Indonesia. Tetapi, susah bercinta jarak jauh apabila kita tidak dapat memberi perhatian kepada pasangan. Kasihan pada kekasih.

AFGAN memberikan persembahan yang mengujakan hadirin pada sidang akhbar album ketiganya, Live To Love, Love To Live di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Akhirnya, kami sepakat untuk mengakhiri hubungan ketika saya mula-mula belajar dahulu," jelasnya yang mengambil keputusan untuk bercinta semula selepas habis belajar kelak.
Berkongsi tentang ciri-ciri wanita pilihannya, luah Afgan, dia mahukan seorang kekasih yang cerdik, cantik dan mampu bercerita tentang apa juga perkara termasuk bidang muzik.
Terlanjur bercerita tentang cinta, tutur Afgan, dia lebih selesa menulis lagu tentang cinta berbanding perkara lain. Malah, lagu-lagu yang dihasilkannya juga berdasarkan pengalaman cintanya.
"Saya hanya boleh menulis lagu tentang cinta. Kebanyakan lagu saya berdasarkan pengalaman cinta saya terdahulu," ujarnya yang mula menulis lagu sejak empat tahun lalu.
Menurut Afgan lagi, single pertamanya dalam album terbaharu berjudul Pesan Cinta ditulis Afgan berdasarkan pengalaman cinta pertamanya dengan seorang gadis ketika di bangku sekolah.
Ujarnya: "Ketika sekolah menengah, buat pertama kalinya saya meminati seorang gadis tetapi malu untuk memberitahunya. Saya pasti ramai yang mempunyai pengalaman sebegitu. Jadi, saya mendapat idea untuk menulis lagu Pesan Cinta berdasarkan pengalaman cinta kali pertama".
Selain itu, ungkap Afgan, dia turut menulis lagu berdasarkan pengalaman cinta jarak jauhnya yang tidak kesampaian menerusi lagu duetnya bersama penyanyi Sherina iaitu Demi Kamu dan Aku. Akuinya, ia juga merupakan lagu yang paling disukai menerusi album ketiganya itu.
Sebagai tanda terima kasih dan sayang Afgan kepada peminatnya, penyanyi berketurunan Minangkabau itu juga menujukan sebuah lagu berjudul Untukmu Aku Bertahan buat peminat-peminatnya.
SINGLE berjudul Pesan Cinta ditulis Afgan berdasarkan pengalaman cinta pertamanya dengan seorang gadis ketika di bangku sekolah.


Matang
Seiring dengan usianya yang kini mencecah 23 tahun, Afgan memberitahu, album terbaharunya itu lebih menonjolkan sisi matangnya berbanding album terdahulu.
"Jika dahulu, peminat mengenali saya menerusi lagu-lagu balada seperti Terima Kasih Cinta. Lain pula dengan album ketiga saya ini apabila ia menunjukkan sisi kematangan dari segi vokal, lirik dan juga susunan lagu.
"Malah, saya juga lebih nyaman (selesa) dengan kemampuan menyanyi dan juga vokal saya sekarang. Mungkin dahulu saya menyanyi berdasarkan teknik tetapi sekarang saya menyanyi dengan jiwa," kongsinya.
Tambah Afgan, susunan muzik untuk album terbaharunya juga lebih matang dan dia juga bangga kerana berpeluang bekerjasama dengan ramai pengarah muzik hebat seperti Inu Numatadan Nino Ran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: