Saturday, April 6, 2013

Perdana kelabu


RUANG kabin tidak menerima perubahan drastik.


ASALKAN pilihan enjinnya tepat, Perdana ialah model Proton yang lebih bernilai untuk wang kalau dibandingkan dengan kereta-kereta Proton lain.
Enjin yang tepat maksudnya enjin yang berkuasa, tidak berat dan tidak banyak omboh. Sudah tentu 4G63 ialah enjin paling cocok untuk memulihkan Perdana yang selalu buat hal dengan kotak gear automatik yang tersengguk-sengguk dan hilang gear.
Kalau mahu lagi untung, jangan beli body yang mahal. Sebaliknya cari model Sei empat silinder. Lebih untung lagi, beli model dengan transmisi manual. Tidak penat kerja dan banyak belanja cari pedal, konsol dan sebagainya.
Kereta ini milik Fitri dari Kepong, Kuala Lumpur. Ia dibeli dalam bentuk model terpakai tahun 1997 yang harganya masih boleh dianggap sebagai murah.
Daripada beli Proton Wira masuk enjin Evo yang kemudian susah untuk didaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ada baiknya beli Perdana yang memang sama sesaran enjinnya. Bahagian teknikal pun tidak banyak tanya, malah mounting pun sama sahaja.
Enjin Evo 3 dipasang dengan turbin TD05H. Tidak perlu menggunakan penapis udara dan biarkan sahaja mulut turbin itu ternganga.
Kemudian paip ditukar dengan jenis stainless steel, radiator Greedy, injap blow-off Greedy, injektor 1050cc, surge tank, plug Iridium dan wastegate Tial yang dipateri pada ekstraktor asal kereta. Akhir sekali, ECU asal digantikan dengan jenis yang senang diprogram, pilihan Fitri ialah Microtech LT10S.
Ekzos dipadankan dengan paip bersaiz tiga inci dan peredam bunyi HKS SR. Apabila bunyi enjin sudah kuat, bersedialah untuk mengalihkan kuasa ke permukaan jalan.
Dilema sebuah Perdana ialah transmisi automatik yang lemau. Maka, penyelesaiannya adalah dengan menggunakan kotak gear manual.
Kereta itu dipasang dengan kotak gear Evo yang dikunci pada roda belakang. Klacnya pula menggunakan produk Quarter Master twin plate.
PERDANA boleh menjadi sebuah kereta yang ideal jika betul modifikasinya.


Rim 17 inci
Sistem suspensinya pula mendapat khidmat daripada Gab jenis boleh laras tinggi rendah dan keras lembut. Setelah berkali-kali membuat talaan, Fitri mendapati pegas gegelung yang ideal untuk sebuah kereta laju, tetapi boleh dipandu setiap hari ialah yang memiliki keanjalan 8kg/mm di depan dan 6kg/mm di belakang. Setakat ini, semuanya bagus dan tidak ada rungutan.
Rim P1 Buddyclub kalau saiznya 15 inci tidak nampak istimewa sangat. Tetapi apabila saiznya melonjak kepada diameter 17 inci ke atas, memang boleh kenal sama ada ia original atau cap ayam.
Di Jepun, mereka gemar mengguna pakai rim jenis offset kecil bagi boleh menampakkan hub tengah terperosok ke dalam.
Tidak seperti rim TE atau Type C yang mana spoke mengikut alur ukuran offset, batang-batang rim P1 tetap menegak, cuma dibezakan pada tengah hubnya sahaja.
Tayar yang digunakan pada Perdana ini ialah Achilles bersaiz 225/45 pada setiap sudutnya. Syarikat pembuat tayar dari Indonesia itu memang cukup agresif.
Jadi tidak hairanlah jika dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, namanya sudah lebih terkenal berbanding Sumitomo, GT Radial, Kumho atau Federal.
Bahagian dalaman kereta adalah tipikal pelumba jalanan atau lagi sedap bunyinya street racer. Meter Defi dengan link display itu wajib.
Tempat duduknya daripada SSCUS yang meniru reka bentuk Recaro dan warna hitam memang padan dengan karektor kereta. Sistem audio nampaknya tidak ketinggalan dengan pemain Pioneer, selain semua pembesar suara dan amplifier jenama Mohawk.
Bahagian luar sebuah Perdana tidak memerlukan bodykit yang merepek untuk jadikannya cantik. Lebih baik minimalis.
Bonet depan kereta ini dipasangkan dengan vent Evo III, Sunroof dari Galant VRG dan skirting Waja yang lebih tebal dari Perdana. Akhir sekali spoiler Mirage, nampak serasi pula duduk di atas bonet Perdana ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: