Pakar geologi dan pihak berkuasa di selatan Peru sedang mengusahakan satu bentuk pelan untuk mengubah kawasan penemuan fosil ikan paus kepada taman paleontologi bagi mengekalkan sejarah serta menarik pelancong.

DI ATAS hamparan tanah kering berpasir selatan Peru, ahli geologi berjuang dengan masa dan unsur semula jadi untuk memulihara sebuah penemuan bernilai iaitu tanah persemadian paus yang berusia berjuta-juta tahun.
Tinggalan fosil yang dipercayai milik kira-kira 15 ekor mamalia laut yang pernah hidup antara tiga hingga 20 juta tahun lalu kini menjadi tumpuan di gurun Ocucaje, kira-kira 310 kilometer di selatan ibu negeri Peru, Lima.
Suatu masa dahulu, kawasan tersebut pernah tenggelam di bawah paras laut tetapi kini sudahpun berada sejauh kira-kira 30 kilometer dari pantai. Di kawasan yang sama juga pernah berlaku letusan gunung berapi lantas membunuh semua jenis kehidupan.
Laporan kajian itu adalah daripada pakar-pakar geologi dan institut perlombongan Ingemmet yang sudah menjalankan kajian selama empat tahun di tapak itu. Kini, tapak berkenaan berhadapan dengan ancaman hakisan.
"Angin kencang sepanjang tahun di kawasan ini adalah antara musuh yang paling buruk kepada fosil-fosil ini,", kata Cesar Chacaltana, yang mengetuai pasukannya semasa lawatan ke tapak seluas 45 kilometer persegi itu.
Teknologi tinggi

Kini, rancangannya adalah untuk mewujudkan sebuah taman paleontologi yang akan melibatkan penemuan baharu di sepanjang kawasan hakisan itu. Menurut Chacaltana, terdapat kemungkinan besar kawasan itu menyembunyikan lebih banyak fosil.
"Usaha ekskavasi dan pemindahan memerlukan peralatan berteknologi tinggi.
"Bangkai-bangkai fosil tersebut terpelihara dengan baik kerana tahap oksigen yang rendah dalam substrat selama ini, sekali gus melambatkan pereputan yang disebabkan oleh bakteria," ujarnya.
Kerja ekskavasi setakat ini memperlihatkan keputusan yang memberangsangkan.

Pada Februari lalu, sekumpulan pakar berjaya menempatkan semula sisa paus minke yang dipercayai berusia 3.6 juta tahun.
Dengan bantuan peralatan seperti berus dan pahat, di sebalik persekitaran yang panas, mereka menemui kepala haiwan itu yang mencecah 1.8 meter di atas batu.
"Ia adalah spesies yang hanya terdapat di Peru," kata Chacaltana sambil meletakkan anggaran berat paus itu kira-kira 500 kilogram dan bersaiz enam meter panjang.
Tambahnya, spesimen tersebut dilindungi supaya tidak terdedah kepada sebarang kerosakan. Ia akan dipindahkan kepada pihak majlis perbandaran tempatan Ocucaje sementara kerja-kerja pencarian sisa selebihnya diteruskan.
Pemangsa marin

Chacaltana mengimbas bagaimana pada tahun 2008 penyelidik menemui peninggalan paus sperma (Livyatan melvillei) yang berusia 12 juta tahun. Haiwan itu dipercayai berukuran antara 16 hingga 20 meter panjang.
"Paus sperma ialah haiwan pemangsa marin prasejarah yang mempunyai kira-kira 70 batang gigi dan setiap satunya berukuran 36 sentimeter panjang. Mangsanya ialah paus minke yang ke teluk untuk mengawan," katanya.
Peninggalan sisa tengkorak, rahang dan gigi haiwan, yang kesemuanya mencapai berat lebih satu tan itu sedang dipamerkan di muzium sejarah semula jadi di Universiti Kebangsaan San Marcos di Lima.
Sedekad yang lalu, Chacaltana pernah menemui tulang rahang dan tengkorak ikan yu gergasi sepanjang tiga meter yang dianggap sebagai pemangsa besar. Ia tinggal di luar pantai Peru.
Ketua Ingemmet, Susana Vilca memberitahu bahawa agensi kerajaan sedang mengadakan penyelarasan dengan Mayor Ocucaje, Paul Albites untuk membangunkan satu draf cadangan yang akan dibentangkan kepada Kongres.
Sebagai tambahan, beliau memberitahu, empat pakar sedang bekerja di atas peta geologi yang merangkumi kawasan seluas 370 kilometer persegi di atas gurun Ocucaje.
Antara lain, usaha itu adalah untuk memperjelaskan lokasi fosil dan kawasan-kawasan yang selamat untuk orang ramai berjalan, ujar Chacaltana.
Dalam usaha menarik kedatangan pelancong, Albites mengumumkan rancangannya untuk mengubah bandar yang didiami seramai 5,000 orang itu menjadi sebuah muzium terbuka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: