Wednesday, August 22, 2012

Lara lombong emas pergunungan Diwata


PETEMPATAN buruk seperti ini semakin bertambah dari semasa ke semasa di sekitar kawasan perlombongan.


KERAJAAN Filipina mahu menutup ribuan lombong kecil yang terdapat di negara itu atas alasan ia memusnahkan alam sekitar, tetapi Reynaldo Elejorde menegaskan bandar pergunungan emas yang huru-hara itu akan terus hidup.

Tukang kayu yang berusia 53 tahun dan keluarganya telah membanting tulang menggali ke dalam perut Pergunungan Diwata di Selatan Pulau Mindanao bersama-sama sekumpulan penduduk lain sejak tahun 1980-an. Usaha itu membolehkan mereka terus hidup di atas garis kemiskinan.

"Kami tetap berkeras untuk tinggal di sini kerana ia adalah kehidupan kami," kata Elejorde yang memakai baju T kotor dan seluar pendek dengan lampu suluh terikat di kepalanya.

Bulan lalu, Presiden Benigno Aquino mengumumkan kerajaannya akan melakukan pembaharuan dan mengawal selia industri perlombongan yang semakin merudum itu. Kerajaan juga mahu meningkatkan standard persekitaran dan memberi hasil lebih besar.

Sebahagian daripada pembaharuan yang dirancang itu akan memastikan penyeliaan kerajaan yang lebih ketat di tempat seperti Pergunungan Diwata. Kawasan tersebut agak unik kerana undang-undang lama Filipina membenarkan pelombong individu untuk menjalankan operasi mereka sendiri.

Penemuan emas oleh puak nomad di kawasan yang dahulunya zon pembalakan telah menjadikan lokasi tersebut dikenali ramai. Lantaran itu, ia dibanjiri para buruh, petani, pesara tentera dan bekas gerila dari seluruh negara yang mahu mendapatkan habuan kekayaan masing-masing.

Petempatan padat

Hari ini, kawasan tersebut dipenuhi rumah yang padat dan diperbuat daripada kayu sekerap. Bumbungnya menggunakan kepingan timah dan ia dibina berhampiran kawasan pergunungan. Kebanyakan penduduk turut membina rumah di atas pintu terowong yang digali pemiliknya.

Mengikut banci penduduk, terdapat kira-kira 42,000 orang yang hidup di sekitar kawasan gunung itu. Tetapi penduduk tempatan mengatakan jumlah tersebut semakin bertambah dan keadaan di dalam terowong menjadi semakin sibuk apabila harga emas melonjak naik.

Tapak itu terletak hanya 70 kilometer di utara bandar perdagangan utama Davao, namun untuk sampai ke sana mereka perlu melalui jalan yang berlumpur. Disebabkan itu, ia mendapat reputasi jolokan nama Tapak Tanpa Undang-Undang Wild West.


SUASANA di dalam salah satu daripada laluan terowong ke tempat penggalian mineral bumi di Pergunungan Diwata.


Menurut Ketua Biro Perlombongan dan Geosains Kerajaan, Leo Jasareno, peruntukan perlombongan kerajaan kecil-kecilan pada asalnya bertujuan untuk memberi orang miskin, terutamanya penduduk di luar bandar, peluang untuk mendapatkan sedikit wang.

Bagaimanapun, ia telah dieksploitasi secara meluas dan kebanyakan lombong skala kecil hari ini termasuk di Pergunungan Diwata telah melanggar syarat-syarat perlombongan.

"Mereka dengan sewenang-wenangnya menggunakan bahan letupan dan bahan kimia beracun seperti merkuri yang boleh menjejaskan alam sekitar," kata Jasareno.

Jasareno menganggarkan bahawa terdapat kira-kira 300,000 lombong skala kecil di seluruh Filipina sekali gus kesannya menjadi masalah alam sekitar yang besar.

Risiko keselamatan

Dengan peraturan keselamatan yang rendah, kematian di tempat kerja juga berlaku dengan kerap. Di Pergunungan Diwata, lima orang dilaporkan terbunuh dalam tanah runtuh yang berlaku Disember tahun lalu.

"Perintah eksekutif (pembaharuan perlombongan Aquino) akan menangani semua masalah dalam perlombongan kecil-kecilan. Begitu juga dengan masalah alam sekitar dan keselamatan. Ia boleh diatasi," jelas Jasareno.

Beberapa pembaharuan lain akan lebih tegas terhadap operasi kecil-kecilan di tapak lombong masyarakat. Melaluinya mereka boleh diselia dengan teliti manakala lombong lain yang disifatkan sebagai berbahaya atau merosakkan alam sekitar akan ditutup.

Di sebalik rancangan pembaharuan itu, seorang pemimpin masyarakat, Franco Tito berkata, pelombong telah melihat usaha-usaha yang sama daripada kerajaan sebelumnya yang datang dan pergi, namun tidak memberi sebarang kesan mahupun perubahan.

"Ia hanya salinan daripada perintah presiden terdahulu, ordinan tempatan, tindakan republik dan undang-undang khas. Semua itu kononnya untuk memberitahu kami agar menghentikan aktiviti perlombongan," tegas Tito.

Tambah Tito, mereka mengesyaki kerajaan nasional Filipina mempunyai rencana untuk menyerahkan sumber gunung kepada syarikat perlombongan yang besar.

Jika benar, para pelombong kecil-kecilan itu tidak akan membenarkan ia berlaku dan akan terus menentang sebarang usaha untuk memindahkan mereka ke petempatan lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: