Wednesday, April 3, 2013

Liga Juara 'Hot FM-100 Plus' Tampilkan Artis & Bintang Sukan

Penyampai radio Hot FM, selebriti dan pemain bola sepak kebangsaan bakal memeriahkan acara Liga Juara Hot FM-100 Plus yang bakal diadakan bermula 12 April ini.
KUALA LUMPUR: Stesen radio Hot FM bakal menampilkan 25 orang artis dan pemain bola sepak terkenal untuk beraksi di gelanggang futsal bersempena pertandingan Liga Juara Hot FM-100 Plus bermula 12 April depan.
Pengurus Besar, Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Anida Mohd Tahrim berkata, acara itu diadakan dengan sokongan selebriti selepas melihat keadaan dan rasa tanggungjawab untuk mewujudkan satu komuniti yang sihat selain ingin mendekatkan mereka dengan masyarakat.
"Futsal adalah satu sukan yang amat popular ketika ini dan menjadi kegilaan tidak kira umur bagi masyarakat Malaysia. Melihat kepada keadaan itu kami terpanggil untuk mengadakan acara tersebut yang diyakini dapat menarik perhatian terutamanya pendengar Hot FM," jelasnya ketika pada sidang media program berkenaan di Restoran Full House di sini, Selasa.
Antara artis yang bakal beraksi dalam pertandingan itu seperti Nelydia Sensore, Neelofa, Black, Qi Razali, Scha Al Yahya, Erry Putra, Hairul Azreen, Fizo Omar, Danny X-Factor dan Adam.
Manakala pemain bola sepak yang bakal memeriahkan pertandingan seperti Azman Adnan, Asmawi Bakiri, Mubin Mokhtar, Rusdi Suparman, Anuar Abu Bakar, Safee Sali, Khairul Fahmi Che Mat dan Safiq Rahim.
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan bakal beraksi dalam program yang akan diadakan di Kelantan, Terengganu dan Selangor.
Dalam pada itu, Anida berkata, Liga Juara Hot FM-100 Plus juga diadakan selepas kejayaan acara itu di Sabah dan Sarawak tiga tahun lalu,
"Kali ini kami ingin menjelajah ke negeri Terengganu dan Kelantan. Kami yakin ia akan bertambah hangat dengan kehadiran selebriti popular dan pemain bola sepak terkenal di gelanggang futsal," katanya.
Tiga lokasi gelanggang futsal yang bakal menemui peminat adalah DS Sport Centre 2, Wakaf Mempelam Kuala Terengganu pada 12 April manakala pada hari berikutnya perlawanan akan diadakan di Arena Futsal, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Lokasi terakhir bagi program ini bakal diadakan pada 20 April depan bertempat di Sports Jam, Extreme Park, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Hadiah utama yang bakal dibawa pulang oleh pemenang ialah wang tunai RM3,000 berserta piala pusingan dan trofi.
Kepada peminat yang ingin menyertai pertandingan itu boleh mendapatkan borang penyertaan di laman web Hot FM, www.hotfm.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: