BAYANGKAN berbuka puasa tanpa azan. Pasti pilu, sedih dan sukar untuk diterima kerana suasana itu sudah sebati dengan kehidupan di negara ini.
Namun bagi rakyat Malaysia di luar negara khususnya di negara di mana Islam bukan agama rasmi, berbuka puasa tanpa kedengaran laungan azan sama ada daripada corong pembesar suara masjid dan televisyen merupakan antara pengorbanan dan kesedihan yang terpaksa dilalui.
Rakyat Malaysia di Ottawa, Kanada tidak terkecuali. Malah, tanpa kedengaran azan menyebabkan kerinduan kepada saat berbuka puasa di negara sendiri meluap-luap meskipun telah melalui pengalaman itu bertahun-tahun.
Rozalah Hashim, 56, yang berpeluang bertugas di beberapa negara seperti Sweden, Poland dan terkini Kanada sejak berkhidmat dengan Kementerian Luar pada 1981 mengakui sukar untuk melupakan pengalaman itu.
''Di mana pun berada, kita tetap menjalani ibadah puasa apabila tiba Ramadan tetapi sudah tentu suasananya sangat berbeza berbanding negara sendiri.
''Di negara sendiri sangat seronok kerana apabila tiba bulan Ramadan, semua orang menunggu di depan televisyen atau radio untuk mengetahui tarikh penetapan hari mulai berpuasa.
''Di luar negara, untuk mengetahui tarikh berpuasa kita terpaksa menelefon masjid di mana kita selalu menunaikan ibadah. Kadang-kadang setiap masjid berbeza tarikh mula puasa,'' jelasnya yang kini bertugas sebagai Setiausaha Kedua di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Ottawa, Kanada.
Bercerita pengalaman berpuasa di Ottawa, Rozalah menjelaskan, tahun ini merupakan puasa paling panjang kerana musim panas.
''Semasa saya sampai pada 2007, Ramadan jatuh pada Oktober iaitu musim sejuk di mana siangnya bermula pukul 5.45 pagi hingga 6.24 petang, hampir 13 jam.
''Tahun ini pula dari 3.49 pagi (subuh) hingga 8.44 malam kira-kira 17 jam. Menambah kepada cabaran itu, musim panas di kali ini sangat panas dengan suhu antara 30 hingga 38 darjah celsius'' katanya.
Tambahnya, bagi menghilangkan kerinduan dan menghidupkan suasana Ramadan, rakyat Malaysia akan mengadakan perjumpaan hujung minggu untuk berbuka puasa dan mengadakan aktiviti keagamaan bersama.
''Makanan kita masak sendiri kerana bahan mentah mudah diperolehi daripada kedai warga Vietnam dan Thailand.
''Cuma satu kekurangan, di sini sukar untuk mendapatkan daun kunyit dan bunga kantan. Jadi, kalau masak rendang, rasanya ada kurang sedikit sebab tidak ada daun kunyit,'' ujarnya.
Sementara itu pelajar Carleton University Ottawa, Izdihar Afiqah Jamaludin, 22, berkata, Ramadan berjaya menyatukan rakyat Malaysia dan negara lain.
''Setiap kali Ramadan saya akan terkenangkan kuih muih di Bazar Ramadan Bandar Baru Selayang. Di sini satu hari, satu kuih sahaja. Di sana kita boleh pilih bermacam- macam kuih,'' katanya yang berasal dari Selayang, Selangor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: