RAYA...Siti Norizan dan suami, Zulkefle bersama anak-anak, Ahmad Muhaimin serta kembar Muhammad Affan dan Muhammad Afnan.
SESIAPA juga pasti teruja melihat keletah si kembar yang sangat menghiburkan hati. Apatah lagi memandang wajah seiras mereka dengan padanan yang sama sekali gus sukar mengenali siapa abang, kakak atau adik.
Selain kegembiraan dikurniakan anak kembar, ramai ibu bapa mengakui persiapan daripada segi mental dan emosi sangat penting bagi memastikan mereka dapat menjaga anak kembar dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersyukur.
Persiapan atau bajet yang perlu dikeluarkan melebihi kebiasaan malah mungkin bertambah menjelang hari raya.
Bagi Ku Irdawaty Ku Yaakob, 33, ibu kepada pasangan kembar, Wan Elly Hakim dan Wan Emmy Hakim Fahrul Hakim, perasaan gembira setiap kali membuat persiapan raya memang ada.Berbeza dengan ibu bapa lain yang memiliki seorang anak, dia perlu memikirkan membeli dua pasang baju sekali gus warna, corak dan potongan sama.
“Inilah cabaran yang terpaksa kami lalui apatah lagi pada usia tiga tahun, kembar sudah pandai memilih pakaian sendiri. Jika berbeza sekali pun, mereka sudah mengenali baju masing-masing. Pernah terjadi saya tertukar baju sesama mereka dan akibatnya mereka langsung tidak mahu memakainya sambil menyatakan itu bukan baju mereka. Apabila baju salah seorang kotor, saya mesti menukar kedua-duanya. Jika tidak salah seorang akan menangis,” katanya ketawa.
Mengenai persediaan raya, setiap tahun dia dan suami menyambutnya secara sederhana. Memikirkan kembar cepat membesar, lebih baik pembelian mengikut bajet yang sudah ditetapkan. Tambahan pula Irdawaty menjalankan perniagaan gaun kanak-kanak menerusi dalam talian jadi tiada masalah kerana dia sendiri menjahit baju raya mereka.
“Raya tahun ini, saya hanya menjahit dua pasang baju untuk mereka dan membeli sepasang kasut. Semua keperluan diuruskan suami kerana suami pandai berjimat cermat. Jadi saya tidak risau terlebih bajet,” ujarnya yang melahirkan kedua-dua kembar menerusi kaedah normal dengan jarak perbezaan seminit saja.
Bergelar suri rumah sepenuh masa, dia mengakui suka memakaikan anak kembar dengan padanan yang sama dan kalau berbeza sekali pun tidak terlalu kontra. Ini kerana kembar kelihatan comel apabila memakai baju sedondon kerana mereka sentiasa berdua ke sana-sini.
“Saya pula tidak menghadapi kesukaran memilih pakaian kembar kerana mereka mempunyai butik pakaian sendiri yang dikenali sebagai Baju Elly Emmy (Facebook Baju-Elly-Emmy). Semua koleksi pakaian kembar dijahit sendiri dan mereka suka memakainya,” ujarnya.
Si kembar lebih suka memakai sandal kerana mudah menyarungkannya dan selesa ketika berjalan. Jenis dan warna kasut untuk mereka juga sama tetapi tidak untuk seisi keluarga yang lain.
Tahun lalu Irdawaty dan suami lebih teruja menyambut Syawal kerana bersamaan dengan sambutan hari jadi ketiga-tiga mereka iaitu pada 19 Ogos.
Tidak dinafikan Elly dan Emmy sering mendapat perhatian tidak kira ketika menziarah rumah saudara-mara atau ke tempat awam. Selalunya kembar akan mendapat duit raya lebih mungkin kerana mereka masih kecil dan orang ramai lebih terdorong bersedekah kepada mereka.
“Pernah suatu hari di sebuah restoran, semasa saya sedang menyuap Elly dan Emmy makan, datang seorang hamba Allah yang tidak dikenali menghulur wang kepada kembar dengan niat bersedekah kerana dia teruja melihat mereka,” katanya.
Sekarang Elly dan Emmy hampir menjangkau usia empat tahun dan mereka semakin menunjukkan sifat saling memerlukan antara satu sama lain.
Contohnya, sekiranya kelibat kakak atau adik tidak kelihatan, mereka akan memanggil sambil menangis sehinggalah salah seorang datang. Begitu juga ketika makan, mereka akan makan bersama.
“Sekiranya salah seorang tidak makan, kembar akan memanggil sehingga muncul dan makan bersama-sama. Mereka juga menunjukkan sikap mengambil berat antara satu sama lain. Contohnya, kembar akan memarahi orang yang mengusik kembarnya atau barang permainan mereka dengan menegaskan suara “jangan kacau kakak” atau “jangan kacau adik”.
“Keletah mereka yang suka bergurau dan bermain bersama, sangat mencuit hati saya. Tambah pula apabila melihat mereka bermain bergilir-gilir menjadi kuda untuk ditunggang diiringi riuh rendah gelak tawa,” kata Irdawaty.
Namun jangan sesekali membiarkan kembar mengamuk terutama apabila tidak mendapat barang yang dihajati. Pernah suatu hari Elly dan Emmy menangis sambil bergolek-golek di lantai pasar raya kerana dia dan suami bertegas tidak mahu membeli barang mainan yang mereka inginkan.
Bagi mengelak kembar meragam bukan saja ketika berhari raya malah berkunjung ke pusat beli-belah, Irdawaty pasti akan menyediakan sebuah beg berisi lampin, tuala, minyak angin, sikat, bedak, losen, baju dan seluar persalinan mereka. Dia juga membekalkan makanan seperti roti dan air mineral supaya mereka tidak lapar atau dahaga ketika dalam perjalanan.
“Selalunya apabila anak-anak kenyang dan selesa, mereka tidak akan meragam sebaliknya akan tidur sepanjang perjalanan. Begitu juga apabila berada di rumah saudara-mara atau rakan-rakan,” ujarnya yang menetap di Putrajaya.
Di musim perayaan ini, Irdawaty menasihati ibu bapa yang mempunyai anak kembar, agar berbelanja mengikut kemampuan supaya membazir. Lebih penting, sumber kewangan dapat digunakan untuk perkara lain misalnya kesihatan dan pendidikan mereka.
Bagi Siti Norizan Ishak, dia tidak menyangka akan mengandung kali ketiga dengan cepat memandangkan dia mengamalkan kaedah pil perancang selepas melahirkan anak kedua, Ahmad Naufal yang kini berusia enam tahun. Mungkin kerana pengambilan yang tidak konsisten, dia mengandung kali ketiga tanpa dirancang.
“Selepas berjumpa doktor pertama dengan jangkaan kandungan berusia 15 minggu mengesahkan saya positif mengandung. Setelah berjumpa doktor kedua untuk membuat imbasan, saya diberitahu kandungan saya kembar lelaki. Memang saya sangat teruja, seakan tidak percaya kerana sebelum ini tiada di kalangan keluarga terdekat mengandungkan anak kembar,” katanya.
Mengandungkan kembar sama saja keadaannya dengan mengandungkan dua anak sebelum ini. Perbezaan ketara cuma apabila kandungan mulai membesar dan sukar tidur malam. Apabila sudah mengiring, memang sukar mengalihkan posisi ke kanan atau kiri.
“Alhamdulillah, saya melalui proses kehamilan yang agak menyenangkan sehinggalah melahirkan Muhammad Affan dan Muhammad Afnan pada 4 Disember 2007 secara normal dengan jarak perbezaan sembilan minit,” jelasnya.
Mengenai persediaan raya, suri rumah sepenuh masa ini memberitahu dia dan suami, Zulkefle Latiff membuat bajet sebelum Ramadan bagi mengelak ketidakcukupan keperluan menjelang lebaran.
“Maklumlah, saya dan suami perlu menyediakan keperluan untuk empat anak lelaki termasuk dua kembar. Kami membeli baju Melayu siap saja malah saya dan suami memastikan semuanya mencukupi sebelum 15 Ramadan termasuk tempahan kuih raya, baju raya anak-anak serta untuk orang tua di kampung dengan anggaran RM2,000,” katanya yang berasal dari Jenjarom, Selangor.
Melihat pasangan kembar lain yang sentiasa sedondon dalam berpakaian, Norizan juga membelikan pakaian sama daripada segi warna, rekaan dan potongan untuk Affan dan Afnan sejak mereka dilahirkan.
“Begitu juga pada hari raya kami sekeluarga memilih untuk berpakaian sedondon. Malah memilih pakaian mereka tidak sukar kerana mereka mengikut saja pilihan saya dan suami. Mungkin kesukaran akan dirasai apabila mereka sudah besar dan pandai membuat pilihan,” ujarnya yang meminta kembar memilih kasut pilihan mereka iaitu daripada jenama yang sama.
Sebagai ibu yang memiliki anak kembar, pasti teruja setiap kali membawa anak-anak menziarahi rumah saudara-mara kerana sering menjadi tumpuan. Misalnya ketika Affan dan Afnan masih bayi, ramai bertanya sama ada mereka kembar dua atau tiga kerana ada yang menyangkakan Naufal (abang si kembar) juga kembar disebabkan memakai baju yang sama warna.
Karakter kembar Affan dan Afnan pula sangat berbeza. Affan mempunyai suara lebih lembut, lebih berdikari dan gaya seorang abang lebih terserlah manakala Afnan bersuara sedikit besar dan garau, adakalanya bersifat seperti ‘bayi’ terutama jika bergaduh atau inginkan sesuatu barang.
“Apabila usia meningkat tiga tahun, barulah mereka faham mereka adalah pasangan kembar. Masing-masing dapat membezakan yang mana satu Affan atau Afnan walaupun hanya menerusi gambar. Daripada segi pakaian, mereka sudah pandai memilih baju yang hendak dipakai terutama jika hendak keluar berjalan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: