Wednesday, April 3, 2013

Afgan Hanya Akan Bercinta Selepas Tamat Belajar

Afgan menunjukkan album terbaharunya Live To Love, Love To Live semasa pelancara album itu di The Vanue, Pavillion, Kuala Lumpur pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Indonesia iaitu Afgan hanya akan menjalinkan hubungan cinta selepas dia menamatkan pengajiannya di Universiti Monash dekat sini.
Afgan yang mengambil ijazah dalam bidang pemasaran perniagaan beranggapan sukar baginya memberi tumpuan dalam satu-satu perkara jika terpaksa melakukan dua benda serentak.
"Susah jika bercinta ketika belajar. Sebelum ini saya pernah bercinta dengan seorang wanita Indonesia ketika kemasukan awal saya ke universiti pada tahun 2011.
"Namun ia hanya dapat bertahan selama tujuh bulan sahaja apabila masing-masing membuat keputusan untuk berpisah.
"Sukar sebenarnya untuk menjalinkan hubungan cinta jarak jauh kerana masing-masing tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada kekasih. Rasa macam pentingkan diri pula," katanya.
Afgan ditemui pada pelancaran album ketiganya berjudul Live To Love, Love To Live di The Vanue, Pavillion, di sini pada petang Selasa.
Tambah Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, dia menganggap hubungan cinta adalah satu perkara yang sangat penting buat kehidupan manusia dan kerana itu juga dia sering menghasilkan lagu-lagu berunsur cinta untuk para peminatnya.
Dalam pada itu, lagu-lagu yang dihasilkan juga merupakan perkongsian cerita mengenai pengalaman cinta yang pernah dilaluinya.
"Saya lebih senang berkongsi kisah diri menerusi lagu-lagu yang dibawakan.
"Dan menerusi album ini juga, saya menghasilkan lagu Pesan Cinta yang mengisahkan seorang lelaki iaitu saya yang jatuh hati pada pandang pertama terhadap seorang gadis," ujarnya.
Live To Love, Love To Live menampilkan sebanyak 10 buah lagu yang antaranya seperti Jodoh Pasti Bertemu, Without You, Demi Kamu Dan Aku, Untukmu Aku Bertahan, Katakan Tidak, Cinta Tanpa Syarat, Jauh dan Tanpa Bahasa.
"Menerusi lagu Demi Kamu dan Aku, saya tampilkan lagu ini dengan pasangan duet saya, Sherina. Lagu ini amat berbeza kerana muziknya diselitkan campuran akustik biola.
"Kalau nak tahu lagu ini mengenai hubungan cinta jarak jauh saya yang tidak menjadi itu.
"Malah saya turut menghadiahkan peminat-peminat dengan lagu khas iaitu Untukmu Aku Bertahan sebagai menghargai usaha mereka yang sentiasa menyokong saya tidak kira masa," katanya.
Album Live To Love, Love To Live merupakan album pertama Afgan di bawah naungan Trinity Optima Production di Indonesia manakala Suria Records Sdn Bhd di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment