Saturday, April 20, 2013

Tiada masa miliki anak



SETELAH 20 tahun berada dalam industri seni, penyanyi yang juga aktres Hong Kong popular, Karen Mok akhirnya berjaya merealisasikan impiannya untuk menghasilkan sebuah album jazz. Album jazz pertama Karen yang berjudul Somewhere I Belong itu juga merupakan album Inggeris pertama penyanyi berusia 42 tahun itu.
Sebelum ini, Karen telah muncul dengan 15 album berbahasa Cina yang berentak balada, tarian dan rancak.
Melalui usia dan pengalamannya dalam dunia nyanyian, penyanyi kekal jelita itu tidak gentar untuk mencuba irama jazz yang belum pernah diterokai lagi menerusi album-albumnya sebelum ini.
Menurut Karen, minatnya dalam muzik jazz bermula sebelum dia menceburi dunia hiburan lagi. Ketika itu, dia merupakan seorang pelajar universiti di United Kingdom.
"Ketika saya berjalan di Charing Cross Road, London, terdapat sebuah kedai yang menjual buku-buku dan cakera padat (CD).
"Terdapat timbunan CD yang benar-benar murah. Jadi, saya ambil sebuah CD yang mengandungi nama-nama penyanyi yang tidak saya kenali iaitu Ella Fitzgerald dan Louis Armstrong."
"Bila mendengarnya, saya terus kata wow! Jadi, ini yang dikatakan rentak jazz. Saya mula jatuh cinta pada irama jazz dan cuba menyelami irama itu dengan lebih mendalam," ungkapnya ketika ditemui pada majlis sesi bertemu peminat di Hotel Double Tree Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Melalui albumnya, Somewhere I Belong, Karen memuatkan sebanyak 12 buah lagu berentak jazz.
Paling mencuri perhatian adalah lagu While My Guitar Gently Weeps yang merupakan lagu asal George Harrison dari kumpulan The Beatles. Selain suara Karen yang merdu, apa yang membuatkan lagu versi itu unik adalah penggunaan alat muzik tradisional Cina yang dikenali sebagai guzheng (muzik yang berteraskan kepada bunyi gitar dan bass).

FIGURA tersohor Hong Kong ini kini muncul dengan album Inggeris sulungnya, Somewhere I Belong.


Keanu Reeves
Selain album Inggeris pertamanya, Karen juga bakal bergandingan dengan pelakon popular Hollywood iaitu Keanu Reeves dalam sebuah filem aksi berjudul Man Of Tai Chi.
Filem arahan Keanu Reeves itu juga bakal membuka lembaran buat aktres berdarah Cina, Wales, Iran dan Jerman itu ke pasaran Barat. Kongsi Karen, dalam filem tersebut dia membawa peranan sebagai seorang polis Hong Kong.
"Filem Man Of Tai Chi akan ditayangkan pada pertengahan tahun ini dan ia berkisah mengenai sebuah kelab pertarungan bawah tanah di China," jelasnya.
Biarpun Karen menggunakan bahasa Kantonis dalam produksi tersebut, ujarnya, dia optimistis terhadap bintang siri filem Matrix itu kerana mengetahui adegan terbaik buat dirinya.
Anak tiri
Di luar lapangan seninya, Karen telah berkahwin dengan seorang lelaki Jerman bernama Johannes pada Oktober, 2011.
Melalui hari yang begitu sibuk sebagai seorang penyanyi dan juga pelakon, ujar Karen, bagaimanapun dia akan cuba menghubungi atau membuat panggilan video kepada suaminya jika berjauhan.

KAREN sudah menghambakan diri sebagai insan seni selama dua dekad.


"Kini, saya rasa sudah mempunyai kehidupan yang seimbang. Saya sedar sebelum ini saya seorang wanita yang gigih bekerja dan tidak mempunyai masa untuk hal lain tetapi setelah berkahwin saya patut membahagikan masa untuk keluarga dan juga kerjaya.
"Saya harus memastikan mempunyai cukup masa untuk diri sendiri, suami dan juga keluarga," ujarnya yang mempunyai tiga orang anak tiri melalui perkahwinan suaminya sebelum ini.
Jika ada sesetengah wanita yang berasa sukar untuk rapat dan berkomunikasi dengan anak tiri mereka tetapi tidak bagi Karen.
Karen menyayangi anak-anak tirinya dan menganggap mereka seperti anaknya sendiri.
"Sebenarnya tidak sukar untuk rapat dan berkomunikasi dengan mereka kerana mereka sudah dewasa," ujar Karen.
Ditebak sama ada dia bersedia untuk menimang cahaya matanya sendiri, Karen menyatakan dia terlalu sibuk untuk mempunyai anak.
"Saya tidak berkeinginan untuk menjadi ibu. Saya benar-benar sibuk. Lagipun, saya sangat gembira dengan kehidupan yang saya kecapi kini," jelasnya yang menganggap tahun 2013 merupakan tahun yang paling sibuk buat dirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: