Saturday, April 20, 2013

Konsert Mizz Nina undang Jay Park


MIZZ NINA turut mengundang suaminya, Noh dalam konsert sulungnya nanti.


PENYANYI wanita hip hop, Mizz Nina mendedahkan konsert pertamanya yang bakal berlangsung pada 18 Mei ini di KL Live, Kuala Lumpur, akan disertai penyanyi popular dari Korea iaitu Jay Park.
Bakal menyanyikan single terbaharunya bersama Jay Park berjudul Around The World, ulas Mizz Nina, penyanyi kelahiran Amerika Syarikat itu juga akan membuat kejutan pada konsert yang menampilkan tema yang sama iaitu Around The World Concert With Mizz Nina.
Begitupun, Mizz Nina tidak dapat memberitahu apakah kejutan yang bakal dilakukan Jay Park pada malam konsert yang berlangsung selama sejam bermula pukul 8.30 malam itu.
Ditebak berapakah nilai yang dilaburkan untuk membawa Jay Park ke konsertnya pada malam itu, anak kepada Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim itu lebih selesa untuk tidak mendedahkan mengenainya.
"Perbelanjaan konsert ini masih berterusan buat masa ini. Tetapi saya gembira kerana Jay Park turut sama menyanyi pada konsert pertama saya ini. Tidak sukar sebenarnya membawa Jay Park. Selepas saya menyuarakan hasrat untuk berkolaborasi, dia bersetuju.

MIZZ Nina enggan mendedahkan harga yang perlu dibayar kepada Jay Park untuk membawa penyanyi terkenal Korea Selatan itu ke Malaysia.


"Memang sudah lama saya mengimpikan untuk mengadakan konsert yang menceritakan perjalanan hidup saya sejak mula menceburkan diri dalam bidang muzik," ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman konsert Around The World Concert With Mizz Nina di The Bee, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain Jay Park, Mizz Nina turut mengundang suaminya, Noh Salleh (vokalis kumpulan Hujan) dan juga kumpulan Teh Tarik Crew untuk bersama-sama menjayakan konsert pada malam itu.
Memilih KL Live untuk konsert pertamanya, ulas Mizz Nina, dia tidak mahu mengambil risiko kerana ia merupakan konsert pertamanya.
"Saya sanggup ambil risiko untuk mengadakan konsert di tempat yang kecil berbanding tempat yang besar. Lagipun, saya selesa buat konsert di sana," ujarnya mengenai KL Live yang mampu memuatkan lebih 3,000 orang itu.
Mizz Nina turut ditanya andai kemunculan Jay Park di pentas nanti bakal membuatnya tenggelam berikutan populariti Jay Park di Malaysia.

JAY PARK yang berkolaborasi dengan Mizz Nina untuk lagu Around The World akan muncul pada konsert sulung Mizz Nina di KL Live, Kuala Lumpur pada 18 Mei ini.


Ujar Mizz Nina, dia tidak takut dibayangi Jay Park kerana dia akan memgadakan persembahan yang bagus di hadapan peminat-peminatnya nanti.
Pada majlis sidang akhbar itu juga, Mizz Nina turut memaparkan klip video Around The World Mizz Nina yang menampilkan Jay Park yang dihasilkan di Korea Selatan itu.
Jelasnya, sejak dilancarkan pada 25 Mac lalu, klip video itu mendapat sambutan hangat peminat tempatan mahupun luar negara. Sehingga kini, ia telah mencecah 692,889 tontonan di YouTube.
Bagi sesiapa yang berminat untuk menyaksikan konsert Mizz Nina bersama Jay Park, Noh Hujan dan juga Teh Tarik Crew itu, anda boleh membeli tiket-tiket yang dijual pada harga RM70 dan RM100 di http://redtix.airasia.com/Events/mizznina atau kunjungi outlet Rock Corner dan Victoria Music yang berhampiran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment