Lelaki Sulu didakwa miliki IC palsu
Iskandar Azlan Al Shah dibawa polis ke mahkamah, semalam.
MELAKA - Seorang lelaki Sulu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bulan dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan.

Tertuduh, Iskandar Azlan Al Shah Mohd Nazal Al Shah, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan memiliki kad pengenalan
palsu dan menetap di negara ini secara tidak sah yang didakwa ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, Iskandar didakwa memiliki kad pengenalan dengan maklumat pengenalan diri palsu yang dikeluarkan di bawah Peraturan Pendaftaran Negara 1990 menggunakan sijil kelahiran milik individu bernama Sharif Abdilla.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Seri Mangga 2/5, Taman Seri Mangga Seksyen Dua, Melaka Tengah kira-kira jam 7 malam pada 8 Mac 2013.

Dia dituduh mengikut Peraturan 25(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda dari RM3,000 hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahidani Abd Aziz ketika pendakwaan memohon mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh yang merupakan warga asing dan ditahan di bawah akta itu.

Majistret Syajaratudur Abd Rahman yang membenarkan permohonan Shahidani kemudian menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan kes bagi lantikan peguam.

Dalam mahkamah berasingan, Iskandar turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki dan berada di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah pada lokasi, waktu dan tarikh sama.

Dia yang mohon dibicarakan membuat pengakuan itu di Hadapan Hakim, Ahmad Sazali Omar selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman penjara maksima lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali dan tidak lebih enam sebatan.

Ahmad Sazali kemudian membenarkan kes disebut semula pada tarikh sama, 7 Mei depan selepas dipohon Shahidani.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis menahan Iskandar yang juga berketurunan Sulu pada 8 Mac lalu di tempat kerjanya.

“Suspek merupakan pekerja kontrak di sebuah syarikat penapisan minyak di Sungai Udang di sini, ditahan selama 28 hari untuk siasatan lanjut mengikut Sosma berhubung pencerobohan di Lahad Datu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.