Thursday, April 4, 2013

'Kisah Sensasi Saya Adalah Satu Sedekah' - Raja Azmi

Raja Azmi mahu kisah hidupnya menjadi tauladan kepada masyarakat.
KUALA LUMPUR: Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman menganggap segala paparan dan kisah kontroversi yang dihadapinya dan didedahkan oleh media sebagai satu ‘sedekah’ untuk dijadikan pengajaran kepada semua pihak.
Katanya, masyarakat boleh mengambil contoh dalam setiap kontroversi yang dilaluinya supaya orang ramai tidak melakukan kesilapan dalam hidup seperti mana yang telah dilakukannya.
"Cerita buruk tentang saya diharap dapat dijadikan tauladan oleh masyarakat supaya tidak melakukan kesilapan sama dan perkara yang baik dapat dijadikan contoh," ujarnya kepada mStar Online.
Raja Azmi, 54, yang bergelar janda sejak 10 bulan lalu bercerai talak satu dengan bekas jaguh badminton negara Jalani Sidek pada 27 Jun 2012 selepas 28 tahun berkahwin.
Dalam pada itu, Raja Azmi mengakui lupa diri apabila mengambil keputusan untuk bercinta dengan seorang pemuzik berusia 27 tahun yang dikenali sebagai Hafiz.
Jelasnya, sepanjang sebulan hubungan itu berlangsung dia terbuai dengan rasa cinta yang pada hakikatnya tidak pernah wujud.
"Saya sebenarnya sunyi selepas bercerai dengan bekas suami dan sebulan percintaan saya dengan pemuda itu saya akui agak lupa diri dengan cinta orang muda," jelasnya.
Bagaimanapun kata Raja Azmi, beliau tidak pernah serik untuk mencari cinta lagi namun tidak akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya.
"Selepas ini saya akan mencari pasangan yang seusia atau pun jarak umur yang tidak jauh daripada saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Raja Azmi memberitahu dia kini dalam proses pra produksi filem terbaharunya berjudul Anak Ikan yang bakal menjalani penggambaran pada Mei depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment