Wednesday, April 3, 2013

Edry tepis tohmahan suntik hidung

EDRY ada cara tersendiri untuk kelihatan muda.


JIKA dilihat dari segi penampilannya, Edry Abdul Halim masih berjaya mengekalkan ketampanannya biar umur kini sudah mencecah 37 tahun. Meraih populariti bersama KRU pada usia remajanya, Edry kini merupakan anggota kumpulan Mojo.
Edry pernah mengulas tentang pertanyaan media sebelum ini tentang wajahnya yang kelihatan cengkung dan kurus. Dia memberi alasan bahawa perubahan wajahnya itu berlaku seiring pertambahan usia.
Bagaimanapun, sebelum ini timbul desas-desus di internet yang mendakwa Edry melakukan sesuatu pada wajahnya terutama membabitkan bahagian hidung.
Bertemu dengan bapa kepada empat orang cahaya mata ketika sesi ramah mesra bersama media Liga Juara Hot FM - 100 Plus di Restoran Fullhouse Kuala Lumpur semalam, Kosmo! mendapatkan kenyataan balas daripada Edry berhubung perkara itu.
Kosmo!: Timbul spekulasi Edry telah mencucuk hidung untuk kekal kelihatan muda. Adakah perkara tersebut benar?
EDRY: Jelas sekali kenyataan itu tidak benar dan saya tidak pernah dan tidak terfikir untuk melakukannya (suntikan hidung). Saya tidak akan melayan tuduhan tidak berasas seperti ini.
Bagaimanakah Edry melihat dakwaan sebegini dan adakah ia mencalar maruah Edry sebagai seorang individu terkenal dalam industri?
Orang ramai boleh menilai saya dan siapa saya pada hari ini. Saya tidak merasakan ada perbezaan jika timbul tuduhan sebegini dan tiada apa yang perlu saya sembunyikan. Kalau saya tidak melakukannya, tiada apa yang perlu saya cakapkan. Malah, jika saya melakukan suntikan pada wajah pun tiada apa yang nak dimalukan.
Mungkinkah Edry mempunyai alasan lain yang lebih kukuh untuk menyokong kenyataan tersebut?
Corak kehidupan saya berbeza setiap hari dan saya melakukan senaman untuk kekal cergas, sihat dan nampak muda.
Edry akan terbabit sama dalam Liga Juara Hot FM - 100 Plus sepanjang bulan April ini. Apakah peranan Edry sebagai selebriti sempena acara tersebut?
Saya akan turun padang untuk berlawan futsal bersama penyampai radio Hot FM, bintang bola sepak tanah air dan peminat di tiga buah lokasi iaitu Kuala Terengganu, Kota Bahru dan Shah Alam. Langkah ini saya rasakan terbaik untuk saya berinteraksi dengan peminat dan perasaan sangat teruja. Lagipun, sepanjang dua dekad KRU dalam industri, rasanya baru tiga kali kami berpeluang ke sana.
Filem 29 Februari kurang mendapat sambutan dalam kalangan penonton tempatan. Adakah Edry berputus asa untuk mencuba formula yang sama untuk filem akan datang?
KRU Studios mempunyai banyak filem dalam tangan untuk ditayangkan antaranya Vikingdom, Ular, Malaysia Masuk World Cup dan Hantu Tok Mudim dan kesemuanya berbeza dari segi genre dan jalan cerita.
Sudah pasti kita mahu ke depan dan menjadi lebih baik tapi adakalanya kita perlu toleh ke belakang dan perlu mengikut rentak pasaran semasa.
Mungkin saya telah menghasilkan filem yang bukan penonton mahu tengok tapi saya tidak berminat untuk menghasilkan filem ringan untuk menjaga maruah dan label syarikat yang telah dibina.
Saya masih menunggu masa yang sesuai untuk filem-filem itu ditayangkan dan sesuai dengan tahap intelektual serta apresiasi penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: