Monday, August 6, 2012

Harap tuah drama Suri

Hanez Suraya Abdul Aziz
Hanez Suraya Abdul Aziz

DIA bukanlah orang baru dalam bidang seni tetapi kerana tidak begitu serius mengejar cita-cita, maka dia ‘hilang’ seketika dari dunia hiburan. Hanez Suraya Abdul Aziz, 27, mula menjadi model dan berjinak-jinak dalam bidang lakonan pada usia 18 tahun dan dengan raut wajah yang menawan pasti tidak sukar untuknya ‘menguasai’ industri.

Namun orang muda yang hatinya mudah tertawan dengan perkara lain, lalu nama yang kian dikenali itu tiba-tiba seakan-akan senyap dan sunyi, tiada lagi kelibatnya di layar kaca. Bukan tiada produser dan pengarah yang mahu melamar tetapi Hanez leka dengan perkara lain.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Bagaimana kedewasaan mengajarnya menjadi manusia yang matang dan mula memikirkan masa depan dengan bertanya kepada diri sendiri apakah selamanya dia mesti tenggelam dalam gelora jiwa mudanya? Perlahan-lahan dengan bantuan rakan-rakannya yang mahu melihat dia berjaya sebagai anak seni, Hanez bangkit semula dengan azam baru.

“Alhamdulillah saya dipertemukan dengan rakan yang baik. Mereka mahu tengok saya berjaya kerana sebenarnya saya sudah lama terbabit dalam peragaan dan lakonan tetapi saya jauh ketinggalan di belakang artis yang ada sekarang.

Mereka masih baru tetapi bakat mereka sangat menyerlah dan mempunyai peminat yang ramai.

“Sekiranya saya terus bekerja keras dari dulu, nescaya saya sudah lebih berjaya daripada mereka kerana hampir 10 tahun saya berada dalam industri. Dulu saya lebih suka bergembira dan mengabaikan kerja. Apabila sudah hampir tenggelam, agak sukar untuk timbul semula. Mujur saya ada ramai kawan yang sudi membantu.

“Saya berkawan rapat dengan ramai jurusolek artis dan kru yang bekerja di belakang tabir produksi. Merekalah yang ‘mempromosikan’ nama saya semula kepada produser dan pengarah drama. Syukur, bermula tahun lalu, saya kembali berada di gelanggang seni dengan menerima banyak tawaran berlakon.

“Dengan bermulanya episod baru dalam hidup saya, sepanjang tahun lalu dan tahun ini saya sentiasa bertukar-tukar lokasi penggambaran. Drama Suri yang baru saja tamat siaran di TV3 yang disiarkan menerusi slot Azalea, memberi sinar baru dalam kerjaya seni saya. Saya tak sangka sama sekali yang stesen televisyen itu sudi mengambil saya sebagai pelakon utama.

“Peminat sayangkan watak saya sebagai Suri yang dianiaya saudara tiri. Mulanya saya bimbang juga kerana slot itu pada sebelah petang (jam 4.30 petang). Waktu itu orang masih berada di pejabat dan kalau ada yang dalam perjalanan balik ke rumah pun mungkin tersekat dalam kesesakan jalan raya.

“Sangkaan saya meleset kerana apabila saya melayari facebook dan twitter, ramai yang meminati Suri dan ada yang tidak pernah ketinggalan mengikuti drama itu untuk mengetahui apa yang terjadi pada Suri. Ada juga saya terbaca dalam twitter, ada penonton sanggup ambil cuti kerana tak mahu ketinggalan untuk menonton kemuncak drama itu.

“Sebelum itu saya muncul dalam drama 3 Janji yang mengetengahkan Liyana Jasmay dan Shahrizal Jaszle sebagai pasangan kekasih. Saya pula diberi watak sebagai Mak Su kepada Liyana. Peminat pun suka melihat watak saya itu dan suasana itu membuatkan saya semakin lega kerana industri dan peminat dapat menerima saya,” katanya.

Sekarang tambah Hanez, sehari tanpa penggambaran drama membuatkan dia rimas.

“Saya tidak betah duduk di rumah goyang kaki kerana saya kian dapat merasakan nikmat bekerja dan lebih menyeronokkan apabila dapat bayaran daripada hasil penat lelah. Saya lebih rela berada di lokasi daripada duduk termenung di rumah.

“Tiada lagi istilah ‘enjoy’ dalam diari hidup saya sekarang kerana saya sudahpun menikmati semua itu. Sekarang adalah masa untuk bekerja dan merancang masa depan yang gemilang. Saya seronok bekerja dengan kru produksi yang ‘sporting’ dan juga pelakon lain. Apabila kita mencintai kerja yang kita buat dan melakukannya dengan seikhlas hati, segalanya akan jadi mudah.

“Dulu rezeki yang dapat tidak lama ‘lekat’ di tangan. Hari ini dapat bayaran, esok lusa dah habis. Mungkin ketika itu niat di hati saya tidak betul. Kini dengan segala rezeki yang Allah berikan, saya mendidik diri tidak mahu menjadi orang yang riak dan bongkak kerana segala yang kita ada adalah milik-Nya yang pada bila-bila masa boleh diambilnya semula.

“Dalam perjalanan hidup ini juga saya berhati-hati dalam berkawan kerana saya tak mahu mencari musuh. Kalau kita terlampau baik dengan orang, segala rahsia hati mahu dikongsi bersama dan itu mengundang bahaya kerana apabila bergaduh, orang itu boleh menggunakan peluang itu untuk mengenakan kita semula.

“Jadi lebih baik saya berhati-hati dan jalan terbaik, habis kerja balik rumah.
Kalau sesekali saya keluar minum dengan kawan-kawan, mesti balik rumah sebelum jam 12 tengah malam,” katanya.

Jelas Hanez, dia juga menyedari yang hubungannya dengan media juga semakin baik.

“Sebelum ini apabila saya menghadiri sebarang acara, saya lebih suka menyendiri dan rasa serba salah mahu bertegur sapa dengan wartawan. Tetapi sekarang sudah berbeza apabila saya mula bersikap terbuka dan ke mana pergi, kalau saya lambat menyapa mereka, wartawan menegur saya dulu. Syukur sangat kerana keadaan sekarang jauh lebih baik berbanding dulu dan berharap hubungan baik dengan wartawan akan berterusan,” katanya.

Tidak lengkap rasanya kalau tidak bertanyakan cerita cintanya dengan penyanyi popular Awie Rafael.

“Kami bahagia dan semoga hubungan ini berakhir dalam fasa yang diimpikan setiap wanita iaitu perkahwinan. Dalam usia begini, sudah selayaknya saya berumah tangga. Pun begitu, segala kata putus terletak pada Awie dan saya pula hanya boleh mendoakan yang terbaik saja,” katanya yang enggan bercakap panjang lebar mengenai hubungan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: