Sunday, August 26, 2012

Pertahan tradisi

JIWA MUDA...ahli ‘senior’ Persatuan Gasing Tradisional Bukit Kapar mahu tarik minat lebih ramai generasi muda.
JIWA MUDA...ahli ‘senior’ Persatuan Gasing Tradisional Bukit Kapar mahu tarik minat lebih ramai generasi muda.

“JANGAN mengaku anak jati Bukit Kapar jika tidak tahu bermain gasing.” Mengejutkan, tetapi inilah hakikat betapa besarnya pengaruh permainan gasing tradisional di Bukit Kapar, Klang, Selangor.

Berbanding sesetengah kelab atau persatuan sukan tradisional, termasuk gasing di negeri atau daerah lain yang boleh diibaratkan ‘hidup segan mati tak mahu’, warisan seni gasing tradisional Melayu di Bukit Kapar kekal utuh menongkah arus kemodenan.

  • Foto

    FAEDAH...Mohd Idrus Mohd Sharip menunjukkan kehebatannya.

  • Foto

    BERBAKAT...Mohamed Zajali Saring mempunyai kemahiran membuat gasing.

  • Foto

    TRADISI...permainan gasing tradisional seni warisan Melayu.

  • Foto

  • Foto

    TRADISI...Muhamat Mustakim Abullah.

Lebih membanggakan, penggiat sukan tradisional Bukit Kapar bukan saja mampu mempertahankan tradisi itu, malah berjaya menanam minat di kalangan generasi muda, sekali gus memastikan ia kekal diwarisi.

Bagi Pengerusi Persatuan Gasing Pangkah Tradisi Kampung Bukit Kapar, Muhamat Mustakim Abullah, 64, gasing tradisional adalah sukan tradisi Melayu yang setaraf dengan seni warisan Melayu lain seperti silat.


Katanya, di kalangan peminat gasing tradisional di Malaysia, Bukit Kapar dikenali antara daerah paling aktif menjalankan aktiviti ini, termasuk dalam penganjuran pertandingan sehingga ke peringkat negeri.


“Saya akui bukan mudah menjalankan tanggungjawab untuk memastikan Bukit Kapar terus terkenal sebagai daerah ‘gasing’ dengan setiap penduduknya tahu sekurang-kurangnya asas permainan tradisional ini.

“Kejayaan ini tidak mungkin dicapai atas usaha individu semata-mata, sebaliknya setiap ahli persatuan, termasuk penduduk, menyumbang keringat masing-masing.

“Persefahaman ini mudah dicapai kerana kami semua berkongsi matlamat iaitu memastikan permainan tradisional Melayu ini terus ‘hidup’,” katanya
Memiliki pengalaman bermain gasing tradisional lebih 40 tahun, Muhamat berkata, gasing dimainkan dengan dua cara iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri.

Katanya, gasing pangkah dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan, manakala gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berputar.

Katanya, gasing tradisional berbeza daripada gasing pinang yang hanya dimainkan oleh kanak-kanak dan dibuat menggunakan pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya sebelum dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya lalu dicucuk lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu.

“Pertandingan gasing tradisional uri berbeza dengan gasing pangkah kerana permainan gasing uri dimainkan secara individu manakala gasing pangkah secara berkumpulan. Untuk gasing uri, dua pembantu diperlukan iaitu seorang untuk memegang cokok dan seorang lagi memegang lopok.

“Gasing yang berpusing dipindahkan oleh jong (juru) cokok ke atas lopok yang dicacakkan di atas tanah. Gasing yang berpusing paling lama dikira pemenang pertandingan. Biasanya gasing uri berupaya berpusing lebih satu jam,” katanya.

Gasing pangkah pula, Muhamat berkata, dimain­kan secara berkumpulan dengan setiap pasukan membabitkan dua hingga lima orang.

Bagi menentukan pasukan menanti dan pasukan memangkah, peraduan uri diadakan, antara gasing-gasing yang mewakili pasukan yang mengambil bahagian atau berdasarkan lambungan duit syiling.

Katanya, pasukan yang gasingnya paling lama berpusing menjadi pasukan memangkah pertama dan permainan dimulakan dengan pasukan menanti melemparkan gasing mereka ke tengah-tengah bong.

“Kemudian pasukan memangkah pula memangkah gasing mereka. Tiap-tiap gasing pasukan memangkah mesti mengetuk satu gasing pasukan menanti. Tujuannya ialah sama ada memecahkan gasing lawan atau sekurang-kurangnya menjejaskan keseimbangan pergerakannya supaya cepat berhenti berpusing.

“Dalam perlawanan gasing ini, setiap pasukan mempunyai jong cokok. Selesai pemangkahan, gasing di dalam bong itu dicokokkan dan dipindahkan ke atas lopok, seperti dalam pertandingan gasing uri. Jika satu gasing pihak menanti berpusing lebih lama, pihak itu tidak diberi markah tetapi ditukarkan menjadi pemangkah. Pasukan yang memangkah tadi kini menjadi pasukan menanti pula,” katanya.

Ahli Persatuan Gasing Pangkah Tradisi Kampung Bukit Kapar, Mohd Idrus Mohd Sharip, 54, berkata permainan gasing tradisional mempunyai faedah selain sebagai pengisi masa lapang.

“Sukan ini boleh membantu menajamkan pemikiran dan fokus seseorang itu kerana setiap pergerakan perlu diawasi untuk mendapatkan balingan tepat dan kuat.

“Saya gembira kerana kebanyakan remaja di kalangan anak penduduk di sini tertarik dengan sukan ini selepas mencubanya untuk kali pertama.

“Selain itu, permainan ini boleh dijadikan hobi berfaedah daripada melakukan perkara tidak baik dan membuang masa,” katanya.

Manakala tiga lagi ahli persatuan itu, Mohamed Zajali Saring, Dzulkifli Mokhtar dan Zulkarnain Masdar, masing-masing berusia 46 tahun, mereka menaruh harapan gasing tradisional disenaraikan sebagai acara dalam Sukan Malaysia (Sukma) kerana selain mencabar, ia langkah terbaik untuk memastikan permainan ini dikenali generasi muda seluruh negara sebagai satu seni warisan Melayu.


>Fakta

> Gasing adalah sejenis permainan yang alatnya boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing adalah permainan tradisional orang Melayu dan biasanya dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing dipertandingkan antara kampung dan pemenang ditentukan berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.

> Gasing biasanya dibuat daripada kayu pokok spesies merbau, umpamanya merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah kerana ia mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu, kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat gasing.

> Tali gasing dibuat daripada kulit pokok bebaru. Namun sekarang tali gasing dibuat daripad nilon. Panjang tali gasing bergantung kepada panjang tangan seseorang, biasanya satu meter panjang. Minyak kelapa digunakan untuk melicinkan pergerakan tali gasing.


>Info

Ada lebih 20 jenis gasing dan kebanyakannya memiliki persamaan tetapi dipanggil dengan nama berbeza mengikut negeri atau daerah ia dimainkan seperti gasing toyol, begelen, berembang, buku benang, jantung, kelamar, kepala duri, kuno, lang laut, leper, leper Kelantan, pacitan, pangkah, piring, pinang, tanjung, telor, Cina, Melayu dan uri.

Namun tiga jenis gasing paling dikenali ialah gasing tradisional, kebangsaan dan uri Kelantan. Kaedah bermain gasing dulu dan sekarang tidak banyak berbeza. Sebelum 1970, permainan gasing di Malaysia tidak teratur dan berlainan antara satu daerah dengan daerah lain.

Pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan gasing membezakan sifat gasing dan membentuk sistem permainan yang turut berbeza. Dalam permainan gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat, menegak dan membela uri gasing.


>Profil

NAMA: Muhamat Mustakim Abullah
UMUR: 64 tahun
ASAL: Bukit Kapar, Meru
ANAK: Enam orang
KARIER: Pesara syarikat swasta
JAWATAN: Pengerusi Persatuan Gasing Pangkah Tradisi Kampung Bukit Kapar, Klang, Selangor
PENGALAMAN BERMAIN GASING: 40 tahun


>Profil

NAMA: Mohd Idrus Mohd Sharip
UMUR: 54 tahun
ASAL: Bukit Kapar, Meru
ANAK: Empat orang
KARIER: Bekerja sendiri
PENGALAMAN BERMAIN GASING: 43 tahun


>Profil

NAMA: Dzulkifli Mokhtar
UMUR: 46 tahun
ASAL: Bukit Kapar, Meru
ANAK: Lima orang
KARIER: Penternak
PENGALAMAN BERMAIN GASING: 20 tahun


>Profil

NAMA: Zulkarnain Masdar
UMUR: 46 tahun
ASAL: Bukit Kapar, Meru
ANAK: Empat orang
KARIER: Pengusaha kedai makan
PENGALAMAN BERMAIN GASING: 30 tahun


>Profil

NAMA: Mohamed Zajali Saring
UMUR: 46 tahun
ASAL: Banting, Selangor
ANAK: Tiga orang
KARIER: Pembuat gasing tradisional dan barangan besi serta tembaga
PENGALAMAN BERMAIN GASING: Tiga tahun

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: