Thursday, April 4, 2013

Artis Sahut Cabaran Pilihan Raya & Janji Mengundi


PETALING JAYA: Pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Rabu akhirnya berjaya menghilangkan keresahan banyak pihak yang menanti untuk melakukan tanggung jawab terhadap Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Malah PRU13 ini dilihat sengit apabila golongan muda turut tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam menyokong perjuangan politik masing-masing.
Para artis juga melihat sokongan terhadap pilihan raya umum adalah satu amanah yang penting untuk mereka membuang undi bagi memilih kerajaan memerintah.
mStar Online mendapatkan pandangan beberapa golongan artis adakah mereka akan mengundi dalam PRU13 dan pandangan mereka terhadap kepentingan pilihan raya dalam sebuah negara demokrasi.
Ikuti rangkuman temu bual yang dilakukan wartawan MOHD AL QAYUM AZIZ dan KEMALIA OTHMAN
Zed Zaidi
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, 33, menganggap mengundi merupakan salah satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan sebagai seorang rakyat Malaysia.
Zed yang juga Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pergerakan Pemuda Umno melihat penglibatan ramai artis dalam PRU13 adalah sesuatu perkara yang baik.
"PRU13 ini merupakan kali kedua saya mengundi, saya seorang yang patriotik dan sejak layak untuk mengundi saya sudah mendaftar iaitu pertama kali pada tahun 2008.
"Biarpun ketika itu saya sibuk dengan penggambaran dan kerja namun saya sempat meluangkan masa. Ketika itu peti undian sudah mahu ditutup tapi alhamdulillah sempat juga akhirnya," katanya.
Zed turut menyeru agar ramai artis yang sedar tentang kepentingan mengundi yang bukan sahaja menentukan pemerintahan negara malah membentuk suasana industri hiburan tanah air.
"Saya tahu ramai artis muda yang tidak ambil peduli dengan hal ini, saya harap mereka sedar tentang mengundi dan kepentingan untuk industri kita," katanya.
Pada PRU13 ini Zed akan mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang bagi Parlimen Gombak.
Intan Ladyana
Sementara itu, bagi Intan Ladyana, 30, pilihan raya kali ini merupakan kali pertama dia akan menjalankan tanggungjawab untuk mengundi.
"Sebelum ini saya tidak sempat untuk mengundi kerana berada di luar kawasan, insya-Allah kali ini jika tiada apa-apa halangan saya akan keluar membuang undi.
"Saya akan mengundi di kawasan Parlimen, Ampang. Sebagai artis saya tidak menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti kerana tidak mahu ada peminat yang berkecil hati," katanya.
Neelofa
Bagi Pelakon dan pengacara Neelofa kesedaran dalam diri sendiri perlu ada untuk memilih pemerintah yang sesuai bagi negara ini.
Neelofa, 24, berkata mungkin kerana memulakan kerjaya dalam usia muda membuatkan dia sedar bagaimana negara ini dicorakkan mengikut pemerintahan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
"Saya akan mengundi di Parlimen Pasir Mas, Kelantan. Ini merupakan kali pertama saya mengundi dan saya anggap ia penting bagi membentuk negara seterusnya kepada industri seni kita sendiri," katanya.
Ainul Aishah
Sementara itu, pelakon Ainul Aishah, 28, teruja untuk mengundi pada PRU13 kali ini.
Dia yang juga penyokong kuat Umno ini mengakui akan membantu kempen pada pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.
"Ini merupakan kali kedua saya mengundi untuk DUN Bangi. Pada saya untuk kali ini lebih hangat berbanding pilihan raya lalu.
"Ini tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia, tidak kira siapa pun kita, kita perlu tunaikan kewajipan itu," katanya.
Khir Rahman
Pelakon dan pengarah, Khir Rahman berkata, adalah penting rakyat mendapat info yang tepat mengenai calon-calon mereka sebelum membuang undi.
Ini kerana pengundi yang bakal membuat keputusan dan menerusi keputusan itu ia akan memberi impak dan perubahan kepada negara.
Bakal mengundi buat kali ketiga di Parlimen Titiwangsa, Khir berkata mengundi adalah satu tanggungjawab besar dan ia perlu dilunaskan dengan sebaik mungkin.
"Saya tiada sebarang pengalaman tertentu tetapi kali pertama mengundi rasa berdebar kerana sedar satu undi yang dibuat dapat mengubah sesuatu keputusan.
"Mengundi adalah satu tanggungjawab yang besar," jelasnya.
Dina Nadzir
Sementara itu, penyampai radio Era FM, Dina Nazir, 28, yang bakal mengundi buat kali kedua di kampung halamannya di Parlimen Johor Bahru berkata, dia berasa gemuruh apabila pertama kali membuang undi pada PRU lalu.
Bagaimanapun kata Dina, dia berbangga kerana telah melunaskan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia dan tidak sabar untuk mengundi pada PRU kali ini.
Hairie Othman
Pelakon Hairie Othman, 42, yang juga penyokong kuat PAS menganggap pilihan raya kali ini bakal menyaksikan perubahan daripada golongan muda dan semangat mereka untuk mengambil berat tentang pilihan raya.
Bakal mengundi buat pertama kali di Parlimen Pandan, Hairie memberitahu dia tidak berasa gemuruh sebaliknya ingin melihat senario pada hari membuang undi.
"Saya kagum dengan pengundi hari ini terutamanya golongan muda yang ramai akan memberi sokongan dalam PRU13," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: