Monday, August 27, 2012

Misi ke Singamata

Penghargaan: Gambar oleh koleksi pelajar fotografi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

BERADA di pantai dengan pasirnya yang putih sambil dipukul ombak kebiruan sememangnya menjadi idaman setiap daripada kamu.

Minggu ini, kami bertemu dengan salah seorang pembaca .com, Nor Hafizah Abd Razak, 22, untuk mengetahui pengalamannya ke Pulau Singamata, Sabah untuk dicoret ceritanya di ruangan ini.

Banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi sepanjang perjalanan untuk ke Singamata yang menambah keseronokan pada percutian kamu. Ikuti kisah percutian beliau:

Perjalanan bermula dengan menaiki kapal terbang dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu yang mengambil masa lebih kurang dua setengah jam.

Ketika itu, jam di tangan menunjukkan pukul 7 malam dan kami memilih untuk menginap di Hotel AKinabalu kerana ia berdekatan dengan pasar Filipina.

Banyak cerita yang kami dengar mengenai pasar Filipina yang terkenal dengan mutiara dan pelbagai lagi kraftangan dari negeri Sabah.

Setibanya di sana, memang rabun mata dibuatnya melihat kilauan setiap mutiara. Penjual di sana memberitahu, ada dua jenis mutiara iaitu dari air masin dan air biasa.

Sudah menjadi kemestian untuk membeli mutiara sebagai buah tangan, tetapi kamu perlu pandai tawar menawar dengan peniaga untuk mendapat harga yang terbaik.

Keesokannya, kami meneruskan perjalanan dan singgah sebentar di Kundasang. Orang kata Kundasang ini sangat sejuk. Sekali lagi, kami menginap di sana untuk membuktikan apa yang di kata.

Memang sejuk berada di Kundasang. Malah, lokasi penginapan kami di Bayu Homestay juga tidak menyediakan sebarang kipas atau penghawa dingin.

Malam di Kundasang, kami melawat pasar malamnya. Istimewanya pasar ini kerana ia berlatar belakangkan Gunung Kinabalu.

Antara jualan yang mendapat sambutan di pasar ini ialah kopi tenom yang dikatakan sangat sedap berbanding kopi lain. Kami beli dan rasanya memang sedap. Rugi kalau tak rasa.

Usai di pasar kundasang, kami bergerak Semporna. Tiba pukul 3 pagi dan terus menginap sebentar di sana sementara menunggu terbit siang.

Sebelum bergerak ke Singamata, kami sempat melihat nelayan menaikkan ikan tuna. Besar dan setinggi setengah badan manusia.

Menurut penduduk tempatan, harga seekor ikan itu mampu mencecah ke RM100 seekor.

Akhirnya, masa yang ditunggu kini tiba. Tepat pukul 8 pagi, kami terus menaiki bot yang disediakan lokasi penginapan untuk terus ke Pulau Singamata.

Sampai sahaja di sana, kami terpukau melihat keindahan pasirnya yang putih dan halus. Air lautnya pula memang biru dan jernih sehingga ke dasar.

Lokasi penginapan kami juga menarik. Ala-ala rumah terapung sebab syalet kami berada di atas air. Memang seronok.

Pemandangan di sini memang menakjubkan. Hidupan lautnya memang cantik. Dek kerana keindahan itu, sampai menyelam lama pun rasa macam sekejap sahaja.

Bagi kamu yang ingin lari dari kesesakan kota tetapi dengan kos bajet, berada di Singamata pasti membuat kamu terbuai dengan pukulan ombak dan deruan angin sambil melihat kehidupan laut yang penuh warna-warni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: