Saturday, April 6, 2013

Bersantai di Bukit Merah Laketown Resort


TAMAN tema air sudah tentunya menjadi daya tarikan utama pelancong ke Bukit Merah Laketown Resort.


MENJADI satu-satunya pusat taman tema air di negeri Perak, Bukit Merah Laketown Resort menjanjikan percutian yang penuh bermakna untuk pengunjungnya.
Hanya tiga jam perjalanan dari Kuala Lumpur, 45 minit dari Pulau Pinang dan satu jam dari bandar raya Ipoh, Bukit Merah Laketown Resort menyediakan pelbagai kemudahan yang meliputi penginapan yang bersesuaian dengan bajet para pengunjung.
Sekiranya anda datang bersama keluarga, taman tema air pasti menjadi salah satu destinasi utama untuk kanak-kanak.
Dengan 14 permainan dalam taman tema air itu, pengunjung harus mencuba permainan Boomerang dan Giant Wet Bubble kerana ia satu-satunya permainan yang terdapat di Malaysia.
Pusat pelancongan yang dikelilingi tasik buatan seluas 2,832 hektar yang terhampar luas itu juga menyediakan aktiviti rekreasi bagi yang meminati sukan lasak.
Anda boleh memilih untuk melakukan sukan kayak, kayuhan bot, jet ski, menaiki kapal persiaran dan mencuba menunggang All-Terrain Vehicle (ATV) bagi memenuhi waktu lapang anda ketika berlibur di sana.
Pengurus Besar Kumpulan MK Land Hotel and Resort, Azhar Ahmad, memberitahu, pihaknya pasti akan mengadakan promosi untuk pengunjung menjelang cuti sekolah dan musim perayaan.
“Pakej istimewa ini turut dilengkapi dengan diskaun. Ia termasuk harga untuk taman tema, aktiviti rekreasi dan tempat penginapan.
“Selain itu, pihak kami juga giat mengadakan promosi mengenai pakej yang ditawarkan. Mengambil contoh, Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair). Pengunjung yang hadir ke pameran itu juga berpeluang mendapat promosi pakej istimewa yang ditawarkan oleh Bukit Merah Laketown Resort,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Mengenai perihal penginapan, pengunjung tidak perlu risau kerana anda boleh menginap di Hotel Laketown selain daripada Kampung Air dan Hotel Apartmen Suria Servis.

BILIK Junior Suite sesuai untuk pelancong yang mahukan ruang bilik yang luas serta berdekorasi mewah.


Laketown Hotel menawarkan 173 buah bilik dengan empat pakej berbeza iaitu Bilik Superior, Bilik Deluxe, Junior Suites dan Executive Suites.
Bagi yang mempunyai bajet yang sederhana, anda boleh menginap di bilik Superior yang mempunyai satu katil bersaiz besar dan dua katil single.
Selain itu, hotel berkenaan juga antara yang paling hampir dengan kawasan utama pusat peranginan itu.
Bilik Deluxe yang berkeluasan 27 meter persegi pula sesuai untuk keluarga yang mahukan tempat penginapan selesa sepanjang bercuti di sana.
Pada waktu malamnya, pengunjung boleh mengikuti aktiviti kembara di Taman Eko.
Melalui pengalaman itu, pengunjung dapat mengenali haiwan dengan lebih dekat terutama haiwan yang jarang ditemui seperti binturung.
Anda juga berpeluang memberi makan dan menyentuh haiwan-haiwan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: