Monday, August 6, 2012

Rejim bersih Henry Golding


PANDANGAN Henry terhadap rejim kebersihan wajah bagi lelaki kini telah berubah.


BERGELAR pengacara rancangan yang banyak melibatkan penggambaran luar membuatkan Henry Golding, 25, bimbang terhadap keadaan kulit wajahnya.

Ditambahkan dengan sifat diri yang aktif melakukan aktiviti di bawah cuaca panas di benua ini, Henry tidak dapat lari daripada masalah kulit berminyak. Hal itu turut membelenggu majoriti lelaki.

Saat dirapati Dashing bagi menjadi wajah baharu rangkaian penjagaan wajah Dashing for Men, Henry tidak menyangka ia mampu mengubah perspektifnya terhadap penjagaan kulit.

"Secara jujur saya seorang lelaki yang malas apabila melibatkan hal-hal kecantikan. Namun, selepas mencuba pembersih dan pelembap wajah Dashing for Men, tekstur kulit saya semakin baik dan kurang berminyak.

"Tugasan yang menuntut saya berjalan jauh juga tidak menyukarkan saya untuk menjaga kebersihan wajah. Dua minit yang ringkas cukup mengekalkan kesegaran kulit untuk tempoh 24 jam," tutur Henry yang telah mengenali jenama itu sejak kecil lagi.

Stereotaip bahawa pelembap wajah hanya digunakan wanita juga pada awalnya menimbulkan keraguan pada Henry. Selepas mencuba produk itu, dia terus merasakan pelembap amat penting sebagai pelengkap pembersih wajah.

Selain sibuk dengan penggambaran bagi program jelajah amal Asia Tenggara untuk National Geographic, jejaka kacukan Inggeris dan Iban itu juga bakal menjadi salah seorang pengacara untuk acara tahunan 8TV, Shout Awards yang dijangka menemui penonton menjelang November depan.

Apabila ditanya tentang lima perkataan yang menggambarkan dirinya, Henry secara terus mengatakan beliau seorang yang yakin diri, aktif, mudah didekati, bersifat ingin tahu dan mahu menjadi contoh kepada orang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: