Saturday, April 6, 2013

Penaja tarik diri


SABERA (barisan tengah, lima dari kanan) dan Mohamed Juhari (barisan tengah, lima dari kiri) bersama karyawan pementasan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road!.


PENERBITAN sesebuah teater muzikal memerlukan kos perbelanjaan yang agak tinggi, apatah lagi sekiranya ia dipentaskan di tempat yang berprestij seperti Istana Budaya.
Bagi mencari jalan untuk menampung kos pembikinannya, syarikat produksi yang menerbitkan teater muzikal akan mencari inisiatif terutama mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat korporat.
Baru-baru ini, syarikat produksi teater iaitu Masakini Theatre Company Sdn. Bhd. yang bakal mementaskan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! di Istana Budaya meluahkan rasa kecewa apabila pihak penaja mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menaja teater berkenaan.
Pengarah syarikat produksi tersebut, Datin Sabera Shaik berkata, pihaknya tidak menjangka apabila beberapa penaja telah bertindak untuk menarik diri daripada memberi sokongan kepada pementasan tersebut yang bakal berlangsung pada bulan hadapan.
“Proses pementasan teater ini sudah pun dijalankan separuh dan ini merupakan satu cabaran yang agak getir tanpa mendapat sokongan sebarang penaja memandangkan ia membabitkan kos yang tinggi.
“Bagaimanapun, ia langsung tidak melemahkan semangat kami untuk terus mementaskan teater ini dan para pelakon serta kru produksi tetap memberikan sepenuh komitmen mereka untuk menjayakan teater muzikal ini,” ujarnya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.
Bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 19 Mei ini, Chow Kit Road! Chow Kit Road! memaparkan kisah tentang sebuah keluarga miskin yang tinggal di Chow Kit dan ia sarat dengan kisah 1001 perjalanan kehidupan manusia.
Antara para pelakon yang membintangi teater muzikal tersebut seperti Adibah Noor, Anding dan Nadia Aqilah. Ia turut diserikan lagi dengan persembahan 20 buah lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Menurut Sabera, biarpun berhadapan dengan masalah ketiadaan penaja, namun pihaknya meluahkan rasa lega dan gembiranya kerana pihak Istana Budaya sudi untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka.
“Buat masa ini pihak Istana Budaya telah memberikan ruang untuk kami menjalani latihan selama sebulan tanpa dikenakan sebarang bayaran serta menggunakan beberapa kelengkapan yang ada.
“Bagi kami, dengan langkah sebegini sudah tentu kami dapat menjimatkan lagi kos produksi. Jika sebelum ini kos produksi menelan belanja sebanyak RM1.6 juta, kini ia sudah turun kepada RM1.2 juta sahaja,” ujarnya.
Ujarnya, selaku penerbit pihaknya juga mengambil keputusan untuk menurunkan harga tiket. Bagi yang berminat untuk menyaksikan pementasan teater tersebut boleh mendapatkan tiket-tiket berharga RM170 dan RM110 serta RM50 untuk pelajar dan warga emas.

TIGA pelakon utama teater Chow Kit Road! Chow Kit Road! (dari kiri), Tony Eusoff, Nadia Aqilah dan Anding.


Tetap diteruskan
Sementara itu, Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pementasan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! akan tetap diteruskan, meskipun berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada salah satu tarikh tersebut.
Juhari berkata, PRU sememangnya tidak memberi kesan terhadap kehadiran penonton dalam sesebuah pementasan teater dan pihaknya tidak bercadang untuk menukar ke satu tarikh yang lain.
“Jika mengikut pengalaman yang lepas, semasa berlangsungnya PRU pihak Istana Budaya masih lagi meneruskan pementasan dan kami melihat masih ramai yang datang menonton.
“Sebaliknya, kami terpaksa membatalkan sesebuah pementasan sekiranya berlaku perhimpunan haram seperti yang terjadi sebelum ini. Biarpun pementasan dibuat pada waktu malam, tetapi ia turut memberi kesan kepada kehadiran penonton,” ujarnya.
Berkenaan dengan kerjasama yang diberikan oleh Istana Budaya terhadap pementasan teater muzikal berkenaan, Juhari menyatakan, perlu diteruskan kerana kelainan jalan cerita yang ditampilkan.
“Kebanyakan teater muzikal yang dipentaskan di Istana Budaya banyak memaparkan kisah cinta. Jadi, kami mahu penonton dihiburkan pula dengan sebuah cerita yang sarat dengan nilai-nilai kemanusiaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: