Thursday, April 4, 2013

Enam negeri bubar DUN semalam


RAJA NAZRIN SHAH (kanan) menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam.


KUALA LUMPUR - Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri dibubarkan semalam serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan.
Pembubaran DUN terbabit melibatkan negeri Perlis, Perak, Sabah, Melaka, Terengganu dan Pahang.
Sebelum ini, DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac lalu, manakala bagi Sarawak, Pilihan Raya Negeri ke-10 telah berlangsung pada 16 April 2011.
Difahamkan, DUN Johor akan dibubarkan hari ini selepas mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.
Bagi negeri dikuasai pembangkang pula, hanya Kedah, Pulau Pinang dan Selangor membubarkan DUN masing-masing hari ini, manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat akan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk memohon perkenan pembubaran DUN di Istana Telipot, Kota Bharu malam ini.
Pembubaran DUN Perlis pula dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Md. Isa Sabu pada pukul 12.50 tengah hari di Kangar.
Kata Md. Isa, beliau menyembah maklum kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melalui telefon mengenai perkara itu sebaik mesyuarat Exco berakhir pada pukul 12.30 tengah hari dan baginda memberi perkenan.
Pada ketika itu, jelasnya, Tuanku Syed Sirajuddin berada di luar Perlis.
Dalam pada itu, Yang Dipertua negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran DUN Melaka kira-kira pukul 1 petang di Ayer Keroh, disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Bagi DUN Perak pula, Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran DUN pada pukul 2.30 petang di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
DUN Sabah dibubarkan pada pukul 3.45 petang selepas Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menandatangani watikah pengisytiharan pembubarannya.
Dalam pada itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membubarkan DUN Terengganu malam tadi.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, baginda menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran DUN pada pukul 7.40 malam sejurus keberangkatan pulang dari luar negara.
DUN Pahang dibubarkan selepas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menghadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Mahkota, Jalan Teluk Sisek, Kuantan pada pukul 10.55 malam tadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: