SIAPA yang tidak kenal dengan minuman berkarbonat Coca-Cola. Dalam bulan Ramadan ini, pasti ada yang terbayang-bayang kesegaran saat airnya mengalir di tekak.
Jenama minuman ringan terkenal di seluruh dunia yang mula dikeluarkan pada 1886 itu amat digemari ramai, namun tidak ramai yang terfikir untuk mengumpul tin atau botolnya.
Berbeza dengan anak muda kelahiran Ipoh, Perak ini. Baginya, tin atau botol yang sering dibuang mahupun dikitar semula selepas habis airnya amat berharga malah lebih berharga daripada air yang diteguk.
Sanggup berbelanja sehingga mencecah ratusan ringgit, cerita Mior Saiful Azlan Mior Puzi, tin dan botol minuman ringan terutamanya Coca-Cola amat bernilai baginya kerana ada keunikan serta menyimpan sejarah tersendiri.
Coca-colaMengumpul barangan Coca-Cola sejak mula bekerja sekitar tahun 2000, dia sanggup membina rak khas bagi menempatkan koleksinya itu bersama barangan antik lain.
"Kalau diperhatikan betul-betul, rekaan botol Coca-Cola berubah setiap tahun malah edisi khas turut dikeluarkan antaranya sempena sesebuah filem.
"Selain keunikan rekaannya, saya mengagumi Coca-Cola kerana keutuhan jenama tersebut mengharungi pasaran sehingga beratus tahun. Nilai bekas air bergas ini turut meningkat mengikut tahun keluarannya serta rekaan tin atau botol yang sukar didapati tetapi tidak ramai mengetahui harganya," ujarnya yang mesra dipanggil Epoi.
Koleksi paling disayanginya adalah tin Coca-Cola berwarna kuning yang tertera gambar watak kartun Winnie The Pooh yang dibeli oleh abangnya di Jepun.
Cerita Epoi, dia pernah mendapatkan sebiji botol Coca-Cola keluaran 1950-an dengan harga RM150 sahaja walhal harga sebenarnya mampu mencecah hingga RM600.
Antara lokasi pemburuan Epol adalah di pasar Loken, Ipoh. Dia turut mendapatkan tin edisi khas keluaran luar negara seperti yang tertera gambar Harry Potter di Isetan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
"Setakat ini saya belum pernah menjual koleksi saya ini. Memang saya tidak ada niat menjualnya pun. Mungkin sekadar bertukar-tukar koleksi bersama rakan-rakan sehobi," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: