|
AIDILFITRI tahun ini merupakan kali pertama, Raja Azmi Raja Sulaiman menyambutnya tanpa suami tercinta, Jalani Sidek selepas melayari bahtera perkahwinan selama 28 tahun. Mereka telah bercerai lebih sebulan lalu.
Disebabkan penceraian itu atas kehendak mereka sendiri, dia reda dan meneruskan kehidupan dengan membawa tiga anaknya dan seorang cucunya pulang ke kampung asalnya di Taiping, Perak menyambut hari raya pada tahun ini.
Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18, serta cucunya, Muhammad Akid Muhammad Shadan, 1, akan mengikutnya pulang ke Taiping selepas lebih 20 tahun dia tidak menjejakkan kaki ke kampung halamannya itu.
Bukan disebabkan lupa daratan atau ada alasan lain, tetapi kerana kedua-dua orang tuanya sudah berhijrah ke Kuala Lumpur dan kebiasaannya rumahnya di Ukay Perdana menjadi tempat berhimpun enam adik-beradiknya termasuklah ibunya sendiri.
“Megat Deli terutamanya tidak pernah kenal rumah tempat saya membesar, sekolah tempat saya belajar dan sebagainya.
“Lagipun saya sudah tiada suami, inilah masa kami balik kampung bersama keluarga belah saya pula,” ujarnya ketika ditemui di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, seminggu sebelum Aidilfitri menjelma.
Penerbit filem ...Dalam Botol itu juga memberitahu, sebelum ini ketika masih bersama Jalani, mereka sekeluarga akan pulang ke kampung bekas suaminya itu di Banting, Selangor.
“Dulu kami bukan macam suami isteri lain yang selalu nak berebut balik kampung, saya tidak kisah tiap-tiap tahun balik Banting. Disebabkan itulah lama saya sudah tidak balik Taiping,” ujarnya.
Mengenai pertama kali beraya tanpa suami, wanita itu mengaku dia berasa sedih kerana tidak dapat mencium tangan suami seperti kebiasaan pada pagi Aidilfitri.
Bagaimanapun, dia perlu reda kerana penceraian itu adalah kehendak mereka sendiri.
Baginya, penceraian itu adalah rancangan sendiri, dan Tuhan telah menerima rancangan tersebut disebabkan itu dia akan menghadapi segala dugaan dalam mengharungi hidup berseorangan dengan cekal.
Mahu bercinta lagi
Sungguhpun sudah tiada apa-apa hubungan lagi dengan Jalani, selain beliau bapa kepada anak-anaknya, Raja Azmi tidak menolak kemungkinan jika bertemu jodoh kembali dengan bekas suaminya itu.
Baginya, perkara itu tidak mustahil berlaku dan dia akan menerima jodoh itu jika Tuhan menemukan dan menunjukkan jalan untuk kembali kepada bekas suaminya itu.
“Kalau Tuhan mahu buka hati kami dengan terbitkan cinta baharu seperti mula-mula kenal dahulu siapa tahu. Saya terima semua itu, tetapi buat masa sekarang kami bawa haluan sendiri,” katanya yang kini lebih selesa bersama anak-anak dan seorang cucunya itu.
Raja Azmi menambah, buat masa sekarang, tidak merancang untuk bercinta dengan sesiapa dan mahu perasaan cinta itu berlaku dengan semula jadi.
“Saya tidak akan berusaha untuk buat sesiapa pun suka atau cintakan saya. Biar ia berlaku sendiri, kalau kita rancang nanti kecewa pula, sesiapa pun mahu bercinta lagi,” ujarnya.
Raja Azmi juga mendedahkan dirinya kini rapat dengan beberapa kawan lamanya yang telah bergelar duda dan seorang berpangkat Tan Sri.
Katanya, setelah mereka mengetahui dirinya tidak lagi bergelar isteri kepada Jalani, beberapa kenalan itu menghubunginya kembali untuk bertemu dan berkawan.
“Dulu mereka mahu berkawan, tetapi mungkin segan sebab saya isteri tetapi orang, lepas bercerai, mungkin baru ada kesempatan untuk ajak saya keluar,” ujarnya.
Mengenai gosip yang mengatakan dia menjalinkan hubungan dengan seseorang berpangkat Tan Sri, dia menjelaskan: “Memang ada, tetapi kami tidak bercinta. Hubungan kami hanya rapat.
“Lagipun saya masih dalam edah lagi, saya cakap selepas habis edah baru nak fikir hubungan untuk lebih serius atau hanya untuk kawan biasa.”
Sibuk
Walaupun mengakui dirinya sunyi tanpa suami, Raja Azmi bijak membuat perancangan untuk membina kembali namanya dalam industri seni supaya dirinya kembali sibuk dan tidak terlalu memikirkan soal diri.
Terbaharu, dia sedang dalam perancangan dengan sebuah stesen televisyen untuk mengacarakan sebuah program bual biacaranya sendiri.
“Selain merupakan program bual bicara, saya akan menjemput orang kenamaan untuk memasak supaya orang ramai tahu, selain melihat mereka bersama rakyat, sebenarnya mereka pandai memasak,” ujarnya.
Selain itu, dia turut merancang untuk menerbitkan telefilem dan drama di bawah syarikatnya sendiri, Akib Production.
Dalam masa yang sama, dia mahu menerbitkan filem mengisahkan adik-beradik Sidek yang telah berjaya mengharumkan negara melalui sukan badminton.
“Saya ingin ketengahkan bagaimana arwah bapa mertua saya mendidik anak-anak mereka menjadi seorang yang baik, bijak, bersopan dan berdisiplin sehingga boleh menjadi jaguh yang dikenali dunia,” katanya.
Raja Azmi turut mempunyai impian untuk menerbitkan filem yang berkisar soal nabi-nabi bagi memberi pengajaran dan mendidik penonton tentang nilai yang baik.
Bagaimanapun, dia tidak bercadang untuk membikin filem dalam masa terdekat kerana terlalu banyak filem yang masih menunggu untuk ditayangkan.
Dia sesungguhnya mahu menunggu masa yang baik dan sesuai untuk produknya sendiri.
Tidak kisah ibu ada kekasih
Sementara itu, anak sulung Raja Azmi, Puteri Suraya memberitahu, walaupun ibu bapanya kini sudah tidak tinggal sebumbung, tetapi hubungan mereka dengan bapa masih seperti dahulu.
“Kami semua tinggal dengan mama, papa (Jalani) pula selalu datang rumah sebab dia rapat dengan anak saya.
“Sebenarnya kami tidak ada masalah dengan perpisahan itu sebab bezanya hanya mereka tidak tinggal sebumbung, yang lain masih sama,” jelasnya.
Dia yang kini mengandung lima bulan juga berkata, mereka adik-beradik juga tidak kisah sama ada ibu kesayangannya itu bakal mempunyai kekasih baharu bagi menggantikan bapanya itu.
“Walaupun banyak gosip mengatakan mama ada kekasih baru dan sebagainya, jika itu membuatkan mama gembira kami juga gembira, tetapi jika ada gosip mama akan jelaskan kepada kami supaya kami faham,” ujarnya yang gembira kerana papanya masih tinggal berdekatan dengan kediaman mereka.
Puteri Suraya juga menambah, adik-beradiknya yang lain sudah sepakat mahu melihat mamanya itu gembira walau dengan siapa dia berkawan.
“Sama ada mama atau papa, kami tidak kisah jika mereka sudah berjumpa jodoh baharu. Kami akan gembira jika mereka juga gembira,” katanya.
Dia memberitahu, Jalani masih berbuka puasa dan datang bertanya khabar mereka sekeluarga dan yakin buat masa ini bapanya itu masih belum mempunyai kekasih hati.
Raja Azmi ni memang comel. Suka tengok muka dia.
ReplyDelete