Faezah Elai - Foto SAFWAN MANSOR
NAMA Faezah Elai atau Noor Faezah Md Elai bukan lagi asing dalam industri seni tanah air.
Walaupun kini sudah memegang status sebagai isteri kepada pengarah terkenal, Heykal Hanifa, namun pesona dirinya tidak pernah hilang.
Ternyata bakat dan kebolehannya menjayakan watak yang diberikan kepadanya mencuri hati penonton. Justeru, tidak hairanlah sehingga kini wajahnya sering menghiasi drama-drama di kaca televisyen.
Bagaimanapun, kehadiran Ramadan tahun ini sedikit sebanyak telah mengubah aktiviti lakonannya, di mana Faezah tidak menjalani sebarang penggambaran sepanjang bulan ini semata-mata mahu fokus terhadap rumah tangga yang masih baru terbina.
Menurut wanita kelahiran Pulau Pinang ini, tahun ini merupakan detik pertama, dirinya menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal tiba sebagai seorang isteri.
"Saya cukup teruja kerana ini adalah tahun pertama saya bersama Heykal. Saya mahu manfaatkan masa yang ada di bulan puasa ini dengan menjalani tanggungjawab sebagai seorang isteri.
"Pada masa yang sama saya cuba untuk belajar masak dengan menyediakan juadah buka puasa kerana Heykal lebih gemar berbuka di rumah," katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa Astro di Hotel Royal Bintang, Damansara.
Pilih tema 'dark brown'
MENYENTUH tentang sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, aktres berketurunan Punjabi dan Thailand ini mengatakan, dia dan suami telah membuat segala persiapan awal bagi
menyambut hari lebaran itu.
Menurutnya, sambutan hari raya tahun ini agak berbeza dengan tahun sebelumnya memandangkan setiap persiapan dilakukan bersama suami tercinta.
"Sebelum ini saya tidak perlu memikirkan tema warna untuk pakaian hari raya, tetapi untuk tahun ini saya agak teruja untuk melakukannya kerana mahu tampil sedondon bersama Heykal.
"Bagi tema tahun ini Heykal memilih warna 'dark brown' dan kami masih mencari pakaian yang bersesuaian," katanya.
Tambahnya, tahun ini Faezah akan mula beraya di rumah mertuanya di Kulim, Kedah dan selepas itu giliran rumah ibu bapanya di Pulau Pinang.
"Mujurlah kampung kami tidak begitu jauh dan tidak makan masa yang lama. Harap semua yang dirancang dapat berjalan dengan baik," katanya yang akan bercuti raya selama seminggu.
Percaya pada bakat
BERCERITA mengenai kariernya sebagai seorang pelakon, Faezah mengatakan dirinya baru sahaja selesai daripada menjalani penggambaran filem Tanda Putera dan KL Zombi.
Selain itu, pelakon berumur 30 tahun ini mengakui dirinya tidak pernah menganggap pendatang baru dalam industri lakonan yang semakin bertambah sebagai persaingan.
Baginya, kehidupan seseorang yang hanya memikirkan untuk bersaing di antara satu sama lain adalah tidak normal.
"Saya tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan mana-mana pelakon kerana saya percaya bakat yang saya ada sudah cukup membuatkan diri saya terus kekal dalam industri ini.
"Rezeki ada di mana-mana dan apa yang penting seseorang itu perlulah berusaha untuk mendapatkannya," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: