Thursday, April 4, 2013

Ujian mistik Ekin Cheng

EKIN CHENG meraih pengalaman menarik sepanjang menjalani penggambaran filem, Saving General Yang.


PEMINAT permainan video Siege of Troy barangkali sudah terbiasa dengan plot penceritaan filem Saving General Yang - pertempuran dua puak sehingga mengorbankan ribuan nyawa.
Namun, dari segi konteks inti ceritanya, Saving General Yang menyampaikan makna kesetiaan, kasih sayang dan keikhlasan sesama anggota keluarga sehingga sanggup mengorbankan nyawa demi maruah dan kestabilan negara.
Saving General Yang sebenarnya mengambil jalan cerita awal sebelum berlaku perang antara puak Yang dan puak Khitan, yang mana kesinambungannya boleh dilihat menerusi filem arahan Frankie Chan, Legendary Amazons (2011).
Berkongsi pengalaman dan cabaran berlakon di bawah arahan Ronnie Yu, kata bintang utama filem Saving General Yang, Ekin Chang, dia tidak terkecuali daripada tercedera ketika penggambaran.
"Suatu hari ketika penggambaran, saya terjatuh dari kuda yang saya tunggang tetapi saya tidak ambil pusing akan kecederaan yang dialami tersebut.
"Sehinggalah saya berjumpa doktor peribadi saya di Hong Kong dan beliau mengesahkan tulang pinggul saya terkehel," tutur Ekin yang ditemui pada sesi ramah mesra bersama media Malaysia di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur Ahad lalu.
500 ekor kuda
Insiden itu, kata Ekin, tidak begitu aneh jika dibandingkan dengan kejadian dia hampir terjatuh dari kuda yang ditunggangnya dalam satu babak awal pertempuran yang turut disertai 500 ekor kuda di belakangnya.
"Salah satu babak ketika puak Yang melancarkan perang terhadap puak Khitan, saya hampir terjatuh dari kuda. Ketika itu saya berada di barisan paling depan kerana mengetuai angkatan tentera puak Yang.
"Ketika badan saya hampir mencecah tanah, saya terasa seolah-olah badan saya diangkat, begitu juga kuda yang saya tunggang. Seperti ada satu kuasa yang membantu saya ketika itu.

KISAH tujuh beradik yang bersatu untuk menyelamatkan bapa mereka yang ditawan pihak musuh dipaparkan menerusi filem, Saving General Yang.


"Pada saat-saat genting itu, saya hanya terfikir akan kematian. Bayangkan kalau saya terjatuh, ada 500 ekor kuda di belakang saya yang menanti untuk memijak saya hidup-hidup," tutur Ekin.
Ekin melakonkan watak Yang Yan Ping, iaitu anak sulung kepada Jeneral Yang Ye. Merupakan seorang lelaki pintar dan penyabar, Yan Ping juga paling mahir merancang strategi ketenteraan dan taktik perang berbanding keenam-enam adiknya.
Pertemuan petang Ahad lalu bukan hanya bersama Ekin bahkan media turut dipertemukan dengan tiga aktor kacak dan muda iaitu Yu Bo, Vic Chou dan Wu Chun.
Yu Bo melakonkan watak Yang Yan Erlang yang merupakan anak kedua Jeneral Yang, manakala Vic Chou melakonkan karakter anak ketiga Jeneral Yang iaitu Yang Yan An.
Wu Chun pula merealisasikan karakter Yang Yan Zhao, anak keenam Jeneral Yang.
Menurut Yu Bo, mempelajari bahasa Kantonis adalah lebih mencabar berbanding untuk menghayati watak.
"Cabaran terbesar bagi saya adalah bertutur dalam bahasa Kantonis kerana saya tidak biasa bertutur dalam bahasa tersebut sebenarnya.
"Lagipun, filem-filem saya sebelum ini adalah berbahasa Mandarin," kata aktor kelahiran China itu yang berada di Kuala Lumpur sehari lebih awal untuk meraikan kejayaan filem lakonannya yang telah ditayangkan sebelum ini iaitu Hotel Deluxe.
Dia juga mengakui mengalami kecederaan ketika melakonkan babak menunggang kuda. Ujarnya: "Dua kali saya terjatuh dari kuda dan ia mengambil masa selama setahun sebelum bahu, pinggang dan belakang saya pulih sepenuhnya."
Beban 100 kilogram
Bagi aktor kacak kelahiran Taiwan, Vic Chou pula, karakter yang diberikan kepadanya bertepatan dengan sifat sebenarnya yang pendiam dan lebih banyak berfikir.
"Peribadi saya seorang yang pendiam dan kurang bercakap. Apabila Ronnie Yu bertemu dengan saya untuk membincangkan watak anak ketiga Jeneral Yang yang sudah jelas sepadan dengan karakter saya, saya terus memberikan persetujuan tanpa perlu berfikir lagi," ujarnya yang menghidupkan peranan sebagai pemanah handal menerusi Saving General Yang.
Berbaloi untuk membeli tiket menonton filem ini, khususnya bagi menyaksikan babak pertarungan memanah antara Vic Chou dan seorang musuhnya di tengah-tengah padang rumput panjang.

KARAKTER anak sulung Jeneral Yang iaitu Yan Ping diserahkan kepada Ekin Cheng.


Ini kerana ia dipaparkan menerusi sinematografi hebat yang berjaya memacu adrenalin penonton.
Dalam pada itu, Wu Chun sebagai Yan Zhao juga memainkan peranan yang tidak kurang penting dalam pergerakan filem ini.
Cuba untuk berbicara dalam bahasa Malaysia ketika ditemu bual tempoh hari, kata Wu Chun, filem tersebut memberikan pengalaman pertamanya berlakon filem aksi.
"Saya perlu mengangkat jasad mendiang bapa saya (Jeneral Yang) yang terkorban dalam perang. Bagi merealisasikan babak itu saya harus memikul patung seberat 35 kilogram yang diikat di belakang bersama lembing dan pedang.
"Ia sangat berat. Berat lembing sahaja sudah mencecah 15 kilogram. Ketika babak terakhir, saya perlu membawa ketujuh-tujuh senjata adik-beradik saya yang lain sebelum pulang ke rumah. Kalau tak salah, saya perlu memikul beban yang beratnya hampir 100 kilogram," ujar Wu Chun.
Saving General Yang diadaptasi daripada kesusasteraan klasik China berjudul Generals of the Yang Family yang mengisahkan kepimpinan Jeneral Yang pada era Dinasti Song (960-1127 Sebelum Masihi).
Menerusi filem itu, tujuh orang anak lelaki Jeneral Yang dikehendaki melaksanakan misi menyelamatkan bapanya yang ditangkap oleh musuh ketat mereka iaitu Bayan Ebugen daripada puak Khitan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: